RAMAI yang tercari-cari produk terbaik untuk memutihkan gigi demi memastikan senyuman kekal cantik dan menawan.
Menerusi hantaran di TikTok, seorang doktor gigi yang lebih dikenali sebagai Dr Habubu mendedahkan punca gigi seseorang itu masih kuning meskipun penjagaan rapi dilakukan setiap hari.
Berikut adalah penjelasan Dr Habubu:
1. Gosok gigi pada waktu yang salah
Doktor menyarankan supaya gigi digosok pada waktu pagi dan sebelum tidur. Namun, terdapat segelintir individu yang terus memberusnya selepas makan.
Untuk pengetahuan, selepas makan, mulut akan menjadi berasid dengan skala pH sekitar 5.5.
Pada masa sama, gigi menjadi lembut.
Memberus gigi menjadi amalan untuk menjaga kebersihan diri. -Gambar hiasan
Oleh itu, menggosok gigi selepas makan akan menyebabkan gigi mudah terhakis seterusnya menjadi kuning.
Kalau anda ingin juga memberus gigi selepas makan, seeloknya tunggu kira-kira 30 minit atau satu jam.
2. Terlampau banyak memberus
Ada individu yang memberus gigi sehingga lima hingga enam kali sehari sedangkan amalan itu untuk pesakit-pesakit kanser yang baru melakukan chemotherapy atau radiotherapy.
Ini kerana, rawatan berkaitan akan memberi kesan kepada kelenjar air liur yang menyebabkan mereka kekurangan air liur seterusnya meningkatkan risiko gigi berlubang.
Sebaiknya, berus gigi mengikut waktu yang disarankan doktor gigi.
Jenis berus gigi yang digunakan turut memainkan peranan penting. -Gambar hiasan
3. Pilihan berus gigi
Terdapat tiga jenis pilihan berus gigi yang dijual di pasaran.
Jadi, pilihlah berus gigi yang lembut kerana ia lebih sesuai dan selamat digunakan setiap hari.
Dr Habubu turut menyatakan penggunaan berus gigi elektrik antara yang terbaik.
Namun katanya, jika ia digunakan sama seperti berus gigi biasa, ia tidak memberi kesan maksima dan hanya membazirkan duit anda.
4. Berus terlalu kuat
Tidak dinafikan ramai yang memilih berus gigi keras atau medium kerana beranggapan ia lebih membersihkan.
Walhal, kesan memberus dengan kuat boleh menyebabkan berlaku hakisan pada gigi seterusnya menyebabkan ia menjadi mudah sensitif, sakit dan kuning.