suria

Sebelum popular, 5 selebriti Hollywood ini pernah jadi mangsa dera, hidup merempat

Oprah Winfrey dan J.K. Rowling antara figura contoh yang mengalami kesusahan sejak kecil namun tidak pernah berputus asa dalam mengecap kejayaan.

"JANGAN putus asa!". Ia barangkali ungkapan paling klise yang akan anda dengar daripada keluarga atau rakan terdekat apabila berkongsi masalah dengan mereka.

Walaupun ungkapan itu kedengaran biasa tetapi sebenarnya kita tidak akan tahu bila masa kita akan tiba jika masih berpegang kepada "jangan berputus asa" itu.

Bercakap memang mudah kerana tidak berdepan situasi tertentu, malahan tidak melakukannya tetapi kisah lima selebriti terkenal Hollywood ini mungkin boleh memberi inspirasi terutama jika ada di antara kita dalam situasi yang penuh dugaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Anggap muzik susah 'cari makan', Joe Slash sahut cabaran bergelar timbalan datuk bandar PJ

ARTIKEL BERKAITAN:Makan sebuah pesawat sampai licin, sampai sekarang tiada siapa dapat tandingi diet pelik lelaki ini!

Ada di antara mereka pernah tinggal di dalam kereta buruk, berhadapan dengan penderaan emosi dan seksual ketika kecil, malahan berdepan situasi dipandang rendah dalam kerjaya dan kehidupan peribadi.

1. J.K. Rowling

Pada 1994, J.K. Rowling bukan sahaja memegang status janda tetapi terpaksa meneruskan kehidupan bersama anaknya dengan bantuan saraan kerajaan, situasi itu berlaku tiga tahun sebelum buku tulisannya, Harry Potter and The Philosopher's Stone diterbitkan dan menjadi fenomena di seluruh dunia.

Ketika menulis buku itu, Rowling bukan sahaja tidak mampu membeli sebuah komputer tetapi tiada modal untuk mencetak novel berkenaan sehingga terpaksa menulis 90,000 patah perkataan secara manual untuk dihantar ke syarikat penerbitan.

Lebih malang ia langsung tidak diterima sehinggalah sebuah syarikat penerbitan kecil di London, Bloomsbury bersetuju menerbitkan buku itu selepas anak perempuan kepada pemilik syarikat itu 'jatuh cinta' dengan cerita yang ditulisnya.

2. Jim Carrey

Bagi membantu keluarganya, Jim pernah bekerja selama lapan jam sehari di sebuah kelab komedi, The Carroll Burnett Show selepas waktu persekolahan.

Pada usianya 15 tahun, Jim diberi peluang untuk membuat stand up comedy di tempat kerjanya namun kemunculannya itu tidak mendapat sambutan tetapi ia tidak pernah mematahkan semangatnya.

Pelakon filem The Mask itu mengambil tindakan berani berpindah ke Los Angeles untuk mencuba nasib sebagai pelakon, selain sering menghabiskan masa di Mulholland Drive membayangkan dirinya seorang aktor terkenal.

Jim turut menulis sekeping cek bernilai AS$10 juta bertarikh November 1995 dengan harapan dia akan mempunyai wang sebanyak itu menjelang tarikh berkenaan.

Angan-angan Jim menjadi kenyataan apabila dia berjaya mendapat wang lumayan hasil lakonannya dalam filem Dumb and Dumber sebelum tarikh luput cek ditulisnya itu.

3. Tyler Perry

Kehidupan kanak-kanak Tyler Perry penuh dengan penderitaan apabila dia menjadi mangsa penderaan secara fizikal dan seksual sehingga pernah cuba membunuh diri sebanyak dua kali.

Pada usia 23 tahun Tyler berpindah ke Atlanta untuk mengejar cita-citanya sebagai pelakon sebelum berjaya menerbitkan sebuah pementasan teater pertamanya berjudul I Know I've Been Changed yang berkisarkan kisah lampaunya.

Tyler mengeluarkan semua wang simpanannya untuk teater tersebut namun hanya 30 orang memenuhi panggung sepanjang seminggu ia dipentaskan.

Namun Tyler tidak pernah berputus asa dan mencuba mementaskan semula teater itu hingga ia mendapat sambutan luar biasa penonton enam tahun kemudiannya.

Sejak itu dia mula menjadi buruan sebagai pelakon, penulis sehinggakan majalah Forbes menyenaraikannya sebagai pemain industri paling tinggi bayarannya pada 2011.

4. Shania Twain

Membesar dalam sebuah keluarga yang susah, penyanyi Shania Twain menjadikan nyanyian sebagai jalan keluar dalam meluahkan perasaan terpendam menerusi lagu selain mencari wang tambahan buat keluarganya.

Malah Shania mula menyanyi ketika usianya lapan tahun di sebuah bar berdekatan kediamannya dan kemunculannya sentiasa dinantikan oleh pengunjung bar itu.

Nasib malangnya tidak terhenti di situ apabila ibu dan bapa tirinya meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan ngeri ketika usianya mencecah 21 tahun.

Akibat kejadian itu dia terpaksa melupakan impiannya untuk bergelar penyanyi terkenal kerana perlu menjaga tiga adiknya yang masih kecil ketika itu.

Namun itu bukan alasan untuk dia berputus asa apabila memutuskan untuk berangkat ke Nashville bagi mengejar cita-citanya selepas adik-beradiknya sudah menamatkan persekolahan. Kini Shania adalah artis muzik country paling laris jualan albumnya dalam sejarah.

5. Oprah Winfrey

Pengacara terkenal Oprah Winfrey melalui pelbagai kesusahan sepanjang kariernya - dikritik tentang berat badannya, warna kulit termasuk tentang seksualitinya.

Namun ia tidak pernah memberi kesan kepadanya kerana sejak kecil lagi Oprah telah mengalami perkara lebih buruk berbanding kata-kata negatif ketika namanya di kemuncak populariti.

Sejak kecil dia menjadi mangsa penderaan seksual dan berulang-kali dicabul sepupu, bapa saudara dan kenalan keluarganya sehingga dia pernah hamil pada usia 14 tahun, namun anaknya itu meninggal dunia dua minggu selepas dilahirkan.

Penderitaan itu menjadikan Oprah bertambah kuat sehingga berjaya menamatkan pengajiannya di universiti sebelum diterima bekerja pembaca berita di Nashville sebelum mengendalikan programnya sendiri Oprah Winfery Show. - THE MUSE

Artikel Lain