suria

Mitos atau fakta... Saiz kantong perut ikut berat badan? Pakar bariatrik jelaskan perkara sebenar

Dr Mustafa Mohammed Taher menjelaskan kekeliruan mengenai tanggapan saiz kantong perut berdasarkan berat badan seseorang.

PERNAHKAH anda terfikir berapa besar saiz perut kita dan adakah ia bergantung kepada berat badan seseorang?

Sebenarnya ramai beranggapan bahawa individu dengan lebihan berat badan mempunyai saiz kantong perut lebih besar apatah lagi melihat kemampuan golongan ini mengambil kuantiti makanan yang banyak.

ARTIKEL BERKAITAN: Pembedahan bariatrik bukan sahaja atasi obesiti, mampu kawal diabetis dan darah tinggi

Sejauh mana kebenaran dan logik berhubung perkara ini?

Menjelaskan mengenai perkara itu, pakar perunding pembedahan dan bariatrik, Dr Mustafa Mohammad Taher menjelaskan meskipun tanggapan itu kedengaran logik namun saiz kantong perut tidak boleh diukur hanya melalui fizikal seseorang.

fb

Saiz kantong perut bukan diukur berdasarkan berat badan seseorang.

Kata Dr Mustafa, terdapat pesakitnya yang melakukan pembedahan bariatrik dalam kategori berat badan sederhana tetapi mempunyai saiz kantong perut lebih besar dan mempunyai pelbagai penyakit kronik.

Ada pula jelasnya, berat badan melebihi 100 kilogram tetapi saiz perut mereka lebih kecil selain kurang komplikasi dalaman seperti penyakit kencing manis, hipertensi atau pun masalah berkaitan kardiovaskular.

"Sebagai contoh, pesakit yang paling ringan bukan sahaja mempunyai perut paling besar akan tetapi mempunyai pelbagai penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, hati berlemak dan masalah tidur yang dipanggil Obstructive Sleep Apnea (OSA)," katanya.

Dr Mustafa menjelaskan saiz perut tidak boleh diukur secara fizikal sebaliknya penggunaan teknik imbasan X-ray atau CT Scan boleh digunakan.

Bagaimanapun katanya, kedua-dua teknik itu tidak dapat mengesan saiz perut seseorang dengan ukuran tepat sebaliknya hanya anggaran boleh dilakukan.

09E24BCC-E4FD-4CA4-B796-1E32B4357336

Dr Mustafa telah menjalankan banyak pembedahan bariatrik termasuk dalam kalangan selebriti.

"Nak tahu saiz yang tepat memang tidak boleh kecuali ketika pembedahan, barulah kita boleh dapat ukur saiznya," katanya.

Menjelaskan tentang golongan yang berat badan tidak meningkat meskipun mempunyai tabiat pemakanan yang buruk, Dr Mustafa memberitahu kebiasaannya ia dipengaruhi pelbagai faktor.

Ini termasuklah cara pemakanan, waktu makan, jenis makanan, gaya hidup dan sebagainya.

Sementara itu, Dr Mustafa menjelaskan kos pembedahan bariatrik bagi individu berbadan kurus dan gemuk adalah sama sebaliknya ukuran perut yang perlu dibuang, ketelitian pembedahan dan rawatan selepas pembedahan paling diutamakan.

"Kos pembedahan ini bukan tertakluk kepada berat badan seseorang, sebagai doktor saya akan pastikan pesakit melakukan pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu sebelum pembedahan dilakukan," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain