SAKIT belakang yang sering dialami oleh wanita hamil merupakan perkara biasa. Ia berlaku kerana tubuh seorang wanita akan berubah bagi menampung tumbesaran kandungan mereka. Kajian demi kajian menunjukkan bahawa sekitar 50 hingga 80 peratus ibu mengandung mengalami masalah sakit pinggang. Oleh itu, penjagaan kesihatan tulang belakang menjadi lebih penting dalam setiap peringkat kehamilan seorang wanita. Pakar bedah ortopedik, tulang belakang dan trauma, Hospital ALTY Orthopaedic, Dr. Lim Sze Wei berkata antara punca sakit belakang dalam kalangan wanita hamil adalah kenaikan berat badan, perubahan postur, perubahan hormon, serta stres.ARTIKEL BERKAITAN: Berpantang... perlu atau tidak? 6 mitos paling popular bagi ibu selepas bersalin Berat badan wanita yang hamil kata Dr. Lim lazimnya akan bertambah sekitar 11 hingga 16 kilogram, sekaligus menambah beban pada tulang belakang mereka. "Kehamilan juga akan mengubah pusat graviti seorang wanita kerana mereka akan menyesuaikan postur dan pergerakan untuk menampung perut mereka yang semakin membesar. Antara punca sakit belakang dalam kalangan wanita hamil adalah kenaikan berat badan, perubahan postur, perubahan hormon, serta stres. "Tambahan lagi, tubuh wanita menghasilkan hormon relaksin ketika hamil yang membolehkan ligamen di kawasan pelvis dan sendi mereka menjadi lebih longgar sebagai persediaan untuk proses kelahiran. "Ia membolehkan ligamen tersebut menyokong tulang belakang yang mengendur, lalu menjurus kepada ketidakstabilan dan kesakitan," katanya kepada mStar. Tambah Dr. Lim, tekanan emosi juga boleh menyebabkan ketegangan otot di bahagian belakang badan, yang mungkin akan dirasai sebagai kesakitan atau kekejangan. Bagaimanapun, tiada istilah “terlalu lambat” atau “terlalu awal” bagi wanita untuk melindungi tubuh mereka daripada komplikasi sakit pinggang ketika hamil. Mempersiapkan tubuh sebelum hamil Dr. Lim menjelaskan wanita boleh mencegah atau mengurangkan sakit belakang sebelum mereka hamil dengan menguatkan tubuh mereka – terutamanya anggota kaki, abdomen, dan bahagian belakang badan – menerusi senaman yang dilakukan secara bersederhana. Pakar bedah ortopedik, tulang belakang dan trauma, Hospital ALTY Orthopaedic, Dr. Lim Sze Wei. Sebelum hamil, wanita seharusnya mengambil langkah penjagaan pra kehamilan yang meliputi konsultasi dengan doktor untuk merangka pelan, selain berbincang mengenai pelbagai jenis teknik senaman untuk mempersiapkan tubuh mereka bagi menampung beban kehamilan. "Sesetengah senaman seperti berjalan atau mengayuh mesin basikal selama 20-30 minit sehari dapat membina kekuatan kaki, begitu juga dengan pelbagai senaman ringkas yang dapat menguatkan otot abdomen untuk menampung beban perut selain melindungi tulang belakang apabila proses kehamilan mula menginjak peringkat demi peringkat. "Dengan memiliki kekuatan ini, tubuh kita dapat mengekalkan keselarian dan keseimbangannya ketika perut mula membesar dan menarik pinggang ke hadapan," jelasnya. Mengurus sakit belakang ketika hamil Menjelaskan lebih lanjut mengenai perkara itu, Dr. Lim memberitahu selepas seorang wanita itu hamil, risiko sakit belakang akan tercetus dan biasanya ia berlaku ketika kandungan mencecah usia lima hingga tujuh bulan. Biasanya kata Dr. Lim, kesakitan akan mula dirasai sekitar minggu ke-18 kandungan dan akan memuncak pada minggu ke-24 hingga ke-36. Kesakitan boleh dirasai seawal usia kandungan mencecah 18 minggu. "Ketika fasa ini, wanita hamil harus mengamalkan tabiat yang sihat untuk memastikan tubuh mereka diberi sokongan yang sebaiknya," katanya. Untuk mencegah atau meringankan masalah sakit belakang ketika mengandung, Dr. Lim berkata wanita patut memantau kenaikan berat badan, mengamalkan diet yang sihat, serta bekerjasama dengan pakar obstetrik-ginekologi (OB) untuk memelihara berat badan yang disyorkan untuk mengecapi proses kehamilan yang sihat. Penjagaan postur yang disokong dengan kaedah yang ergonomik ketika duduk atau berdiri juga akan membantu meringankan beban pada pinggang. "Postur tidur secara mengiring dengan penggunaan bantal sokongan yang diletakkan di antara lutut, di bawah abdomen atau di bahagian belakang badan juga disarankan ketika mengandung. "Selain itu, elakkan penggunaan kasut tumit tinggi dan selipar. Dapatkan kasut baharu jika saiz kasut anda berubah ketika hamil, cuba gunakan kasut tumit rendah dengan sokongan arkus untuk membantu tulang belakang mengekalkan lengkungannya yang betul," ujarnya. Di samping itu, senaman juga merupakan langkah pencegahan yang penting untuk masalah sakit belakang tapi hadkan aktiviti berintensiti tinggi. Senaman dapat membantu mengurangkan rasa sakit. Ini kata Dr. Lim termasuklah berjalan, berenang atau yoga merupakan senaman efektif untuk membina kekuatan pelvis, pinggul, dan pinggang ketika hamil, tapi lebih baik jika mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu mengenai cara untuk bersenam dengan selamat ketika hamil. "Akhir sekali, pengurusan stres ketika hamil juga mempunyai kelebihannya dari segi fizikal dan emosi. Urutan pranatal, meletakkan pad panas pada pinggang, dan melebihkan rehat juga merupakan kaedah yang ideal untuk mengurus stres di samping menyokong kesihatan tulang belakang," katanya. Penjagaan Pascakehamilan Kesakitan yang berlarutan atau yang baru dialami pada bahagian pinggang selepas kehamilan, juga disebut sebagai sakit belakang postpartum, biasanya akan surut enam bulan setelah melahirkan, namun ia boleh berterusan lebih lama. Majoriti wanita yang merasai sakit belakang postpartum kata Dr. Lim akan mengalami simptom komplikasi ini akibat perubahan yang disumbang oleh kehamilan pada sistem rangka otot yang berlarutan selepas melahirkan anak. Kesakitan ini katanya, biasa dialami ketika melakukan aktiviti yang melibatkan pergerakan badan, seperti berjalan, mengangkat, membongkok, atau mendukung bayi, dan ia boleh diredakan dengan berehat, bersenam, dan melakukan rawatan di rumah. Postur badan juga membantu masalah sakit belakang. Berikut merupakan tip pencegahan sakit belakang buat para ibu baharu: 1. Mulakan rutin senaman seawal yang mungkin setelah melahirkan anak untuk mengembalikan tona otot abdomen dan belakang. Jika boleh, cuba kecapi semula berat badan normal anda dalam tempoh enam bulan selepas melahirkan anak. 2. Elakkan memusing badan anda terlalu kerap. Hampirkan bayi anda ke dada sebelum mengangkat, jangan unjurkan tangan untuk mengangkat bayi. Untuk mengangkat bayi dari lantai, bengkokkan lutut (bukannya pinggang), cangkung, tegangkan otot perut anda, dan angkat menggunakan otot kaki. 3. Sakit belakang yang berlaku di bahagian atas boleh diakibatkan oleh aktiviti penyusuan, ia dapat ditangani dengan merapatkan bayi ke dada dan bukannya membongkok ke arah bayi. Gunakan kerusi menegak dan bukannya sofa lembut agar tulang belakang anda dapat diberikan sokongan yang lebih baik. "Para ibu baharu biasanya membelakangkan keselesaan mereka – masa, tenaga, dan perhatian mereka ditumpukan ke atas bayi. Jika anda gagal merawat simptom sakit belakang ia boleh menjurus kepada kesakitan kronik, selain menjejaskan kualiti hidup. "Wanita digalakkan untuk mendapatkan rawatan bagi menangani simptom dan masalah yang dialami. Dengan mengatasi masalah sakit belakang selepas melahirkan anak, para ibu baharu boleh menjaga anak mereka dengan lebih efektif di samping menikmati pengalaman keibuan mereka dengan lebih bahagia," katanya. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI