“AKU dah penat hidup”.
Keluhan ini mungkin kedengaran ringkas namun ada makna tersirat di sebaliknya yang hanya si penutur sahaja tahu.
Mungkin bagi kita ia hanyalah sekadar kata-kata, tetapi buat mereka itu mungkin jeritan meminta pertolongan yang tidak terungkap.
Manusia yang kelihatan tenang daripada luaran tidak semestinya bahagia, siapa tahu wujud gelojak dalam jiwa mereka sehingga sanggup memilih untuk menamatkan riwayat hidup sendiri demi ‘keluar’ daripada penderitaan.
Menurut portal Hello Doktor, antara faktor yang menyebabkan seseorang cenderung untuk bunuh diri berpunca daripada tekanan hidup dan gangguan mental serius seperti kemurungan (depresi), skizofrenia dan bipolar.
Berdasarkan data, 70 peratus individu yang membunuh diri sebenarnya memperlihatkan petunjuk daripada segi lisan atau perbuatan mengenai niat mereka itu.
Orang ramai dinasihatkan untuk peka terhadap perubahan orang tersayang.
Ini bermakna, kita sebenarnya mampu memimpin orang tersayang untuk mendapatkan bantuan secepat mungkin sekiranya menyedari tanda-tanda itu lebih awal.
Menurut Public Health Malaysia berikut antara petunjuk awal (red flags) seseorang mungkin berniat tamatkan riwayat hidup mereka:
1. Tiba-tiba menjauhkan diri.
2. Ucap selamat tinggal dengan cara luar biasa seperti menulis surat atau mesej perpisahan.
3. Mengeluarkan kata-kata seperti “aku dah tak tahan hidup, lebih baik aku tiada”.
4. Tiba-tiba kelihatan tenang selepas melalui kemurungan dalam tempoh yang lama
5. Beri bayangan seperti sudah hilang harapan atau putus asa terhadap masa depan.
6. Meninggalkan barangan kesayangan kepada insan yang paling rapat.