TAHUKAH anda kanser serviks adalah kanser yang dapat dicegah dan dirawat namun masih ramai golongan wanita enggan melakukan ujian saringan. Maka tidak hairan, kanser serviks atau pangkal rahim ini menduduki tangga ketiga sebagai kanser paling tinggi berlaku dalam kalangan wanita di negara ini.ARTIKEL BERKAITAN: Vaksin Covid-19... Siapa berisiko, kesan dan teori konspirasi antara 10 perkara yang anda perlu tahu Pakar Perunding Sakit Puan Universiti Malaya, Profesor Dr Woo Yin Ling berkata, stigma dan perasaan malu adalah antara faktor terbesar mengapa ramai wanita enggan melakukan pemeriksaan."Saya banyak bertemu dengan pesakit yang datang ke hospital dan 50 peratus daripadanya kanser sudah melarat ke tahap tiga dan empat. "Masalah terbesar yang saya lihat tentang rakyat Malaysia adalah mereka berasa malu hendak berjumpa dengan doktor dan apabila sudah melarat baru datang ke hospital."Sebab itu saringan sangat penting kerana ia boleh dirawat sekiranya pengesanan awal dapat dibuat memandangkan ia tidak menunjukkan simptom pada tahap itu," katanya kepada mStar. Profesor Dr Woo Yin Ling. Bahaya virus HPV Menjelaskan mengenai simptom kanser itu, Dr Woo menjelaskan pendarahan faraj yang luar biasa atau selepas mengadakan hubungan seks di antara tempoh haid atau selepas mengalami menopaus adalah gejala paling biasa bagi penyakit itu. Antara gejala lain yang dikaitkan dengan kanser serviks ialah keputihan luar biasa dari segi jumlah, warna, konsistensi atau bau, buang air kecil lebih kerap, sakit perut dan sakit ketika membuang air kecil. Bagaimanapun jelasnya, jangkitan virus papilloma manusia (HPV) adalah penyebab utama kanser serviks dan ia adalah sejenis virus biasa yang boleh menjangkiti wanita termasuk lelaki. Malah jelasnya, 80 hingga 90 peratus wanita dan lelaki pernah dijangkiti virus itu menerusi 200 jenis HPV dan 40 daripadanya akan menyerang bahagian kemaluan. "Daripada 40 jenis HPV itu 14 daripadanya boleh menyebabkan kanser. Jenis HPV 16 dan 18 ialah strain yang bertanggungjawab untuk kira-kira 70 peratus daripada semua kanser serviks di seluruh dunia," katanya.Menurut Dr Woo, HPV sering disebarkan semasa persetubuhan faraj atau dubur atau melalui sentuhan tangan ke bahagian sulit. Saringan sangat penting kerana kanser serviks boleh dirawat sekiranya pengesanan awal dapat dibuat. PROF DR WOO YIN LING PAKAR PERUNDING SAKIT PUAN, UNIVERSITI MALAYA "Bertukar-tukar pasangan itu adalah satu stigma sebenarnya. Sepengalaman saya merawat pesakit, biasanya mereka hanya ada satu pasangan sahaja. "Sebab itu saya beritahu virus HPV ini sesuatu yang biasa dan ia sering berlaku kepada wanita kerana imunisasi mereka agak rendah," katanya. Jelasnya lagi, virus itu kebiasaannya akan menebal pada pangkal rahim (prakanser) dan menjadi kanser dalam tempoh 10 ke 15 tahun dan disebabkan itu ramai tidak menyedarinya. Pun begitu, ada jenis HPV iaitu HPV 6 dan 11 bukan dalam kalangan kanser sebaliknya ia boleh menyebabkan ketuat pada bahagian vagina, zakar selain tangan dan tapak kaki. Di Malaysia, strain HPV berisiko tinggi yang paling banyak dijumpai pada lelaki sihat termasuk 16,18,45,51 dan 52 dan ini turut mencerminkan taburan serupa pada wanita. "Sebab itu, ujian saringan sangat penting bagi mengesannya pada peringkat awal seterusnya rawatan diberikan dalam mengurangkan risiko perkembangan kanser," katanya. Suntikan vaksin HPV adalah salah satu langkah melindungi wanita daripada kanser serviks. Vaksin dan HPV Testing penyelamat risiko kanser serviks Dr Woo menjelaskan terdapat beberapa cara untuk mencegah kanser ini terutamanya dalam kalangan wanita termasuklah suntikan vaksin HPV. Malah katanya, sejak 2010, vaksin ini turut diberikan secara percuma kepada pelajar perempuan berumur 13 tahun sebagai langkah perlindungan awal daripada kanser ini. "Vaksin ini akan merangsang sistem pertahanan badan untuk menghasilkan antibodi terhadap virus HPV. Ia juga berpotensi untuk mengurangkan kanser anogenital yang lain," jelasnya. Pun begitu, kesan vaksin itu cuma diperoleh oleh wanita yang belum terdedah kepada hubungan seks dan atas sebab itu amat penting bagi wanita menjalani ujian saringan secara berkala. Persatuan Kanser Amerika mengesyorkan wanita memulakan pemeriksaan kanser serviks iaitu menjalani ujian Pap smear pada usia 21 sehingga berumur 30. Apabila mencapai usia 30 tahun, wanita harus menjalani ujian Pap smear setiap tiga tahun berikutnya. Sementara itu, Dr Woo memberitahu beliau dan pasukannya memperkenalkan saringan dikenali HPV Testing bagi mengesan kehadiran virus HPV dan kanser yang lebih mudah dan tidak menyakitkan. Dr Woo menyarankan agar golongan wanita melakukan pemeriksaan bagi mencegah kanser itu. Yang pertama seumpamanya di dunia, kaedah itu tidak memerlukan pesakit datang ke hospital sebaliknya mereka boleh melakukan ujian itu di rumah. "Ia sangat mudah, mereka hanya perlu melakukan calitan sendiri di rumah sebelum menyerahkan sampel ke hospital dan boleh dapat keputusan dalam tempoh singkat menerusi telefon. "Sekiranya ujian mengesan sesuatu kelainan, maka pesakit akan diminta datang ke hospital bertemu dengan pakar," katanya. Malah katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bercadang untuk menggunakan HPV Testing sepenuhnya menjelang 2023 dalam usaha memastikan lebih ramai golongan wanita menjalani pemeriksaan. Kata Dr Woo, mesin yang digunakan dapat memproses 200 sampel dalam tempoh empat jam yang mampu memberi lebih banyak manfaat. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!