suria

Tenang ditemani kehidupan marin, Hasbulah Buis si penjaga penyu setia bersama Turtle Island Park sejak 35 tahun lalu

Hasbulah Buis mengurus pemuliharaan penyu di Turtle Island Park. Foto Facebook HASBULAH BUIS

TURTLE Island Park yang terkenal di Sabah, mampu berdiri megah sebagai pusat pemuliharaan penyu sejak 35 tahun lepas di bawah pengawasan penjaganya yang tidak asing lagi Hasbulah Buis.

Tiga pulau di taman itu terdiri daripada Pulau Selingaan, Gulisaan dan Bakkungan Kecil, terletak di Laut Sulu di pantai timur Sabah adalah kawasan perlindungan yang selamat bagi Penyu Hijau dan Penyu Karah/Sisik.

Selaku penolong pegawai penyelidik di Sabah Parks, Hasbulah turut mengurus pemuliharaan penyu di Turtle Island Park dengan dibantu oleh 31 pegawai Sabah Parks - 20 di Pulau Selingaan, sembilan di Bakkungan Kecil dan tiga di Gulisaan.

Anak kelahiran Sabah ini berasal dari Kampung Batu Puteh, Kinabatangan, Sandakan telah bertugas di pusat pemuliharaan penyu di Turtle Island Park sejak 1985 dan sekali-sekala mengajar pelawat, pelajar dan penyelidik mengenai pemuliharaan penyu.

(Sabah Parks ialah sebuah badan berkanun yang bertanggungjawab terhadap pemuliharaan dan pengurusan taman-taman negara di negeri ini termasuk Turtle Island Park).



Meskipun sudah lama berkhidmat namun Hasbulah masih berasa teruja dapat menjaga penyu.

Tugas utama lelaki berusia 55 tahun di Turtle Island Park termasuk menyelia aktiviti pemuliharaan penyu, mengurus kawasan penetasan penyu dan merakam data pergerakan penyu.

“Saya juga menyelia pelepasan anak penyu ke laut dan menjalankan pemeriksaan suhu di sarang penyu, ” katanya kepada Bernama.

Ketiga-tiga pulau itu yang membentuk Turtle Island Park diwartakan sebagai taman negara pada 1977 - merangkumi kawasan perlindungan seluas 18.2 hektar iaitu Pulau Selingaan (8.1 hektar) dan Pulau Gulisaan (1.6 hektar) dipisahkan dengan jarak tiga kilometer manakala Bakkungan Kecil (8.5 hektar) kira-kira tujuh kilometer dari kedua-dua pulau berkenaan dan berhampiran sempadan perairan Malaysia-Filipina.

Pada masa kini, hanya Selingaan dan Bakkungan Kecil terdapat tempat penetasan telur penyu.

Pelawat hanya dibenarkan melihat penyu bertelur, menetas dan dilepaskan di Pulau Selingaan, yang juga menyediakan kediaman yang dilengkapi kemudahan asas kepada pelancong.



Gambar kenangan Hasbulah bersama teman-teman suatu ketika dahulu.

Tempat penetasan pertama didirikan di Pulau Selingaan pada 1966 sebelum ia diperluaskan ke Pulau Bakkungan Kecil dan Gulisaan pada 1968 tetapi tempat penetasan di Gulisaan ditutup pada 2015 susulan hakisan pantai.

Hasbulah berkata, Turtle Island Park di Sandakan adalah pantai sarang tradisional untuk Penyu Hijau dan Penyu Karah/Sisik, manakala Penyu Lipas jarang muncul di sarang berkenaan.

"Kadangkala kami menerima penyelidik tempatan dan asing serta pelajar dari universiti tempatan yang menjalani latihan amali mengenai penyu, biologi marin dan pengurusan pelancongan.

"”Keseluruhannya, saya teruja dapat berkhidmat di pulau-pulau ini. Ia tempat istimewa semula jadi dalam pelbagai segi. Kadangkala saya pergi berenang di laut bersebelahan dengan penyu. Ia adalah saat-saat yang sungguh indah.

'’Apabila saya menyelam ke dasar laut, saya dapat rasakan keterujaan yang amat sangat. Kehidupan marin sebenarnya sungguh menarik dan unik.

"Kadangkala saya duduk di pantai ditemani bunyi ombak dan angin tetapi mata saya sentiasa memerhati jika ada penyu yang datang dan mendarat di pulau ini, ” katanya.



Hasbulah (tiga dari kiri) bersama rakan setugas.

Pengalaman

Berkongsi beberapa pengalaman manis beliau dengan Bernama menerusi temubual e-mel, Hasbulah berkata, ketika beliau melakukan rondaan malam di Pulau Gulisaan pada 1988, beliau mendengar satu perbualan yang jelas dan menyangka ada orang di kawasan sekitar tetapi ternyata tiada sesiapa pun.

"Saya memberitahu rakan di Bakkungan Kecil mengenai perkara itu dan mereka juga menceritakan pernah mengalami kejadian yang serupa. Saya agak bimbang tetapi selepas perkara yang sama berulang kali berlaku saya mula menjadi biasa.

Dalam satu kejadian lain di Pulau Selingaan, Hasbulah yang ketika itu ada bersama-sama dua lagi rakan terkejut apabila empat orang yang tidak dikenali muncul di pulau itu dan meminta telur penyu.

"Apabila kami tidak memperdulikan permintaan mereka, mereka cuba mengugut kami tetapi akhirnya beredar tanpa melakukan sebarang perkara yang tidak diingini, ” katanya.

Hasbulah juga mengimbau kembali satu kejadian yang menakutkan berlaku pada tahun 2000 apabila ombak besar melanda kedua-dua pulau berkenaan dan menyebabkan paras air laut melimpah hingga ke permukaan tanah dan hampir menenggelamkan Pulau Gulisaan, manakala separuh Pulau Selingaan mengalami banjir.

"Terdapat 16 pekerja Sabah Park di kedua-dua pulau berkenaan semasa kejadian itu. Selepas beberapa jam barulah paras air laut kembali seperti biasa. Nasib baik tiada kemalangan jiwa dan hanya berlaku kerosakan kecil pada peralatan di Sabah Parks dan kawasan penetasan penyu, ” katanya.

Pemuliharaan penyu

Hasbulah berkata, aktiviti pemuliharaan penyu yang dijalankan di Turtle Island Park, Sandakan, telah berjaya melepaskan anak penyu hasil daripada kira-kira 19 juta telur yang dinetaskan daripada lebih 315,000 sarang penyu sejak 1979 hingga 2019.

"Daripada rekod kami, spesies penyu yang mendarat dan bersarang di Turtle Island Park adalah jenis Penyu Hijau dan Penyu Karah. Penyu Lipas jarang sekali datang ke pulau ini.

"Turut bangga untuk dinyatakan bahawa jumlah penyu yang mendarat di Turtle Island Park telah meningkat antara 6,000 ke15,000 setahun sejak 1991.

Hasbulah berkata, satu daripada cabaran bagi melindungi penyu di Sabah ialah pencerobohan nelayan asing yang dipercayai bertanggungjawab terhadap pembunuhan berleluasa hidupan laut itu di perairan Kudat di hujung utara Sabah.

"Tetapi sisa plastik juga satu lagi ancaman utama kepada kehidupan marin terutama penyu kerana ia berbahaya kepada jangka hayat hidupan laut itu,” katanya dan menambah bahawa bot ikan juga didapati mencerobohi kawasan pemuliharaan penyu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain