TIADA ibu bapa di dunia ini yang mahu anak yang dilahirkan tidak sempurna. Tetapi, tiada siapa juga yang dapat menidakkan takdir Allah jika mereka sudah ditentukan untuk memiliki anak orang kelainan upaya (OKU). Yang pasti, ada yang menganggap golongan OKU satu anugerah dan tidak kurang juga yang melihatnya sebagai musibah. Bagi pegawai psikologi OKU di Jabatan Kebajikan Masyarakat, Mohd Hafiz Halim yang kehilangan deria penglihatan pada usia 11 tahun, beliau menganggap golongan sepertinya adalah pelengkap kepada masyarakat untuk menuju ke syurga. "Mula-mula, ibu bapa anggap apa yang terjadi kepada saya adalah musibah. Namun, mereka belajar menerima dan memberikan sokongan sehingga saya dapat menjalani kehidupan seperti orang lain. "OKU ini adalah pelengkap kepada masyarakat untuk jadi tiket ke syurga. Golongan ini dilahirkan untuk kita sama-sama lihat peranan diri dalam masyarakat," katanya ketika berkongsi pengalaman pada Konvensyen Dakwah OKU yang berlangsung di Bangi baru-baru ini. Mohd Hafiz (dua dari kiri) kehilangan penglihatan ketika berusia 11 tahun. Tambah Mohd Hafiz, golongan OKU akan menjadi satu anugerah apabila mereka mendapat sokongan daripada masyarakat. Dengan adanya teknologi, golongan OKU juga mampu mencipta kejayaan luar biasa sekali gus menjadi manfaat kepada manusia sejagat. Sementara itu, Pensyarah Pendidikan Khas di Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr Rosadah Abd Majid pula berkata, musibah memang tidak dapat dielak, tetapi segalanya bergantung kepada hati kita untuk menerimanya. "Hati adalah yang perlu ditangani dahulu untuk kita melihat ujian ini (anak OKU) sebagai anugerah atau musibah. "Bukan mudah untuk menerima anak OKU, tapi bila kita menerimanya dengan hati terbuka, potensi ibu bapa juga tercerna," ujarnya sambil berkata ujian itu menggilap sikap bersyukur, sabar dan kuat dalam diri ibu bapa. Golongan OKU mampu mencipta nama dalam apa jua bidang seperti Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi yang merupakan atlet paralimpik yang berjaya mengharumkan nama negara. - Bernama Dalam pada itu, pensyarah di Jabatan Pendidikan dan Inovasi Profesionalisme Perguruan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pengajian Islam, Dr Huzairi Awang @ Hussin pula berkata, OKU bukan sahaja dilihat pada luaran tetapi setiap daripada kita juga memiliki kekurangan masing-masing. "Dalam kita tidak sedar, kita juga OKU. Mata dah mula rabun, sembahyang pun dah kena guna kerusi dan pelbagai lagi. "Kita seharusnya melihat perkara ini secara holistik agar tidak memandang kekurangan yang ada pada mereka. Ibu bapa juga tidak boleh lepas tangan jika diuji dengan memiliki anak OKU," kata beliau. Pada konvensyen tersebut, setiap anggota masyarakat juga diseru agar memberikan sokongan kepada ibu bapa yang memiliki anak OKU. Kita semua dianjurkan untuk menyertai kumpulan sokongan bagi memahami lebih mendalam tentang situasi yang dialami oleh para ibu bapa.