SUBJEK sains sebenarnya sangat menarik untuk dipelajari oleh golongan kanak-kanak. Malah, jika kita soroti, sains sebenarnya ada di sekeliling kita sama ada di rumah, alam sekitar mahupun dalam tubuh badan kita sendiri, semuanya berkait rapat dengan sains. Oleh itu, ada banyak sebab mengapa kita patut mengasah ‘literasi sains’ anak-anak. Bukan sekadar subjek di sekolah, impak positif sains ke atas pembangunan kanak-kanak tidak terhitung nilainya. Sebagai contoh, para penyelidik yang telah membuat kajian ke atas 120 orang pelajar sekolah rendah mendapati bahawa pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) mampu membina kemahiran pemikiran kritikal mereka. Satu analisis yang disiarkan pada tahun 2020 telah menyimpulkan bahawa pendidikan STEM boleh melengkapi pelajar lebih baik dengan kemahiran yang diperlukan untuk menghadapi cabaran industri 4.0, dan pada masa yang sama, menggalakkan inovasi. Penemuan daripada tinjauan persepsi sains global 2021 oleh 3M yang bertajuk “3M State of Science Index” mendapati bahawa Covid-19 juga telah menarik perhatian ramai terhadap STEM. Hampir kesemua responden Asia Pasifik, atau 91 peratus bersetuju bahawa dunia ini memerlukan lebih ramai individu dalam bidang kerjaya yang berkait dengan STEM. Mujur, 73 peratus bersetuju bahawa golongan muda kini lebih tertarik dengan sains serta isu berkaitan dengan sains. Jadi, bagi ibu bapa yang masih tertanya-tanya, ada lima kaedah menyeronokkan yang boleh diguna untuk mencetus minat golongan muda terhadap sains. 1. Teroka soalan anak anda dan cari jawapan bersama Peluang terbaik untuk belajar tentang sesuatu yang baru adalah menerusi soalan yang diajukan oleh mereka. Untuk jawapannya, ambil masa anda untuk menjelaskan tentang konsep.Jika anda tidak pasti akan jawapan kepada soalan tersebut, jadikan ia satu peluang untuk belajar sesuatu yang baru. Cari jawapan bersama dengan anak anda. Kunjungi perpustakaan terdekat atau baca artikel yang terdapat dalam talian. Pada zaman internet ini, dimana pelbagai jenis ilmu boleh didapati secara meluas, adalah penting untuk kita bersikap lebih arif. Pastikan anda merujuk sumber-sumber yang boleh dipercayai dan sahih serta manfaatkan penyemak fakta dalam talian seperti Google’s Fact Check Tools dan FactCheck.org untuk memastikan anda tidak membaca berita palsu. Dengan menggalakkan kreativiti ketika belajar, ia dapat mengasah kemahiran dalam menyelesaikan masalah dan pemikiran kritis dalam kalangan pelajar. Seterusnya, ibu bapa juga boleh bertanya soalan untuk menggalakkan proses pembelajaran dan penerokaan anak mereka.Satu kajian pada tahun 2019 yang melibatkan kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun, bermain dengan gear mendapati bahawa jenis soalan yang ditanya oleh ibu bapa juga boleh mempengaruhi tingkah laku anak mereka.Ibu bapa yang menggalakkan anak mereka untuk menjelaskan tentang mekanisme gear berkenaan boleh menjurus kepada perbincangan yang lebih mendalam. Sementara itu, galakan untuk meneroka pula boleh membawa banyak masa kepada kanak-kanak menghubungkan gear tersebut. Oleh itu, jangan mengelak soalan yang ditanya oleh anak anda, sebaliknya, ambil peluang ini untuk meneroka sains bersama dan didik mereka tentang kepentingan penyelidikan dan penemuan! 2. Luangkan masa bersama alam semula jadi Apakah cara yang lebih baik di dunia ini untuk mengetahui "bagaimana dan mengapa" daripada memerhatinya di alam semula jadi? Semasa kecil, GT Lim, Ketua 3M Malaysia telah melalui kehidupan yang serba sederhana dekat dengan alam semula jadi. Mengambil air dari perigi, menggunakan lampu minyak sebagai sumber cahaya, dan mengumpul kayu api untuk memasak telah mencungkil minat dan apresiasi beliau terhadap sains.Anak anda tidak perlu menjalani kehidupan seumpama ini untuk mengamati alam semula jadi. Bawa anak anda bersiar di tapak rizab semula jadi atau zoo untuk meneroka hidupan liar, atau berkhemah untuk mengalami keajaiban bumi kita. Ajar anak anda tentang fungsi geseran dengan bermain tarik tali, atau biar mereka cipta permainan berpapan cahaya menggunakan litar kertas.Jika mereka lebih suka permainan sains dalam talian, Code - sebuah pertubuhan yang tidak bermotifkan keuntungan, bertujuan untuk meluaskan akses ke atas bidang sains komputer – memperkenalkan sains komputer kepada anak-anak anda dengan cara yang menyeronokkan dan mudah untuk difahami, seperti pelajaran yang berpaksikan Angry Birds serta Minecraft misalnya. 