suria

Kerana cinta, Khairul Amin ceburi ‘mobile photography’

Gambar-gambar yang dihasilkan Khairul Amin sering mendapat perhatian ramai khususnya di Instagram dan Twitter. FOTO: Khairul Amin

SEGALANYA bermula apabila kisah cinta yang tidak kesampaian, kedengaran klise barangkali namun itulah yang menjadi eskapisme kepada seorang jurufoto muda sehingga karya yang dihasilkannya berjaya mencuri tumpuan ramai.

Bukan mudah, namun bertitik tolak dari kancah emosi itu, Khairul Amin, 24, mula berekspresi dengan seni fotografi sekitar 2013 sehingga dia kini menjadi jurufoto yang mempunyai kelompok peminat tersendiri.

Apa yang lebih menarik, dia memilih haluan bertentangan dengan kebanyakan jurufoto apabila hanya menggunakan peranti telefon bimbit sebagai senjatanya dalam cabang seni ini.

Menurut Khairul Amin, idea adalah elemen paling penting dalam fotografi.

Bermula lima tahun lalu, dia menggunakan iPhone 4 sebelum bertukar ke iPhone 6 dan iPhone X untuk merakam foto sehingga mampu menjana pendapatan sendiri.

Penuntut bidang Kejuruteraan Kimia di Universiti Kuala Lumpur (UNIKL) ini berkata, mobile photography lebih dekat di hatinya biarpun ia sering dipandang rendah oleh segelintir individu.

"Tidak seperti sesetengah jurufoto lain, mereka sememangnya sudah ada minat dalam diri mereka. Lain pula ceritanya apabila saya sekadar mengambil gambar untuk melupakan masalah hati yang menimpa saya suatu ketika dahulu.

"Semua foto saya hasilkan mengikut kreativiti sendiri, dan semuanya self-taught. Lebih penting, saya cuba sampaikan penceritaan dan emosi menerusi setiap foto," ujarnya.

Bercerita lanjut mengenai mobile photography, dia sudah terbiasa dipandang rendah gara-gara tidak menggunakan kamera professional seperti DSLR, berbanding jurufoto-jurufoto lain.

Namun, ia tidak sedikitpun menjadi penghalang untuknya berekspresi sehingga khidmatnya turut digunakan syarikat yang menghasilkan jenama terkemuka sepertiSamsung, Daniel Wellington dan Coca Cola.

Biarpun meminati fotografi, dia kini sedang mengikuti pengajian dalam bidang Kejuruteraan Kimia.

Biarpun kini masih bergelar pelajar, dia juga mampu menjana pendapatan sampingan dengan menjual gambar yang dirakamkan hasil kreativitinya.

Jelas Khairul Amin, sekeping gambar biasanya dijual pada harga sekitar RM300 hingga RM350.

Ujar pemuda kelahiran Bangi, Selangor itu, aspek paling penting dalam fotografi ialah idea.

Malah, dia menangkis pendirian sesetengah pihak yang berpendapat seseorang jurufoto professional perlu menggunakan kamera sebenar, bukannya telefon bimbit semata-mata.

"Selama tiga tahun saya berkarya menggunakan telefon iPhone 6 sahaja. Selebihnya, ia bergantung kepada idea.

"Sebagai contoh, sewaktu saya mahu rakam foto kemerdekaan tempoh hari, saya sudah ada idea awal angle mana saya mahu shoot bunga api, Jalur Gemilang dan Menara KLCC.


Sesi pertemuan Insta Meet.

"Jadi apabila tiba di lokasi, saya fokus pada perkara yang sudah saya rancang sahaja. Tapi, imaginasi juga perlu tinggi dan kreatif dalam mendapatkan hasil terbaik," katanya lagi.

Selain menggunakan telefon bimbit 100 peratus untuk merakam foto, dia juga hanya menggunakan peranti itu untuk tujuan suntingan.

Menurut Khairul Amin, selain aplikasi VSCO Cam yang boleh didapati menerusi Apple Store dan Google Play, dia turut membuat suntingan menggunakan Apple Editing Tools.

Dalam pada itu, Khairul Amin juga sering menganjurkan InstaMeet bersama rakan-rakannya di sekitar ibu kota.

Pertemuan terbuka itu bebas disertai sesiapa sahaja yang berminat untuk merakam gambar dan meningkatkan kemahiran dalam cabang seni itu.

Selain Khairul Amin, InstaMeet turut dikelola beberapa individu lain yang digelar sebagai mentor dan menjadi rujukan kepada peserta dalam setiap sesi pertemuan itu.

"Semua orang boleh join, tua muda kami tak kisah. Paling ramai pernah ada sampai ada lebih 200 peserta. Malah, yang datang dari negara Arab, Jepun, India.

Jelas Khairul Amin, dia juga bercita-cita untuk menjadi jurufoto rasmi Apple suatu hari nanti.

Apa yang lebih penting katanya, karya-karya yang dihasilkannya berupaya menyentuh hati mana-mana individu dan itu sudah memadai buatnya.

Berikut merupakan beberapa foto yang dihasilkan oleh Khairul Amin

Gambar binaan ikonik negara, Menara Berkembar Petronas yang dihasilkan Khairul Amin ternyata menarik perhatian pelayar laman sosial.

Ujar Khairul Amin, dia juga gemar menghasilkan gambar reflection.

Gambar ini cukup memberi penjelasan mengenai bakat kreatif dan keupayaan Khairul Amin dalam seni fotografi.

Cukup memukau. Gambar-gambar sebegini menjadi tarikan utama ramai yang mengikuti akaun Instagram pemuda ini.

Khairul Amin, Mobile Photography

Artikel Lain