suria

Pernah dengar panseksual? Jom ketahui apa maksud sebenar istilah itu

Panseksual berbeza dengan biseksual kerana individu yang mempunyai tarikan ini boleh jadi tertarik dengan seseorang itu tidak kira sama ada mereka lesbian, gay, transgender ataupun normal.

MUNGKIN selama ini kita hanya pernah mendengar tentang heteroseksual, homoseksual dan biseksual sebagai orientasi seksual namun ia sebenarnya mempunyai spektrum yang sangat luas termasuk panseksual.

Sebelum ini ramai terkejut dan tertanya-tanya mengenai istilah itu apabila penyanyi terkenal Miley Cyrus mendedahkan dirinya seorang panseksual.

ARTIKEL BERKAITAN: Kepuasan seksual, masalah mental antara 6 sebab suami sanggup berlaku curang!

Apa sebenarnya dimaksudkan dengan panseksual? 

Menurut pakar psikologi, Emily Lenning, panseksual bermaksud tarikan terhadap seseorang tanpa mengambil kira tentang jenis kelamin, jantina ataupun orientasi seksualnya.

Orientasi seksual seseorang itu juga merujuk kepada tarikan seksual di mana kecenderungan terhadap lawan jantina dipanggil heteroseksual manakala tarikan terhadap sesama jenis dirujuk sebagai homoseksual.

Sebelum berkahwin dengan Liam Hemsworth, penyanyi Miley Cyrus sangat terbuka sebagai seorang panseksual.

Tarikan terhadap kedua-dua jenis jantina pula disebut biseksual. Pun begitu, tarikan tanpa mengira jenis kelamin, gender dan orientasi seksual, itulah yang dipanggil panseksual.

Panseksual berbeza dengan biseksual kerana individu yang mempunyai tarikan ini boleh jadi tertarik dengan seseorang itu tidak kira sama ada mereka lesbian, gay, transgender ataupun normal.

Sebaliknya mereka lebih tertarik dengan keperibadian atau karekter seseorang individu, bukannya jantina dan orientasi seksual mereka.

Pakar psikologi dan terapi seks, Dr. Holly Richmond memberitahu hanya satu peratus populasi manusia yang menyatakan diri mereka panseksual.

Ini kerana konsep jenis seksual itu sendiri yang rumit membuatkan ramai yang tidak dapat menentukan sama ada mereka tergolong sebagai panseksual atau tidak.

Kecenderungan panseksual tidak tertumpu kepada jantina dan seksualiti seseorang sebaliknya lebih tertarik kepada karekter dan personaliti. 

Jadi adakah biseksual dan panseksual itu sama?

Panseksual adalah orientasi seksual yang berbeza daripada biseksual. Ini kerana individu biseksual tertarik kepada dua jenis jantina (lelaki dan wanita).

Sedangkan individu panseksual melihat bahawa gender itu adalah spektrum yang sangat luas dan tidak terbatas kepada lelaki ataupun perempuan.

Sebab itu juga, seorang panseksual juga mampu merasakan tarikan seksual dan romantis pada setiap identiti dalam spektrum jantina termasuk transgender, gay, lesbian dan sebagainya.

Sebenarnya orang dengan masalah seksual ini tidak menunjukkan ciri-ciri tertentu sebaliknya ia hanya dapat dikesan apabila mereka tertarik (sama ada secara seksual, romantis atau kedua-duanya) dengan sesiapa sahaja.

Sehingga saat ini pakar dalam bidang seksualiti masih belum dapat merumuskan secara ilmiah tentang orientasi seksual seseorang dengan tepat - sama ada ia berkaitan genetik, faktor persekitaran atau hubung kait kedua-duanya.

Panseksual, Homoseksual, Jantina, Gender

Artikel Lain