suria

Tidak tahu membaca, menulis dan bercakap Mandarin tapi wanita ini mahir seni jianzhi dalam masa hanya sebulan!

Nina Abdullah mempelajari seni Jianzhi sejak enam bulan lalu.

NINA Abdullah tidak boleh membaca, menulis atau bercakap dalam bahasa Mandarin, namun itu tidak menghalangnya daripada mempelajari jianzhi atau seni pemotongan kertas Cina.

"Ia mungkin nampak mudah tetapi seni jianzhi ini memerlukan ketekunan, bukan sahaja teknik menggunakan peralatan seperti gunting, pisau dan kertas.

"Sebaliknya seseorang itu memerlukan kemahiran, kesabaran dan imaginasi tinggi untuk menghasilkan karya yang cantik," kata Nina yang berasal dari Subang Jaya, Selangor.

ARTIKEL BERKAITAN: Autisme bukan penghalang aktif sukan mendaki... “Saya nak takluk Everest!”

Nina, 55, yang juga gemarkan seni sulaman dan jahitan memberitahu, kemahiran itu tidak terhenti di situ sebaliknya dia berjaya menguasai seni kuno pemotongan kertas Cina dalam tempoh sebulan.

"Saya selalu tertarik dengan seni pemotongan kertas termasuk idea bagaimana sekeping kertas boleh diubah menjadi karya seni yang rumit," katanya kepada The Star.

Nina menganggap seni pemotongan kertas Cina mempunyai keunikan tersendiri. 

Walaupun seni itu bukan budaya kaum Melayu, Nina bagaimanapun gembira dapat mempromosikan seni tradisional itu.

"Saya seronok dapat mempelajari seni ini kerana ia mempunyai keunikan tersendiri. Ia tentang menguasai sesuatu kemahiran dan ia perlu dipromosikan," katanya.

Seni pemotongan kertas Cina ini berasal dari era Dinasti Han (206 sebelum masihi - 220 masihi) mengangkat seni tangan yang rumit selain dipamerkan pada musim perayaan bagi menghias pintu dan tingkap yang melambangkan keuntungan dan kebahagiaan.

Pada 2009, seni itu disenaraikan sebagai warisan budaya Unesco iaitu kraf rakyat.

Bagi mengasah kemahirannya, Nina berkata, dia beralih ke platform media sosial seperti Pinterest, Instagram dan Facebook selain mempelajari tutorial di YouTube.

Sejak mempelajari seni itu enam bulan lalu, Nina telah berjaya menghasilkan lebih 50 karya pemotongan kertas Cina.

Antara karya Nina bersempena Tahun Tikus.

"Banyak perkara kita boleh pelajari daripada internet. Tutorial di YouTube paling terbaik. Selain pemotongan kertas Cina, saya juga mempelajari pelbagai benda lain," katanya yang menjual hasil karyanya di bazar Makers & Co's Tukar Tangan baru-baru ini.

Di gerai jualannya, Nina mengagumkan pelanggan dengan hasil karyanya seperti karakter zodiak termasuk ikan (simbol kemakmuran), teratai (murni) dan bunga ceri (pembaharuan).

"Ada yang terkejut serta bersikap skeptikal terhadap wanita Melayu yang menghasilkan dan menjual seni pemotongan kertas Cina. Namun mereka mula memuji apabila melihat hasil kerja saya. Sesiapa pun boleh belajar jika ada minat," katanya.

Kata Nina lagi, anak perempuannya, Batrisyia Hisham, 14, turut menunjukkan minat dan mempelajari seni pemotongan kertas Cina dan seni Mandarin yang lebih kompleks.

Menurutnya, paling susah adalah untuk mengukir ikan yang mengambil masa lebih 10 jam untuk disiapkan.

Bagaimanapun katanya, segala kepayahan dan kesakitan terbayar apabila melihat hasilnya.

Nina menjual hasil seninya pada harga di antara RM10 dan RM25 bergantung kepada saiz dan tahap kesukaran.

Nina Abdullah, Jianzhi, Mandarin, Cina

Artikel Lain