KETIKA insan lain bergembira menyambut kemeriahan 1 Syawal yang lengkap bersama seisi keluarga, tiada siapa sedar ada anak yang terluka disebabkan perpisahan ibu bapa mereka. Anak-anak yang menjadi mangsa penceraian tidak harus tercicir daripada menyambut hari kemenangan umat Islam di pagi Aidilfitri. Namun apakan daya, mereka tiada pilihan selain menerima takdir yang ditentukan oleh Yang Maha Esa. Menjelang lebaran yang bakal tiba beberapa hari lagi, sudah pasti ada antara mereka yang terpaksa membuat pilihan sama ada pulang beraya di kampung ayahanda atau bonda tersayang. Ibarat ditelan mati mak, diluah mati bapa. Begitulah dilema yang dialami anak-anak mangsa keretakan rumah tangga setiap kali tibanya musim perayaan. Bagaimanapun, tidak semua yang terlibat melalui jalan cerita sama. Mari kita selami pengalaman mereka yang melalui detik pahit dan manis meraikan Syawal tanpa ibu atau bapa di sisi. Disisih bapa tiri Norfazilah (kiri) bersama adik, ibu dan suaminya kini bahagia dengan keluarga kecil mereka. Selepas bapanya memutuskan untuk mengahwini wanita lain, ibunya yang enggan hidup berpoligami memilih penceraian sebagai jalan perpisahan. Noorfazilah Rebatin, 31, yang berusia tiga tahun ketika ibu bapanya berpisah tidak dapat mengimbau sambutan Syawal yang indah seperti kanak-kanak lain. "Selepas mak dan abah berpisah, mak saya kahwin semula kira-kira dua tahun kemudian. "Sejak mak kahwin dengan ayah tiri, semuanya berubah. Ayah tiri tidak benarkan mak berjumpa saya," katanya yang terpaksa menyambut Aidilfitri dengan saudara-mara tanpa ibunya. Eksekutif perhubungan awam swasta itu juga selalu berasa sedih setiap kali tibanya lebaran kerana walaupun mempunyai ibu, mereka tidak dapat jumpa dan bapa kandungnya pula hilang entah ke mana. Namun, selepas ibu dan bapa tirinya bercerai pada 2018, Noorfazilah berpeluang menjalani ibadah di bulan Ramadan dan meraikan Syawal bersama ibu tercinta. "Raya lebih bermakna sekarang dan membuatkan saya rasa gembira kerana akhirnya dapat membahagiakan mak saya. "Dulu masa kecil, saya tiada pilihan untuk beraya di mana. Kini, saya boleh beraya bersama mak di Kuala Lumpur atau Teluk Intan, Perak," katanya kepada mStar. Kayuh basikal cari ayah Siti Athirah (dua dari kanan) menyambut Syawal bersama ibunya terlebih dahulu sebelum beraya dengan bapanya. Seperti juga Noorfazilah, seorang wartawan eksekutif di sebuah akhbar, Siti Athirah Dzulkifly menyimpan memori pahit alam kanak-kanak selepas ibu bapanya berpisah sewaktu dia berusia 12 tahun. Siti Athirah, 34, yang ketika itu masih belum memahami erti penceraian berasa trauma melihat bapanya melafazkan cerai terhadap ibunya yang sedang sarat mengandung adik bongsu. "Selepas mereka bercerai, saya masih ingat ketika itu saya mengayuh basikal sambil ditemani adik yang masih kecil untuk ke rumah ayah dari satu seksyen ke satu seksyen di Bangi, Selangor semata-mata untuk mengemis duit belanja kami adik-beradik. "Setiap bulan macam itulah rutin saya, kena kayuh basikal cari ayah di rumah sewa untuk minta duit. Kami empat beradik memang duduk dengan mak sejak mereka bercerai, jadi kalau raya tu, memang kami akan sambut tanpa kehadiran ayah di sisi," ujarnya. Memandangkan hubungan kedua ibu bapanya tidak begitu baik selepas berpisah, Siti Athirah dan adik beradik serta ibunya akan meraikan Syawal di kampung sebelah ibu. Bagaimanapun, Siti Athirah memberitahu hubungan mereka dengan bapanya mula pulih selepas menginjak usia dewasa. "Dah mula masuk kolej dan universiti, baru ada perasaan nak terima semula ayah dalam hidup. "Jadi barulah setiap kali raya, akan menziarah rumah ayah selepas ke rumah mak. "Apa pun rumah mak dahulu baru ayah dan ayah tak merungut kerana mungkin dia sedar kesilapannya," kongsi wanita yang berasal dari Bandar Baru Bangi itu. Berpisah, tapi masih bersama Alif (dua dari kiri, belakang) meraikan Syawal bersama keluarga sebelah ibunya di Banting. Seorang pembantu peribadi eksekutif, Alif Abu Bakar, 30, juga melalui jalan cerita yang sama, cuma bezanya ibu bapa pemuda itu tidak benar-benar berpisah. Sejak kecil lagi ibu bapanya tidak tinggal sekali dan dia sering dihantar menetap di kampung di Banting, Selangor bersama datuk dan neneknya. Ketika itu, ibu Alif bekerja di Kuala Lumpur dan hanya pulang menjenguk anak-anak sekali sebulan. "Abah dan mama tidak bercerai, cuma mereka tidak tinggal bersama sahaja. "Hubungan mereka sah sebagai suami isteri kerana abah enggan menceraikan mama," cerita Alif. Sambutan raya Alif bagaimanapun disambut meriah kerana diraikan bersama sepupu sebelah ibunya yang ramai. Katanya, dia tidak mengalami dilema untuk pulang beraya kerana saban tahun akan menyambut Aidilfitri di kampung ibunya di Banting. "Kadang-kadang je balik kampung abah di Masjid Tanah, Melaka sebab nak ke Melaka dahulu pun tak ada orang yang nak bawakan. "Pernah juga pakcik di Melaka datang ambil kami beraya di sana ketika zaman kanak-kanak dahulu. Cuma, sekarang dah besar ni ada kenderaan sendiri untuk pulang ke Masjid Tanah," ujar anak bongsu daripada empat beradik ini. Ajak ibu raya bersama Kenangan Syawal Auji Nabilah (tengah) bersama bapa dan arwah ibunya. Berlainan pula kisahnya dengan Auji Nabilah Abdul Razak, 29, yang menyambut lebaran bersama-sama ibu bapanya yang masih menjalinkan hubungan baik selepas berpisah. Kata penjawat awam itu, selepas orang tuanya berpisah ketika dia berusia 12 tahun, Auji Nabilah bersama kakak dan adik perempuannya tinggal di rumah ibunya. "Kami beraya bersama adik-beradik ibu pada setiap tahun sehinggalah suatu hari papa mahu membawa kami beraya bersamanya di Melaka. "Jadi, kami pun beraya tanpa mama dan akhirnya sedar bahawa raya pada tahun itu tidak segembira seperti selalu," katanya yang berasal dari Johor Bahru, Johor. Selepas insiden tersebut, Auji dan adik-beradiknya meminta izin daripada nenek sebelah bapa untuk membawa pulang ibunya ke Melaka pada setiap kali Syawal. Tanpa diduga, nenek mereka bersetuju kerana tetap menganggap ibunya sebagai menantu dan amat menyayanginya. "Saya tidak cemburu tengok keluarga lain beraya kerana ibu bapa saya masih berbaik dan tidak berkahwin baharu. "Cuma, selepas mama meninggal dunia empat tahun lalu, kami akan raya bersama papa pada pagi Aidilfitri dahulu dan kemudian menziarah pusara mama sebelum pulang ke kampung di Melaka," ujarnya.