DIANGGARKAN lebih 1.2 juta pengguna menggunakan kemudahan pengangkutan awam seperti bas, Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT) dan monorel. Wabak Covid-19 yang semakin menular secara luas di seluruh dunia cukup membimbangkan terutama kepada pengguna pengangkutan awam yang terpaksa berhimpit-himpit meskipun menyedari risiko terkena jangkitan adalah tinggi. Namun ramai daripada kita tidak mempunyai pilihan dan terpaksa meletakkan diri berdepan risiko setiap hari bagi menuju ke destinasi. ARTIKEL BERKAITAN: Serangan besar Covid-19 bunuh sistem dalaman manusia Jangan khuatir, ada beberapa perkara boleh dilakukan agar anda terhindar daripada sebarang jangkitan kuman dan virus ketika menaiki pengangkutan awam, terutamanya MRT atau LRT. 1. Sentiasa menjaga kebersihan tangan Bagi menjamin kebersihan, biasakan diri untuk mencuci tangan menggunakan sabun terutamanya apabila menyentuh fasiliti di tempat awam. Begitu juga jika menaiki bas atau LRT, gunakan hand sanitizer sebelum dan selepas turun bagi memastikan anda bebas daripada kuman dan virus. 2. Elakkan berhimpit Sebaik-baiknya jangan berhimpit dalam bas atau LRT yang sudah penuh kerana ruang sesak berpotensi meningkatkan risiko penularan kuman atau virus melalui udara. Keterbatasan ruang akan menyebabkan anda mudah bersentuhan dengan orang lain yang belum kita ketahui sama ada sihat atau pun pembawa virus. Bagi mengelak berhimpit dalam pengangkutan awam, eloklah keluar rumah lebih awal ketika tidak ramai pengguna atau guna selepas waktu puncak. 3. Kurangkan memegang atau bersandar Selalunya tiang dan tempat pemegang dalam bas atau LRT menjadi tempat kita berpaut tapi tahukah anda ia adalah tempat paling banyak kuman. Jika boleh kurangkan berpaut pada tiang atau pemegang dan selalulah menggunakan hand sanitizer. 4. Jangan letak beg di lantai Jika anda suka letak beg di atas lantai, sudah tiba masanya elak berbuat demikian kerana bahagian lantai juga selalunya tercemar dengan kuman yang boleh jadi datang daripada pelbagai sumber. 5. Jangan makan atau minum Makan atau minum memang dilarang dalam pengangkutan awam tapi masih ramai berdegil dan berbuat demikian. Rasanya dah boleh hentikan tabiat itu - sudahlah pegang tiang dan tempat pemegang, bayangkan anda pegang pula makanan tanpa membasuh tangan! Kan bahaya tu? Sebaiknya makan atau minum selepas anda basuh tangan bersih-bersih ya.