suria

Andaian salah terhadap pesakit mental! Ketahui 6 mitos dilemparkan terhadap golongan ini

Pesakit mental sebenarnya memerlukan sokongan orang ramai terutamanya dalam kalangan ahli keluarga terdekat. Gambar hiasan.

SETIAP masyarakat tidak kira bangsa dan juga anutan agama memiliki kepercayaan tersendiri terhadap apa jua perkara berkaitan adab dan budaya, perkara mistik dan juga falsafah hidup.

Tidak terkecuali, penyakit mental juga yang memiliki mitos tersendiri tanpa bersandarkan fakta daripada sumber-sumber sahih yang seterusnya mampu menimbulkan masalah jika tidak dibendung.

Berikut ini antara mitos yang dikongsikan Pakar Perunding Kanan Psikiatri Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Muhammad Muhsin Ahmad Zahari dan masih menjadi kepercayaan masyarakat masa kini.

1. Pesakit mental berbahaya dan ganas


Benarkah pesakit metal itu bersikap ganas? - Gambar hiasan

Tidak dinafikan, pesakit mental ibarat bom jangka dan mampu bertindak di luar jangkaan sehingga memberi gambaran mereka adalah ganas dan berbahaya kerana boleh mencederakan dan membunuh.

Hakikatnya, majoriti jenayah dalam masyarakat hari ini dilakukan individu normal manakala purata pesakit mental terlibat dengan keganasan adalah jauh lebih rendah.

Perit untuk diungkap namun pesakit mental sebenarnya adalah golongan yang kerap menjadi mangsa keganasan individu-individu tidak bertanggungjawab.

2. Penghidap penyakit mental kononnya tiada pegangan agama dan iman yang lemah

Percayalah, penyakit mental sama sekali tidak mengenal jantina, bangsa mahupun agama.

Kemurungan akan membuatkan seseorang itu rasa dirinya tidak berguna, tidak dihargai, diulit rasa bersalah tanpa sebab tertentu dan akhirnya mampu membawa kepada gelaja bunuh diri.

PROF. MADYA DR MUHAMMAD MUHSIN AHMAD ZAHARI

Pakar Perunding Kanan, Psikiatri Universiti Malaya

Risiko setiap individu menghidap penyakit mental itu sama, yang membezakan hanyalah bentuk penganiayaan atau penderaan emosi membuatkan risiko seseorang itu diserang penyakit mental adalah lebih tinggi.

Kajian saintifik membuktikan kemurungan tiada kaitan dengan agama, kepercayaan atau semangat seseorang.

3. Dakwaan kanak-kanak tidak menghidap sakit mental


Kanak-kanak juga boleh menghidap sakit mental. - Gambar hiasan

Anggapan masyarakat mengenai penyakit mental tidak dialami kanak-kanak adalah salah.

Jika dilihat, kebelakangan ini majoriti penyakit mental yang dialami pada peringkat dewasa bermula pada zaman kanak-kanak dan remaja.

Antara penyakit mental yang popular dalam kalangan kanak-kanak adalah Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) dan autisme.

Ibu bapa seharusnya perlu peka terhadap sebarang gejala atau tindak balas anak-anak agar ia boleh dirawat di peringkat awal.

4. Tidak boleh dirawat


Dengan perkembangan teknologi dan pelbagai kajian dibuat, penyakit mental boleh dirawat dan ia didapati berkesan.

Selain ubat-ubatan, bantuan berbentuk sokongan sosial (let's talk) daripada keluarga, rakan-rakan dan majikan adalah sangat membantu.

Anda mungkin boleh menjadi pendengar yang baik sekiranya mereka berkongsi masalah atau emosi tanpa menilainya.

Jika pesakit ada menyatakan untuk membunuh diri, anda boleh menasihati mereka untuk merujuk kepada kaunselor atau pihak yang bertauliah.

5. Tindakan dibuat untuk mendapatkan perhatian / mengada-ngada

Jika anda mempunyai tanggapan seseorang itu bertindak untuk mendapatkan perhatian atau mengada-ngada, anda silap!

Ia sebaliknya adalah amaran bahaya individu ini memerlukan bantuan. Ia adalah espresi tekanan yang dialami seseorang untuk meluahkan kemarahan atau tekanan yang dialami, bukannya tindakan yang sengaja dibuat untuk perhatian.

Kemurungan akan membuatkan seseorang itu rasa dirinya tidak berguna, tidak dihargai, diulit rasa bersalah tanpa sebab tertentu dan akhirnya mampu membawa kepada gelaja bunuh diri.

6. Disebabkan sihir / gangguan ilmu hitam

Tidak dinafikan, pesakit mental skizofrenia akan mengalami gangguan suara dan bayangan yang muncul di hadapan mereka.

Keadaan itu menyebabkan masyarakat dahulu kala sering mengaitkan ia dengan perkara tahyul seperti disihir atau terkena buatan orang.

Hakikatnya, penyakit mental merupakan penyakit psikologi, di mana simptomnya tidak dapat dilihat oleh mereka yang bukan pakar dalam bidang ini.


Sesetengah keluarga percaya, penghidap masalah mental terkait dengan  perbuatan sihir. Gambar hiasan

Situasi itu menyebabkan mitos penyakit mental disebabkan sihir sukar dihakis dan masih popular dalam masyarakat masa kini.

Dari segi kajian perubatan, penyakit mental berpunca daripada ketidakseimbangan unsur kimia dalam otak yang dikenali neurotransmitter.

Jika kimia yang membantu sel saraf berkomunikasi dengan otak ini terjejas, ia menyebabkan berlakunya pelbagai kemungkinan termasuk gejala penyakit mental.

Lalu tidak mustahil pesakit skizofrenia mengalami gangguan suara atau halusinasi akan melakukan sesuatu yang bertentangan dengan amalan manusia normal (delusi).

Lebih menyedihkan apabila ahli keluarga yang memiliki kepercayaan karut ini lebih memilih untuk mencuba perubatan tradisional seperti berjumpa pawang dan hanya menerima rawatan di hospital apabila keadaan pesakit di tahap kronik.

Pesakit mental, deprasi

Artikel Lain