FIGURA ini langsung tidak pernah terfikir untuk bergelar seorang tukang jahit apatah lagi diberi kepercayaan untuk menghasilkan busana buat golongan kenamaan termasuklah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Namun bak kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu dan ia secara langsung menjelaskan tentang Tommy Yap yang sudah berkecimpung dalam bidang jahitan sut sejak 45 tahun lalu. "Sudah lebih lima tahun saya menjahit sut, baju kemeja, seluar dan sebagainya untuk Perdana Menteri. Ia satu penghormatan besar buat saya dapat menghasilkan pakaiannya sepanjang tempoh itu.ARTIKEL BERKAITAN: Dari 'banker' kepada 'baker', baru 5 tahun Zulkiflee jadi pilihan VVIP, selebriti "Pada awalnya saya gementar juga tetapi apabila beliau sendiri datang ke butik saya untuk mengulang tempah sut dan pakaian lain, saya tahu sudah buat yang terbaik. Tommy memulakan karier sebagai tukang jahit ketika berusia awal 20-an. "Sedar tak sedar sudah lima tahun beliau menggunakan khidmat saya," katanya ketika ditemui mStar di butiknya yang terletak di Wisma MPL Kuala Lumpur. Bercerita lanjut mengenai Muhyiddin, Tommy, 61, menyifatkan beliau mempunyai citarasa dalam fesyen serta tahu apa sesuai digayakan untuk acara berbeza. Dedahnya, Muhyiddin menggemari pelbagai warna ketika menempah sut namun hitam, biru dan cokelat adalah kegemarannya. "Muhyiddin mempunyai citarasa 'klasik' jika menempah sut tetapi beliau juga seorang yang mengikut peredaran fesyen termasuk pemilihan warna yang tidak terhad kepada rona selamat sahaja. "Beliau sangat mementingkan keselesaan serta biar tampak menarik dan segak," kongsi Tommy. Hishammuddin, Muhyiddin dan Jimmy antara figura yang sering mendapatkan khidmat Tommy. Muhyiddin bukanlah satu-satunya pelanggan VVIP Tommy, sebaliknya mempunyai beberapa pelanggan tetap seperti Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang sudah menggunakan khidmatnya lebih daripada 25 tahun, pereka kasut, Datuk Jimmy Choo dan ramai lagi. Ditanya tentang perasaan menjadi tukang jahit pilihan orang kenamaan, Tommy memberitahu dia tidak pernah sesekali mengambil kesempatan terhadap peluang diberikan sebaliknya merebut kepercayaan diberikan untuk menghasilkan pakaian yang terbaik buat pelanggannya. "Saya sentiasa percaya, jika kita lakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh dan menggembirakan pelanggan, pasti mereka akan kembali mendapatkan khidmat kita. "Jika saya tidak berpegang kepada asas itu, mana mungkin mereka akan kembali datang menempah sut dengan saya," ujarnya. Tommy akan memastikan pelanggan berpuas hati dengan pakaian dihasilkannya. Sut bell-bottom untuk Jamal Abdillah Tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam bidang fesyen dan jahitan, Tommy memberitahu dia memulakan tugas sebagai perintis di butik terkenal iaitu Ali Tailor pada tahun 1976. Imbau bapa kepada dua cahaya mata ini, tugas pertama yang dilakukan ketika itu adalah menyapu sampah dan membersihkan bengkel menjahit sebelum diajar cara mengukur dan memotong kain. Bekerja hanya atas faktor kelangsungan hidup, Tommy bagaimanapun memberitahu dia mula jatuh cinta terhadap bidang pembuatan sut selepas mengetahui teknik-teknik yang betul - dan sejak itu dia tidak menoleh ke belakang lagi. "Ketika saya mula bekerja, saya hanya dibayar sekitar RM40 sebulan dan selepas dua tahun, majikan menaikkan gaji saya setaraf dengan tukang jahit senior iaitu sebanyak RM350 sebulan kerana kemahiran saya setanding mereka. Memori menghasilkan sut untuk Jamal Abdillah ketika penyanyi legenda itu menyertai pertandingan Bintang RTM pada 1979. "Sepanjang tempoh dua tahun itu, saya belajar dan berlatih bersungguh-sungguh kerana tidak mahu mensia-siakan peluang dan tunjuk ajar diberikan majikan kepada saya," katanya. Usaha Tommy juga berbaloi apabila dia diberi peluang untuk menghasilkan sut untuk Datuk Jamal Abdillah ketika penyanyi legenda itu berentap pada pusingan akhir pertandingan Bintang RTM pada 1979. "Ia adalah antara memori terindah saya sepanjang bergelar tukang jahit. Saya masih ingat menjahit sut berwarna putih dan biru untuk Jamal dengan potongan seluar bell-bottom untuknya. "Siapa sangka Jamal Abdillah hari ini masih kekal antara penyanyi legenda yang digemari peminat," katanya. Masih bersemangat sebagai tukang jahit! Setahun selepas itu kata Tommy, dia mengambil keputusan membuka butiknya sendiri iaitu Saujana Men's Wear di Kompleks Pertama sebelum berpindah ke Sungai Wang Plaza seterusnya lebih 30 tahun di Wisma MPL di ibu negara. Tommy tidak bercadang untuk bersara meskipun usianya kini sudah mencecah 61 tahun. Pada usia emasnya sekarang,Tommy memberitahu dia belum bercadang untuk bersara sebaliknya akan terus bergelar seorang tukang jahit selagi mempunyai kudrat. "Ini adalah cinta hati saya dan selepas 45 tahun, saya masih teruja dan bersemangat setiap kali dapat mengukur, memotong dan menjahit pakaian ditempah pelanggan. "Setiap malam juga sebelum tidur saya akan membuat carian di Google untuk melihat trend terkini agar tidak ketinggalan zaman," katanya. Kejayaan dikecapinya sudah tentu bukan jalan mudah kata Tommy, namun dia sentiasa positif selain tidak mensia-siakan kepercayaan diberikan pelanggan kepadanya. "Saya seronok dan berasa puas apabila melihat pelanggan tersenyum saat menyarungkan sut atau pakaian yang saya hasilkan dan itulah pendorong untuk saya terus memberikan khidmat," katanya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!