suria

Ketahui fakta ubat tahan sakit jenis opioid, boleh bawa maut jika terlebih dos

Aaron dikatakan mengalami ketagihan selepas mengambil oksikodon.

DUNIA hiburan baru-baru ini digemparkan dengan berita kematian penyanyi rap, Aaron Carter yang baru berusia 34 tahun.

Meskipun dia ditemukan lemas di dalam tab mandi, ada yang membuat spekulasi kematiannya mempunyai kaitan rapat dengan Kanye West susulan ciapan di Twitter 'Yo Kanye let's talk... man to man' sehari sebelum kejadian.

ARTIKEL BERKAITAN: Paracetamol melegakan sakit tapi bahaya jika disalah guna

Bagaimanapun umum mengetahui bahawa adik Nick Carter dari kumpulan Backstreet Boys itu mempunyai sejarah pengambilan ubat penahan sakit jenis opioid.

Malah berdasarkan laporan Okezone, pada Julai 2017, Aaron pernah ditangkap atas tuduhan DUI (memandu di bawah pengaruh alkohol) dan ganja di Georgia semasa berada di dalam kereta bersama teman wanitanya, Madison Parker.

Pada tahun yang sama, mendiang turut mengakui ketagih opioid selepas diberi oksikodon.

Elakkan daripada menghancurkan tablet sustain-released kerana ia boleh menyebabkan pengambilan dos berlebihan

Elakkan daripada menghancurkan tablet sustain-released kerana ia boleh menyebabkan pengambilan dos berlebihan

Memetik kenyataan MyHealth tentang ubat penahan sakit yang dikenali sebagai analgesik, ia terdiri daripada pelbagai jenis merangkumi paracetamol (juga dikenali sebagai acetaminophen; biasa dipanggil Panadol (jenama produk) di Malaysia), non-steroidal anti-inflammatory drugs (NSAIDs) dan opioid.

Bagi pengambilan opioid, ia digunakan untuk melegakan kesakitan sederhana hingga teruk.

Sejak lebih kurang 1500 SM, opium tulen ditanam dari benih buah Papaver somniferum (popi).

Opiates, seperti heroin, codeine, atau morphine adalah bahan terbitan semulajadi alkaloid ini yang mana opioid ialah versi sintetik opiate dan mempunyai kesan perubatan yang sama dengan opiate.

Contoh-contoh opioid adalah fentanyl, pethidine, dihydrocodeine, oxycodone, methadone, tramadol dan lain-lain.

Manfaat berbanding risiko

Opioid biasanya diberikan untuk kesakitan dalam penyakit terminal (boleh membawa maut) ataupun sesetengah penyakit kronik bukan kanser.

Ia memainkan peranan penting dalam menangani kesakitan sederhana hingga teruk yang tidak dapat dikawal dengan rawatan alternatif mahupun ubat bukan-opioid.

Aaron mengakui dia ketagihan opioid.

Aaron mengakui dia ketagihan opioid.

Pun begitu, penggunaannya adalah selamat dan berkesan apabila dos rendah yang diambil, tetapi boleh membawa maut jika diambil berlebihan atau tidak diambil mengikut arahan doktor.

Antara kesan sampingan yang biasa dilaporkan adalah loya, muntah, sembelit, keghairahan, perubahan mood, ruam dan mengantuk.

Tempoh pengambilan opioid yang panjang boleh mengakibatkan berlakunya pergantungan dan toleran kepada opioid seperti yang diakui mendiang Aaron.

Apabila badan mulai bergantung kepada kesan opioid, pemberhentian pengambilan secara mendadak akan menyebabkan gejala seperti menggigil, loya, berpeluh, dan cepat marah.

Toleran dicirikan dengan keperluan untuk menambahkan dos dari masa ke masa untuk mencapai kesan kelegaan kesakitan yang sama.

Pergantungan adalah tindak balas semula jadi tubuh terhadap opioid dan ia tidak membawa maksud yang sama dengan ketagihan.

Nasihat kepada pengguna

Elakkan memandu dan menggunakan alat atau mesin yang mungkin menyebabkan kecederaan memandangkan ia boleh mengakibatkan mengantuk dan keghairahan.

Ketagihan opioid jarang berlaku jika ia digunakan untuk tujuan perubatan. Peningkatan dos pada keadaan ini selalunya bermaksud penyakit bertambah teruk ataupun toleran berlaku, dan bukan bermakna ketagihan.

Pengguna harus sentiasa mengambil opioid mengikuti arahan doktor. Elakkan daripada menghancurkan tablet sustain-released kerana ia boleh menyebabkan pengambilan dos berlebihan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

opioid, tahan sakit, Aaron Carter

Artikel Lain