suria

Perkongsian Ratu Rania cara keluarga diraja Jordan buka puasa buat penduduk Arab terpegun!

Potret bahagia Raja Abdullah II (tiga dari kiri), Permaisuri Rania (tengah) dan putera serta puteri mereka. - Instagram Queen Rania

PADA awal tahun ini, Permaisuri Jordan Rania Al Abdullah dikurniakan Anugerah Personaliti Berpengaruh di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu.

Baginda yang memiliki 5.5 juta pengikut di Instagram sering menggunakan laman media sosial itu untuk mempromosi kegiatan kemanusiaannya.

Baru-baru ini, permaisuri tersebut menunjukkan meja makan keluarga diraja baginda untuk berbuka puasa yang tidak banyak bezanya dengan rakyat jelata.

Perkara rutin di bulan Ramadan iaitu berbuka puasa bersama keluarga menjadi amat istimewa dalam video yang dikongsikan sendiri oleh Ratu Rania.

Menerusi video yang dimuat naik ke Instagram Stories, keluarga diraja itu dilihat mengenakan pakaian kasual dan menikmati juadah berbuka secara sederhana.

Baginda turut menyertakan kapsyen: "Seronok apabila seluruh keluarga dapat bersama untuk iftar."

Selepas azan Maghrib berkumandang, Raja Abdullah II berbuka puasa dengan minum air dan kurma bersama anakandanya, Putera Mahkota Hussein, Puteri Salma, Puteri Iman dan Putera Hashem yang turut serta membantu bonda mereka menyediakan juadah berbuka.

Ketika seisi keluarga mengambil tempat duduk masing-masing, Ratu Rania menghidangkan makanan kepada suaminya, Raja Abdullah dan anakanda mereka sebelum bersantap bersama.

Video tersebut memberikan gambaran tentang suasana di dalam kediaman Raja Abdullah dan Ratu Rania secara sepintas lalu dan kemudian menjadi tular di media sosial.

Penduduk Arab berasa kagum dengan kesederhanaan keluarga diraja itu ternyata bertentangan dengan tanggapan rakyat jelata bahawa keluarga diraja sering bermewah-mewahan. - Vogue Arabia

Artikel Lain