suria

“Kalau ada barang hilang kami sekeluargalah dituduh mencuri” - Alha Alfa dedah perit hidup miskin selepas hadiahkan ibu kereta Merc

Alha Alfa membuat kejutan dengan menghadiahkan sebuah kereta jenis Mercedes-Benz kepada ibunya, Norsham Ahmad besempena hari jadinya yang ke-60 baru-baru ini.

PERKONGSIAN usahawan kosmetik dan jurusolek terkenal Datuk Abdul Al Halim Mohd Al Fadzil yang menghadiahkan ibu tersayang Norsham Ahmad sebuah kereta mewah jenama Mercedes-Benz bersempena hari jadinya yang ke-60 baru-baru ini mendapat perhatian pengikutnya di Instagram.

Ramai yang tersentuh hati dengan kisah di sebalik kehidupan Abdul Al Halim atau lebih mesra dengan sapaan Alha Alfa itu yang sebenarnya melalui pelbagai rintangan untuk sampai ke tahapnya hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Diserang kanser limfoma, hidup Dr Mukhlis beralih dari jarum suntikan ke berus solekan

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Shah Rukh Khan’ Pernah Dibayar RM30 Sebelum Bergelar Datuk

Alha, 31, berkata perkongsian itu bukan untuk mendabik dada, jauh sekali bersikap riak namun ia semata-mata untuk memberi inspirasi kepada orang lain serta mengingatkan dirinya sendiri tentang jasa kedua ibu bapanya.

Sering dipandang hina, dituduh pencuri

Ini kerana kata Alha, dia bukan datang daripada keluarga senang malah bapanya Mohd Al Fadzil hanya bekerja sebagai tukang kebun dengan pendapatan RM500 sebulan.

Kesempitan hidup ketika itu juga kata Alha membuatkan mereka sekeluarga sering dipandang hina serta menjadi sasaran sekiranya berlaku sesuatu perkara.

Alha memberitahu ibu bapanya adalah inspirasi terbesarnya.

"Bayangkan ayah saya hanya bekerja sebagai tukang kebun dengan pendapatan RM500 dan perlu menampung kami empat beradik... saya sendiri tidak dapat bayangkan bagaimana ayah mampu melakukannya.

"Dipandang hina itu sudah biasa malah kalau bertandang ke rumah orang dan ada barang yang hilang kamilah sekeluarga menjadi mangsa dituduh mencuri.

"Apabila dikenang kembali memang sedih tetapi situasi itulah yang membuatkan saya nekad untuk berjaya dalam hidup agar dapat bantu keluarga dan tiada lagi yang menghina dan menuduh kami sebagai pencuri!," katanya kepada mStar.

Ibu gadai gelang demi RM500

Bercerita mengenai hadiah kepada ibunya itu, Alha berkata, kereta mewah itu bukanlah seberapa berbanding pengorbanan yang pernah dilakukan sejak dia kecil.

Cerita Alha, ketika dia diterima masuk ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar pada 2007, ibunya sanggup menggadai gelang perkahwinannya demi mendapatkan wang untuk menampung perbelanjaannya.

Alha terkilan tidak dapat menebus kembali gelang ibunya.

Katanya, hasil gadai gelang itu, ibunya memperoleh sekitar RM500 yang diberikan kepadanya untuk digunakan ketika masuk ke UiTM.

"Alha bawa sendiri ibu naik motosikal pergi ke kedai emas, masa itu Allah sahaja yang tahu apa perasaan saya yang kalau boleh tak nak lihat ibu pajak gelang kesayangannya tetapi terpaksa.

"Sehingga sekarang saya rasa terkilan kerana ia satu-satunya pemberian ayah pada ibu masa mereka berkahwin tetapi itu juga harta terakhirnya untuk anaknya ini sambung belajar," ujarnya.

Lebih malang kata Alha, sejak itu dia berhasrat untuk menebus kembali gelang berkenaan namun kedai tersebut sudah ditutup membuatkannya terkilan sehingga ke hari ini.

Malah kata Alha, bapanya juga banyak berkorban namun tidak pernah ditunjukkan kesusahan dan rasa sedih kepada mereka adik-beradik kerana ingin memastikan keperluan mereka semua terjaga.

Dipandang hina itu sudah biasa malah kalau bertandang ke rumah orang dan ada barang yang hilang kamilah sekeluarga menjadi mangsa dituduh mencuri.

ALHA ALFA 

Usahawan/Jurusolek

"Dulu tiap kali nak raya satu benda saya ingat, ayah suka pakai baju Melayu yang sama dua tiga tahun, bila tanya kenapa tak beli katanya sayang baju elok lagi.

"Tapi saya pernah terdengar perbualannya dengan ibu dia tidak beli kerana tidak cukup duit dan mahu melihat anak-anaknya memakai baju baharu di pagi raya.

"Sejak itu saya berazam akan pastikan ayah pakai baju baharu setiap kali tibanya hari raya dan Alhamdulillah sekarang sudah ada jenama sendiri," ujarnya.

Sementara itu, Alha berkata, dia berharap perkongsian itu dapat memberi inspirasi kepada peniaga atau usahawan baharu agar meletakkan ibu bapa di tangga teratas dalam apa jua dilakukan.

"Fikirkan mereka dahulu baru diri sendiri... Insya-Allah Allah mudahkan dan bagi semua. Kalau buat sesuatu yang susah dan rasa tak mungkin boleh buat, telefon mereka minta pendapat dan Insya-Allah ia dipermudahkan.

"Semangat ibu bapa ini sebenarnya adalah 'tenaga' yang Allah berikan kepada kita. Ingat isteri, suami, rakan, kekasih atau tunang bila-bila masa boleh tinggalkan kita tapi ibu bapa akan tetap berada di sisi walaupun ada masanya kita terlupakan mereka," katanya.

Alha Alfa, hadiah, jurusolek

Artikel Lain