suria

Banyak makan, minum produk mengandungi lemak tenusu boleh kurangkan risiko penyakit kardiovaskular

Keju merupakan antara makanan yang mempunyai lemak tenusu yang sangat popular.

PENYAKIT kardiovaskular seperti serangan jantung, strok dan Arrhythmia merupakan salah satu pembunuh utama di dunia.

Salah satu punca penyakit kardiovaskular adalah amalan pemakanan yang tidak sihat dan tidak seimbang.

ARTIKEL BERKAITAN: Jika tak muat ‘sarung’ seluar ketika umur 21 tahun, anda mungkin berisiko hidap diabetes!

Menurut satu penyelidikan terbaru, pengambilan makanan dan minuman yang mempunyai lemak tenusu dikaitkan dengan risiko penyakit kardiovaskular yang lebih rendah.

Sepasukan saintis antarabangsa mengkaji penggunaan lemak tenusu oleh 4,150 warga emas berusia 60 tahun di Sweden - sebuah negara dengan salah satu tahap pengambilan dan pengeluaran produk tenusu tertinggi di dunia - dengan mengukur tahap asid lemak tertentu dalam darah yang kebanyakannya dijumpai dalam produk tenusu.



Mereka yang mengamalkan pengambilan produk mengandungi lemak tenusu berisiko lebih rendah diserang penyakit jantung.

Mereka memantau peserta selama 16 tahun untuk memerhatikan berapa ramai yang mengalami serangan jantung, strok dan masalah peredaran darah serius, serta yang meninggal dunia dalam tempoh berkenaan.

Setelah mengambil kira faktor risiko penyakit kardiovaskular lain, termasuk usia, pendapatan, gaya hidup, tabiat pemakanan dan penyakit lain, para penyelidik mendapati mereka yang mempunyai kadar asid lemak yang tinggi mempunyai risiko terendah untuk diserang penyakit kardiovaskular, serta tiada peningkatan risiko kematian.

Para penyelidik kemudian mengesahkan penemuan ini dengan membandingkan hasil kajian tersebut dengan 17 kajian lain yang melibatkan sejumlah hampir 43,000 orang dari Amerika Syarikat, Denmark dan United Kingdom.

"Walaupun penemuan ini sebahagiannya dipengaruhi oleh faktor selain lemak tenusu, kajian kami tidak menunjukkan bahaya lemak tenusu itu sendiri.

"Kami mendapati mereka yang mempunyai tahap tertinggi sebenarnya mempunyai risiko penyakit kardiovaskular yang paling rendah," kata salah seorang penulis kajian, Matti Marklund, yang juga penyelidik kanan di George Institute for Global Health, Sydney.

Katanya, walaupun hasil kajian itu menarik perhatian, mereka memerlukan kajian lanjutan untuk lebih memahami kesan kesihatan lemak tenusu dan makanan tenusu.



Para penyelidik berpendapat mengurangkan atau menghindari produk yang mempunyai lemak tenusu bukan pilihan terbaik untuk kesihatan jantung.

Penulis utama kajian, Kathy Trieu berkata, pengambilan beberapa makanan tenusu, terutama produk yang diperam, sebelumnya dikaitkan dengan manfaat untuk jantung.

“Terdapat peningkatan bukti yang menunjukkan bahawa kesan kesihatan daripada produk tenusu mungkin lebih bergantung pada jenisnya - seperti keju, yogurt, susu, dan mentega - daripada kandungan lemak di dalamnya, yang menimbulkan keraguan jika penghindaran lemak tenusu secara keseluruhan bermanfaat untuk kesihatan kardiovaskular.

"Kajian kami menunjukkan bahawa mengurangkan pengambilan lemak tenusu atau menghindarinya terus mungkin bukan pilihan terbaik untuk kesihatan jantung.

"Penting untuk diingatkan bahawa walaupun makanan tenusu kaya dengan lemak tepu, ia juga kaya dengan pelbagai nutrien lain dan boleh menjadi sebahagian daripada diet yang sihat.

"Bagaimanapun, lemak lain seperti yang terdapat dalam makanan laut, kacang, dan minyak sayuran yang bukan di kawasan tropikal boleh memberi faedah kesihatan yang lebih besar daripada lemak tenusu," jelas Trieu.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain