suria

Beg sekolah berat punca skoliosis? Awasi postur anak elak tulang belakang membengkok

Masalah skoliosis biasanya dihidapi oleh golongan remaja yang berumur antara 10 hingga 17 tahun.

TIDAK lama lagi, sesi persekolahan akan bermula selepas hampir dua tahun pelajar menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Antara perkara yang sering menjadi isu buat pelajar-pelajar sekolah di negara ini adalah masalah beg sekolah berat yang sering dikaitkan dengan penyakit skoliosis, iaitu kelengkungan pada tulang belakang yang lazimnya dikesan dalam kalangan remaja.

ARTIKEL BERKAITAN: Pakar psikologi kongsi tip berdepan individu mempunyai kecenderungan bunuh diri

ARTIKEL BERKAITAN: Tumbesaran terbantut puncanya bukan sahaja kerana genetik tetapi juga GHD... jangan risau ia boleh dirawat!

Menurut Pakar Bedah Ortopedik, Tulang Belakang & Trauma, Hospital Orthopaedic ALTY, Dr Lim Sze Wei, di Malaysia, kajian mendapati skoliosis dialami oleh dua hingga tiga peratus populasi, iaitu kira-kira 600,000 hingga 900,000 penduduk.

1

Skoliosis menyebabkan tulang belakang menjadi bengkok.

Apa yang lebih merisaukan adalah, kondisi ini biasanya dihidapi oleh golongan remaja yang berumur antara 10 hingga 17 tahun, di mana lonjakan dalam kadar tumbesaran mereka berlaku.

“Lengkungan yang terjadi lazimnya berbentuk C atau S dan ukuran melebihi 10 darjah seperti yang dilihat pada imbasan sinar X dikategorikan sebagai skoliosis.

“Antara komplikasi yang mungkin berpunca daripada skoliosis ialah kesakitan kronik, kesukaran untuk bernafas dan kekurangan upaya untuk melakukan senaman,” katanya.

Apa kaitan beg sekolah berat dan skoliosis?

Jelas Dr Lim, kajian dan laporan perubatan tidak menemui sebarang kaitan antara skoliosis dan beg sekolah yang berat. Ia juga tidak dapat menyokong idea yang menyebut bahawa beg berat mampu mengubah struktur tulang belakang kanak-kanak yang sedang membesar.

“Namun, jika beg digalas dengan cara salah atau untuk jangka waktu panjang, ia boleh menjurus kepada komplikasi tulang belakang yang lain seperti sakit belakang, postur bermasalah, kelemahan pada otot, serta keletihan,” ujarnya.

5

Skoliosis boleh menjadi kronik sekiranya tidak dirawat lebih awal.

Tambah beliau, bukti menunjukkan golongan remaja yang mengalami kesakitan pada bahagian belakang berkemungkinan mengalami sakit belakang kronik apabila mereka sudah dewasa.

Apa sebenarnya punca skoliosis?

Dr Lim berkata, skoliosis boleh dialami oleh individu dengan kondisi seperti palsi serebrum atau distrofi otot, namun dalam kebanyakan kes, skoliosis bersifat idiopatik, bermakna tiada sebab jelas yang diketahui.

Sungguhpun begitu, terdapat beberapa faktor risiko yang telah dikenal pasti seperti:

1. Usia – Kebanyakan kes berlaku apabila kadar tumbesaran kanak-kanak melonjak naik pada usia 10 tahun dan ke atas.

2. Jantina – Golongan wanita lebih berisiko untuk menghidap skoliosis berbanding lelaki.

3. Keturunan – Skoliosis boleh diwarisi secara genetik daripada ibu bapa atau sanak saudara yang mempunyai kondisi berkenaan.
3

Skoliosis boleh menjadi lebih teruk di usia remaja kerana anak-anak melalui fasa tumbesaran yang pantas ketika itu.

“Kebanyakan kes skoliosis adalah tidak serius, namun lengkungan tersebut akan menjadi lebih parah seiring dengan tumbesaran kanak-kanak, dan skoliosis yang dikategorikan sebagai parah mampu melumpuhkan penghidapnya.

“Kes-kes skoliosis dengan punca yang diketahui adalah lebih jarang berbanding kes skoliosis idiopatik. Skoliosis bukan idiopatik lazimnya disebabkan oleh kecacatan pada pembentukan tulang belakang, atau akibat kesan sampingan daripada penyakit lain seperti kondisi neuromuskular, penyakit tisu penghubung dan kondisi genetik,” kata Dr Lim.

Cara mengesan gejala skoliosis

Jelas Dr Lim, jika masalah ini dikesan lebih awal, peluang untuk mencegah skoliosis daripada menjadi lebih serius adalah lebih tinggi.

Katanya, ibu bapa boleh melakukan pemeriksaan kendiri di rumah untuk mengesan gejala dan simptom skoliosis pada anak mereka.

“Antara gejala skoliosis yang paling lazim meliputi perbezaan pada ketinggian atau posisi bahu, tulang kipas (shoulder blades), atau pinggul – misalnya, bahu sebelah lebih rendah berbanding bahu yang lagi satu. Kepala yang tidak berkedudukan di tengah berdasarkan anggota badan yang lain juga merupakan satu lagi gejala,” katanya.

4

Masalah skoliosis boleh dielak jika ibu bapa dapat mengesan gejala awal pada anak mereka.

Selain itu, Dr Lim juga mengesyorkan ibu bapa untuk melakukan ujian ringkas yang dinamakan ‘Adam’s Forward Bend Test’ untuk mengesan lengkungan pada tulang belakang dengan meminta anak mereka tunduk ke hadapan dan mengunjurkan kedua-dua tangan hingga melepasi jurang antara lutut mereka.

Katanya, jika ada yang tidak normal pada bahagian tulang rusuk atau terdapat kecacatan lain pada bahagian belakang, ia mungkin menandakan anak mereka menghidap skoliosis.

Rawatan untuk skoliosis

Bagi kes skoliosis yang tidak serius, Dr. Lim berkata, kaedah rawatan tanpa pembedahan seperti senaman dan pendakapan boleh membantu memperlahankan atau menghentikan pembentukan lengkungan daripada terus berlanjutan dan boleh membantu menghilangkan kesakitan yang berpunca daripada kondisi tersebut.

Bagaimanapun, menurutnya kaedah ini tidak dapat memperbaiki lengkungan pada tulang belakang dan pesakit perlu dipantau sepanjang hayat mereka untuk memastikan kondisi tersebut tidak menjadi lebih buruk.

Tambahnya, pembedahan hanya perlu dilakukan jika lengkungannya teruk serta mengganggu kualiti hidup pesakit.

Dr Lim Sze Wei

Pakar Bedah Ortopedik, Tulang Belakang & Trauma, ALTY Orthopaedic Hospital, Dr. Lim Sze Wei.

“Di ALTY Orthopaedic Hospital, semasa menentukan pelan rawatan yang terbaik bagi penyakit skoliosis dalam kalangan kanak-kanak, pasukan pakar perubatan kami akan mengambil kira faktor keparahan lengkungan, termasuk di mana lengkungan berkenaan terbentuk pada tulang belakang, serta usia kanak-kanak dan peringkat tumbesaran mereka.

“Jika ibu bapa gagal membuat diagnosis atau pemeriksaan susulan bagi kondisi anak mereka untuk tempoh yang lama, kami mungkin tidak lagi berpeluang untuk memanfaatkan kaedah efektif untuk mencegah skoliosis yang telah berkembang seiring dengan tumbesaran pesakit, dan rawatan bagi komplikasi ini mungkin akan menjadi lebih mencabar,” jelas Dr Lim.

Beliau menyarankan ibu bapa untuk mendapatkan nasihat pakar perubatan sebaik sahaja mereka mengesan sebarang perubahan pada anak-anak mereka.

Katanya, dengan melakukan pemeriksaan berkala dan mengambil tindakan yang tepat pada masanya, komplikasi seperti skoliosis dapat ditangani dengan lebih baik.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain