suria

Jangkitan penyakit kelamin libatkan remaja semakin meningkat... ambil tahu, ada program bantu tangani mitos HIV

Peserta membuat pembentangan ketika menyertai program yang diadakan oleh Persekutuan Persatuan-Persatuan Kesihatan Reproduktif, Malaysia (FRHAM) baru-baru ini.

APABILA memikirkan mengenai hakikat remaja di Malaysia semakin aktif secara seksual pada usia muda sememangnya sesuatu yang menakutkan.

Namun perbincangan atau pendidikan kesihatan di sekolah berkaitan aspek kesihatan dan seksual termasuk program pendidikan mengenai seks, HIV/AIDS serta kehamilan luar nikah masih menjadi tabu.

Malahan, penyakit kelamin dalam kalangan golongan ini juga semakin meningkat dan membimbangkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Senaman aerobik paling sesuai untuk pesakit diabetes, ini sebabnya!

Sebagai contoh, daripada tahun 2011 hingga 2016, lebih satu pertiga (35.7 peratus) jangkitan HIV adalah dalam kalangan remaja.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, diskriminasi masyarakat juga telah membuatkan golongan muda yang disahkan HIV positif menjauhkan diri daripada mendapatkan bantuan sokongan.



Ramai golongan remaja yang dijangkiti HIV terpaksa menjauhkan diri kerana stigma masyarakat.

Ketakutan terhadap undang-undang serta stigma masyarakat telah membuatkan ramai enggan tampil atau mengakui tentang status HIV mereka dan itu tidak termasuk mengambil ujian dan rawatan HIV serta memanfaatkan rangkaian sokongan sosial yang disediakan.

Dalam usaha memberi kesedaran dan informasi kepada golongan muda, Persekutuan Persatuan-Persatuan Kesihatan Reproduktif, Malaysia (FRHAM) melancarkan projek pencegahan, pendidikan dan kesedaran yang menggunakan seni dan ekspresi kreatif dalam mendekati golongan sasaran ini.

Tujuannya adalah untuk membolehkan remaja meneroka serta memahami mitos serta pandangan salah tentang HIV/AIDS serta menyalurkan maklumat sebenar mengenainya.

Malah peserta diberikan platform terbuka untuk menyatakan pemahaman mereka tentang penyakit itu.

Melalui program itu juga, kebanyakan peserta memahami atau mendapat maklumat megenai HIV/AIDS daripada internet atau bacaan di media, yang kebanyakannya tidak memberi maklumat konsisten dan tepat mengenainya.



Mesej tanda sokongan kepada mereka yang hidup dengan HIV/AIDS.

Sementara itu, projek ini juga berusaha untuk merapatkan jurang maklumat dengan menyalurkan informasi mengenai kaedah rawatan dan pencegahan HIV seperti pre-exposure prophylaxis (PrEP) dan post-exposure prophylaxis (PEP) sebagai alternatif pilihan penggunaan kondom bagi golongan muda berisiko dijangkiti HIV.

Aktiviti seperti body mapping dan penggunaan topeng muka turut dilakukan bagi membantu peserta memahami persamaan dan perbezaan di antara orang yang hidup dengan atau tanpa HIV.

Ia bertujuan untuk mempromosikan empati dalam diri peserta, sekaligus latihan ini memerlukan peserta cuba mendalami kehidupan pesakit untuk memahami stigma dan diskriminasi yang terpaksa mereka tempuhi setiap hari.

Dalam usaha memastikan projek ini dapat diadakan dalam tempoh jangka panjang, sesi latihan rakan sebaya juga diadakan di mana golongan muda dilatih dan dilengkapi dengan maklumat tentang HIV sehingga mereka dapat memberi sokongan dan bimbingan kepada rakan sebaya yang lain.

Salah seorang peserta dikenali sebagai Azri memberitahu program ini adalah cara terbaik untuk memperkasakan, menyebarkan pengetahuan dan membetulkan maklumat salah tentang HIV. - THE STAR

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain