suria

“Menu sihat, segar tanda masak dengan penuh kasih sayang” - Haflin

Haflin mengganggap memasak adalah terapi bagi dirinya.

KECINTAANNYA terhadap dunia masakan dan amalan gaya hidup sihat semakin sinonim dengan figura bernama Datin Seri Haflin Saiful Azhar ini.

Sering tampil dengan gaya fesyen trendy dan tidak lokek berkongsi gambar masakannya di Instagram, ibu kepada seorang cahaya mata lelaki itu beranggapan sudah tiba masanya beliau menghadiahkan sesuatu kepada pengikut setianya.

Bermula dari situlah isteri kepada Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz ini tampil dengan karya sulungnya yang diterjemahkan dalam bentuk buku berjudul 'Cook With Love Bon Appetit by Haflin'.

ARTIKEL BERKAITAN: Haflin lancar buku sulung, kongsi gambar anak buat pertama kali

Menerusi naskhah setebal 52 muka surat ini, Haflin berkongsi tip dan pandangannya mengenai memasak dengan kasih sayang.

Rakan Haflin, Alla Pavlenko (tengah) dan Kamila Pavlenko (kanan) hadir pada majlis pelancaran buku 'Cook With Love Bon Appetit by Haflin'.

"Memasak dengan kasih sayang ni sepatutnya bermula daripada bahan-bahan untuk menyediakan makanan sihat dan buat anda rasa seperti terapi.

"Selepas masak, anda berasa puas kerana tahu ia sihat untuk diri sendiri, keluarga dan yang penting anda tahu apa yang dimasukkan ke dalam hidangan," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran buku tersebut di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Idea untuk menghasilkan buku tersebut tidak datang dengan tiba-tiba, tetapi sebenarnya diinspirasikan daripada pengikutnya di Instagram.

Haflin sendiri mengakui bahawa dia tidak pernah terlintas untuk menghasilkan buku masakan.

Memasak dengan kasih sayang ni sepatutnya bermula daripada bahan-bahan untuk menyediakan makanan sihat dan buat anda rasa seperti terapi.

HAFLIN SAIFUL AZHAR

"Saya berehat selama dua bulan dan banyak menghabiskan masa di rumah, memasak, pergi pasar di Paris sekadar suka-suka dan santai.

"Saya selalu muat naik gambar menu yang dimasak untuk keluarga dan suami. Kemudian, saya dapat banyak maklum balas yang bertanya tentang resipi dan tip untuk menyediakan menu tersebut," ujarnya.

Peminat bekas pengacara televisyen itu juga menggalakkan beliau berkongsi resipi dan Haflin berpandangan, cara terbaik untuk melakukannya adalah dengan menghimpunkan semua resipi ke dalam sebuah buku yang kini ditawarkan pada harga RM146 senaskhah.

Buku tersebut juga begitu dekat dengan beliau kerana ia merupakan buku pertamanya, selain sebagai tanda penghargaan kepada peminat.

Haflin ketika ditemui di kediamannya.

"Saya ingin memberikan inspirasi kepada golongan wanita terutama yang bekerjaya, selalu on-the-go dan perlu lakukan banyak perkara dalam satu masa untuk cari jalan supaya dapat memasak khusus buat keluarga dan anak-anak.

"Buku ini memberikan idea mudah untuk menyediakan makanan dan dibahagikan kepada kategori sarapan, makanan tengah hari dan malam kerana saya yakin semua orang boleh memasak," kata Haflin.

Kebanyakan resipi dicadangkannya adalah berkonsepkan Timur bertemu Barat di samping menggunakan bahan segar yang senang disediakan.

Haflin memeluk anaknya, Jean Pierre Azize yang berusia tiga tahun. - Foto Instagram

Tambah Haflin, beliau juga berkongsi pengalaman menyediakan hidangan buat anaknya yang berusia tiga tahun kerana menganggap selera kanak-kanak itu agak cerewet.

Tip yang digunakan oleh ibu muda ini adalah mencampurkan masakan dengan menu makanan kegemaran anaknya, selain perlu banyak bersabar dan memujuk anak untuk makan.

Katanya, berikan si kecil lebih sayur-sayuran, ayam atau ikan yang distim kerana ia lebih sihat berbanding hidangan yang digoreng.

Haflin, Cook With Love

Artikel Lain