3. Mainan DIY Meskipun teknologi merupakan alat yang sangat berguna untuk mempelajari sains, tidak salah jika kita menepikan penggunaannya sekali-sekala. Galakkan anak anda untuk mencipta mainan mereka sendiri menggunakan apa yang terdapat di sekeliling mereka. Warga 3M, Ewe Kok Chye mengingati kembali “Saya pernah membuat layang-layang menggunakan buluh dan helaian kertas. Kami juga pernah mencipta pelbagai mainan yang lain, bezanya layang-layang ini telah mengajar kami sedikit sebanyak tentang aerodinamik, iaitu sains penerbangan.” Subjek sains sangat seronok untuk dipelajari sejak usia muda. Ketika membesar, Ewe sering bermain di luar bersama rakan-rakan dan mendapat ilham dari apa yang mereka tonton di kaca TV. Jurutera Aplikasi di Divisyen Solusi Pasaran Elektronik 3M yang berlokasi di Malaysia ini berkata: “Selalunya imaginasi kita akan menguasai diri kita dan ‘mainan’ yang dicipta merupakan hasil imaginasi tersebut, jadi begitulah minat saya terhadap sains dan matematik telah tercetus.” Menurut tinjauan Gallup yang melibatkan 1,036 guru, 2,673 ibu bapa dan 853 pelajar, pemupukan kreativiti dalam pendidikan adalah mustahak.Dengan menggalakkan kreativiti ketika belajar, ia dapat mengasah kemahiran dalam menyelesaikan masalah dan pemikiran kritis dalam kalangan pelajar.Selain berupaya untuk menyerap lebih banyak ilmu, pelajar juga boleh menjalinkan hubungan antara subjek dengan lebih baik, memahami dengan lebih mendalam mengenai sesuatu subjek, dan mencapai prestasi yang lebih baik dalam peperiksaan. 4. Kunjungi muzium dan pameran sains secara virtual atau fizikal Bawa anak anda bersiar pada hujung minggu atau musim cuti sekolah untuk meneroka sains. Ia merupakan peluang yang baik untuk belajar dan meluangkan masa yang berkualiti bersama keluarga.Terdapat banyak muzium dan organisasi sains yang menganjurkan pelbagai jenis pameran, lawatan, atau bengkel dalam talian dimana anda dan anak anda boleh sertai dari keselesaan dan keselamatan dirumah sendiri. Tonton Science Show dan lihat bagaimana keajaiban sains, malah anda juga boleh mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti Panca Sains untuk melakukan sesuatu yang praktikal apabila anda melawat Petrosains bersama anak anda. Jika anak anda suka belajar dengan cara mendengar, mereka boleh menimba inspirasi daripada siri audio siar (podcast) Generation Future-Ready. Jika mereka suka membaca, luaskan pengetahuan mereka dengan pelbagai fakta menarik dan aktiviti DIY yang mereka boleh pelajari di Wonderblog.Jika anak anda merupakan pelajar kinestetik, lembaran yang boleh dimuat turun dan permainan pendidikan dalam talian pasti akan membuat mereka fokus sepenuhnya.Sekiranya mereka kerap mengadap tablet atau televisyen, gunakan pendekatan pembelajaran auditori-visual mereka sebagai suatu kelebihan dengan memperkenalkan video-video sains yang terdapat di saluran YouTube. Di segmen Learning Bytes yang terdapat di laman sesawang Petrosains, pasti ada sesuatu yang sesuai untuk anak anda. 5. Lakukan aktiviti praktikal Mengambil kesempatan dengan sifat ingin tahu dalam diri anak anda dengan menggalakkan mereka untuk melakukan aktiviti yang praktikal. Perlu sumber yang lain? Cuba lakukan eksperimen sains bersama anak anda di rumah dengan merujuk laman sesawang Science At Home oleh 3M.Terokai bagaimana anda boleh menggunakan barangan yang terdapat di rumah untuk mempelajari tentang prinsip-prinsip teras sains yang informatif lagi menyeronokkan. Cuba cipta roket kertas, atau belajar menghasilkan efek bunga api yang menarik! Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI