SEJAK awal tahun 2021, rakyat Malaysia mula beratur di pusat-pusat vaksinasi untuk mendapatkan suntikan vaksin bagi melindungi diri daripada wabak Covid-19. Biarpun ada segelintir ragu dengan keberkesanannya, namun pengambilan suntikan vaksin mula meningkat dan setakat Januari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebanyak 97.7 peratus golongan dewasa telah mendapat vaksinasi lengkap.ARTIKEL BERKAITAN: "Rehat secukupnya kerana tubuh seperti di medan perang" - Kongsi 10 tip selepas terima vaksin, doktor ini redakan kebimbangan masyarakat Bagi mereka yang berusia 12 hingga 17 tahun pula, peratusan vaksinasi lengkap sudah pun mencapai 87.7 peratus. Tetapi perjuangan melawan virus ini masih berterusan dan terkini kita sekali lagi dikehendaki mendapatkan suntikan dos penggalak. Pihak berkuasa kesihatan sebelum ini memberi jaminan kepada kita bahawa dos penggalak tidak diperlukan. Jadi, kenapa berlaku perubahan pula?Ketua dan Perunding Penyakit Berjangkit bagi Pusat Pengajian Perubatan di Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Profesor Dr James Koh berkata, penyelidikan berterusan dengan data terbaharu mendapati kesan perlindungan (atau tahap peneutralan antibodi) bagi semua vaksin cenderung menurun mengikut peredaran masa. Ketua dan Perunding Penyakit Berjangkit bagi Pusat Pengajian Perubatan di Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Profesor Dr James Koh. Menurut Dr James, perkara ini tidak sepatutnya mengejutkan kerana kebanyakan vaksin sememangnya ada dos penggalak. "Misalnya, vaksin Hepatitis B ada tiga dos suntikan, yang mana dos kedua dan ketiga adalah dos penggalak. Suntikan dos penggalak anti-Tetanus pula sepatutnya diberikan sekali dalam tempoh setiap 10 tahun, manakala suntikan vaksin pneumokokal yang memberi perlindungan daripada pneumonia disarankan sekali setiap lima tahun. "Ia bukanlah unik kepada vaksin Covid-19 sahaja. Kita mungkin tidak biasa dengan vaksin dos penggalak kerana rakyat Malaysia tidak biasa mendapatkan vaksinasi," jelasnya. Tambahnya lagi, masyarakat juga sebenarnya disarankan untuk mendapatkan dos penggalak bagi influenza setiap tahun namun tidak ramai yang melakukannya. Kesedaran yang mendesak Bagi rakyat Malaysia, Dr James memberitahu keperluan untuk dos penggalak menjadi mendesak kerana majoriti populasi kita, terutamanya, mendapat suntikan vaksin Sinovac sebagai vaksinasi utama pada fasa awal. Statistik tempatan daripada Real-World Evaluation of Covid-19 Vaccines di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (RECoVaM) katanya menunjukkan perlindungan Sinovac terhadap jangkitan Covid-19 menurun dari 76 peratus dalam dua bulan pertama selepas vaksinasi lengkap kepada cuma 28 peratus dalam bulan ketiga hingga kelima. Vaksin penting dalam melindungi seseorang daripada mengalami simptom serius sekiranya dijangkiti wabak itu. "Pada bulan ketiga, kajian mendapati tahap peneutralan antibodi dalam vaksin Sinovac adalah kurang daripada 50 peratus dan pada bulan keenam, ia hampir tidak dapat dikesan,” katanya. Bagi vaksin Pfizer dan AstraZeneca pula, keberkesanannya mula menunjukkan penurunan pada bulan keenam. Oleh itu, adalah penting untuk mendapatkan suntikan dos penggalak yang secara asasnya membangkitkan semula sistem imuniti badan kita untuk menghasilkan antibodi. "Suntikan dos penggalak ini bukanlah pengakhiran. Akan ada dos penggalak lain dan seterusnya. Kita tidak tahu banyak mana tetapi yang pasti ini bukanlah yang terakhir," jelasnya. Gabung dan padan, selamat atau tidak? Sementara itu, Dr James menjelaskan isu keselamatan apabila dua jenis vaksin dicampurkan turut menimbulkan keraguan. Pada awal bulan November, Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC) memberikan kebenaran untuk menggabung padankan vaksin berbeza sebagai dos penggalak. Namun begitu, satu kenyataan oleh Ketua