suria

Haffendi Anuar mungkin tak dikenali, namun namanya tersenarai antara 100 pengukir berbakat besar dunia!

Haffendi Anuar sudah pun meletakkan nama Malaysia di peta dunia menerusi hasil seninya.

MUNGKIN ada yang tidak kenal dengan pemilik nama Haffendi Anuar, namun pemuda berusia 34 tahun itu sudah pun meletakkan Malaysia di peta dunia menerusi karya seninya.

Artis kontemporari berasal dari Kuala Lumpur itu tersenarai sebagai salah seorang pengukir berpotensi dan berbakat besar di dunia menerusi buku 100 Sculptors Of Tomorrow ditulis oleh Kurt Beers yang juga pengarah galeri Beers di London.

ARTIKEL BERKAITAN: Terliur pada ayam bersalut keju, terpesona lihat ‘owner’ model kacak

Buku yang diterbitkan oleh Thames & Hudson itu baharu dilancarkan pada 5 September lalu dan ia adalah kemuncak pencarian selama setahun bagi mengenal pasti 100 pemahat generasi baharu yang berpotensi di seluruh dunia.

100 Sculptors Of Tomorrow bukan sahaja bertindak sebagai inventori pengukir terkenal dunia tetapi ia juga mengetengahkan tentang keunikan hasi seni itu.

Nama Haffendi tersenarai dalam buku tulisan Kurt Beers iaitu 100 Sculptors Of Tomorrow.

"Saya sangat teruja dan gembira apabila mendapat perkhabaran tentang penerbitan buku ini selain bersyukur dengan pengiktirafan tersebut.

"Ia adalah penghargaan besar apabila tersenarai dalam sebuah penerbitan antarabangsa memandangkan saya berpangkalan di Kuala Lumpur yang jauh daripada pusat seni terbaik dunia," katanya.

Haffendi pernah mengadakan pameran pertamanya iaitu M13 di Richard Koh Fine Art di Kuala Lumpur, selain beberapa acara solo di Taipei, New York dan Singapura.

Selain itu, Haffendi juga pernah mengadakan beberapa pameran berkumpulan termasuk Few And The Many di galeri Beers London dan Bakat Muda Sezaman 2019 di Balai Seni Lukis Negara termasuk acara di London, Paris, New York, Shanghai, Singapura, Venice dan Switzerland.

Pemuda berusia 34 tahun ini bakal melanjutkan pengajian dalam bidang Sarjana Seni Halus bulan depan di England. 

Berkelulusan dari Central Saint Martins College of Art and Design London, Haffendi juga pernah diberikan tugasan untuk menyiapkan sebuah arca di luar Battersea Power Station London pada 2017.

Cinta Haffendi terhadap seni ukiran bermula sejak kecil apabila dia pernah menghasilkan replika landak laut menggunakan kayu pencucuk satay.

"Jika bercakap tentang menghasilkan patung atau seni berasaskan objek saya lebih selesa bekerja dengan material dan bentuk. Saya sebenarnya tidak begitu memfokuskan tentang objek kerana setiap seni yang saya hasilkan adalah jujur," katanya.

Malah katanya, menerusi karya-karya terbaharunya juga dia banyak menggabungkan bahan-bahan kitar semula atau yang dijumpainya seperti tali dan kain bagi membentuk arca.

Hasil kerja Haffendi di Battersea Power Station London.

Menyedari bidang seni di negara ini masih tertumpu kepada lukisan, Haffendi berharap perkara itu akan berubah dan berharap lebih ramai pengukir lebih aktif dalam mengetengahkan seni mereka walaupun terdapat pelbagai cabaran.

"Pengukir perlu mempunyai fikiran terbuka apabila membuat sesuatu ukiran, jangan takut untuk bereksperimen dengan bahan-bahan, membentuk idea serta tidak membataskan diri terhadap sesuatu perkara.

Pada Oktober depan Haffendi bakal melanjutkan pengajiannya dalam bidang Sarjana Seni Halus di England dan berharap untuk menghasilkan lebih banyak karya dalam persekitaran baharu.

Artikel Lain