Saintis Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Sourmya Swaminathan pada Julai yang mengatakan masih tiada lagi data bagi kaedah gabung padan vaksin ini dan seseorang individu tidak sepatutnya membuat keputusan sendiri sebaliknya ia tanggungjawab agensi-agensi kesihatan berdasarkan data sedia ada.Data yang tersedia kini semakin meningkat dan bukti daripada negara-negara yang sudah pun melancarkan sistem gabung padan vaksin ini menunjukkan hasil yang baik. Keberkesanan jenis vaksin yang diambil mampu memberi perlindungan kepada orang ramai. "Kajian di Singapura mendapati penurunan risiko jangkitan sebanyak 72 peratus apabila mencampurkan vaksinasi utama Pfizer dengan dos penggalak Moderna, berbanding 62 peratus sahaja bagi mereka yang mendapatkan suntikan Pfizer untuk suntikan pertama, kedua dan ketiga. "Data daripada Kementerian Kesihatan Chile menunjukkan campuran vaksinasi utama Sinovac dengan dos penggalak Pfizer menghasilkan kadar keberkesanan sebanyak 95 peratus terhadap virus itu. Ini adalah satu lonjakan besar berbanding pemberian tiga dos vaksin Sinovac yang menunjukkan keberkesanan sebanyak 74 peratus," ujarnya. Namun begitu, Dr James menggalakkan semua orang untuk mendapatkan suntikan dos penggalak tanpa mengira campurannya kerana tidak mengambil dos penggalak adalah lebih berbahaya. "Mengambil apa sahaja dos penggalak adalah lebih baik daripada tidak mengambilnya langsung. Ini bermakna mereka yang mengambil suntikan Sinovac, lambat laun mungkin perlu mendapatkan dos penggalak lebih awal," ujarnya. Apakah ada orang yang tidak boleh menerima suntikan dos penggalak? Tidak, kata Dr James, kerana setiap orang yang dibenarkan mengambil dua dos pertama boleh mengambil dos penggalak. Bagi mereka yang mempunyai sistem imuniti badan yang lemah seperti pesakit HIV/AIDS, mereka yang menjalani pemindahan organ atau pesakit barah, dos penggalak barangkali menjadi suntikan dos keempat. Masih ramai skeptikal dengan pengambilan dos penggalak. "Sesetengah daripada mereka pada mulanya mungkin perlu mendapatkan tiga dos bagi merangsang sistem imuniti badan untuk menghasilkan antibodi. Bagi mereka ini, dos penggalak adalah dos keempat mereka," ujarnya sambil memberitahu dos penggalak adalah selamat dalam kes-kes tersebut. Perubahan wabak dan kehadiran varian baharu Landskap terus mengalami perubahan dengan kemunculan varian-varian baharu seperti Omicron. "Masih banyak yang perlu diketahui mengenai strain baharu ini. Dapatan awal mencadangkan bahawa varian Omicron lima kali ganda lebih mudah menular berbanding virus asal, manakala varian Delta pula dua kali lebih mudah berjangkit berbanding virus asal. "Ini bermakna, seorang yang dijangkiti varian Delta boleh menjangkiti dua orang lain, manakala seorang yang dijangkiti varian Omicron boleh menjangkiti lima orang lain," jelasnya. Omicron juga tiga kali lebih tinggi berkebolehan mengjangkiti semula dan ini bermakna seseorang boleh dijangkiti berulang kali. Namun begitu, data setakat ini menunjukkan gejala bagi mereka yang dijangkiti varian ini adalah ringan dalam kalangan orang dewasa, manakala kanak-kanak mengalami gejala yang lebih berat. "Ini berkemungkinan disebabkan kanak-kanak di bawah 12 tahun belum divaksinasi," katanya. Apa yang penting kata Dr James adalah kadar kematian masih belum meningkat biarpun kita belum ada data mencukupi untuk membuat sebarang kesimpulan. Beberapa berita yang membawa petanda baik adalah kenyataan daripada Pfizer dan BioNTech yang mengatakan tiga dos vaksin Pfizer masih memberikan perlindungan terhadap varian Omicron daripada mendapat sakit yang teruk. "Vaksin akan terus dipertingkatkan. Sekiranya anda tidak mengambil dos penggalak sekarang, anda masih perlu mendapatkannya pada masa hadapan. Mahu mengambil dos penggalak atau tidak – buatlah pilihan yang betul," ujarnya. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI