HANYA berbekalkan 10 tenaga kerja, kumpulan anak muda ini berjaya membuktikan kekurangan bukan penghalang untuk mereka memecah monopoli syarikat penerbitan produksi 3D tempatan apabila berjaya menghasilkan siri animasi berkonsepkan Macha Robot yang pertama seumpamanya di Malaysia iaitu Robozeta. Pengarah Red Circle Studio, Muhammad Dzahiruddin Ahmad Zabidi memberitahu selain tenaa kerja yang terhad, dia juga terpaksa menempuh beberapa halangan besar bersama pasukannya bagi menyiapkan projek itu sejak setahun lalu termasuklah kekangan kewangan.ARTIKEL BERKAITAN: “Rindu nak kembali ke kampus” - Beberapa bulan kuliah secara online, replika canselori buat pengubat rindu “Biasanya syarikat animasi lain akan menggunakan 20 hingga 50 tenaga kerja, malah ada yang mampu menggaji lebih 100 tenaga mahir. Sebaliknya kami di Red Circle hanya ada 10 orang. "Dana kewangan yang disalurkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sebanyak RM500,000 juga agak kecil untuk projek sedemikian, memaksa kami merancang kewangan dengan ketat selain mencari sumber kewangan lain," katanya. Atas faktor itu juga, Muhammad Dzahiruddin memberitahu pihaknya tidak mempunyai banyak pilihan termasuk menggunakan hardware lebih baik dan memaksimumkan semua sumber yang ada bagi menghasilkan produk dengan kualiti untuk siaran televisyen. Meskipun terdapat kekangan tenaga kerja dan kewangan namun mereka berjaya menghasilkan produk membanggakan. Inspirasi anime Jepun Bercakap mengenai Robozeta, Muhammad Dzahiruddin memberitahu dia mendapat inspirasi daripada siri adiwira Super Sentai yang belum pernah lagi dihasilkan di Malaysia. Pemilihan itu juga dibuat sebagai mengambil pendekatan untuk mendekati peminat anime Jepun di negara ini yang semakin ramai. "Jika di Jepun dan Eropah, Mecha Robot adalah sesuatu yang biasa tapi di Malaysia ia belum begitu popular. Sebab itu kami pilih adiwira ini bagi mendekati peminat anime di Malaysia. "Malah rupa robot kami juga lebih cenderung kepada robot Jepun. Kami berharap ia cara terbaik untuk mendekati dan memperkenalkan konsep ini di Malaysia," katanya yang berharap dapat 'menusantarakan lagi animasi Robozeta terutama Robozod pada masa akan datang. Sementara itu, Muhammad Dzahiruddin memberitahu proses pembikinan animasi Robozeta juga agak berbeza dengan syarikat animasi lain di tanah air yang lazimnya sudah mula menayangkan produk ketika pembikinan masih berjalan. Sebaliknya, Red Circle Studio berjaya menyiapkan sepenuhnya semua 13 Episod Robozeta sebelum ia ditayangkan dan mula dipasarkan. Antara watak dalam siri animasi Robozeta. Animasi 3D Robozeta berkisar mengenai sekumpulan lima adiwira dikenali sebagai Rico, Jango, Bepop, Rexx dan Ely. Lima sekawan ini membentuk sebuah pasukan untuk melindungi keamanan di Bandar Zetania dan sebuah chip (ZenoChip) daripada ancaman bahaya Geng Kalabera yang dianggotai Mojo dan konconya Mera dan Gongoro.Agenda utama mereka adalah untuk mengacau-bilaukan Zetania dan mengalahkan Robozeta bagi mendapatkan ZenoChip yang memiliki kuasa hebat. Jika disalahgunakan, ia bakal mengundang bencana.Stesen TV antarabangsa berminat tayang Robozeta Muhammad Dzahiruddin memberitahu biarpun Robozeta disiapkan dalam keadaan serba kekurangan, kualiti, pengisian dan keunikan produk animasi yang begitu menonjol ini berjaya menawan hati beberapa syarikat TV tempatan dan syarikat pengedar dari dalam dan luar negara. Buktinya kini, animasi Robozeta akan ditayangkan pada 19 Disember ini, pada pukul 4.30 petang di Astro Ceria dan bakal dipasarkan ke stesen TV antarabangsa dalam masa yang terdekat. Tambah Dzahiruddin lagi, pihaknya mengambil inisiatif sendiri untuk menghubungi syarikat penyiaran dan stesen TV antarabangsa untuk menguji sejauh mana Robozeta mampu mengembangkan pengaruhnya sebagai program kanak-kanak yang relevan untuk tontonan dunia. Robozeta bakal menembusi pasaran antarabangsa. "Oleh kerana dunia dilanda penularan pandemik Covid-19 sejak awal tahun ini, Red Circle Studio terpanggil untuk mengintai peluang mendekati syarikat penyiaran dan pengedar program antarabangsa untuk melihat sejauh mana Robozeta ini mampu diterima negara luar. "Dengan cara itu, secara tidak langsung mewujudkan hubungan dua hala yang boleh dimanfaatkan pada masa akan datang. Tambahan pula, ketika ini banyak kerja produksi tergendala akibat pandemik Covid-19 menyebabkan banyak stesen TV ketandusan bahan siaran kerana tiada program baharu."Syarikat penerbitan antarabangsa sememangnya mengalu-alukan kandungan progrom dari luar, bagi menampung kekosongan yang ada," katanya lagi. Tidak hanya menitik beratkan lakaran dan efek animasi yang hebat, dia menyifatkan terapan nilai murni dan mesej khidmat masyarakat menjadi tunjang utama kekuatan Robozeta. Dalam mempamerkan kehebatan Robozeta, pemahaman mengenai amalan membuang sampah yang betul, kepentingan mengawal pemakanan, limitasi menonton TV atau bermain gajet supaya tidak berlebihan, antara nilai yang diterapkan supaya dapat mewujudkan kepekaan tentang tanggungjawab si kecil pada diri, ibu bapa, persekitaran dan manusia sejagat. "Topik-topik yang dibawakan setiap minggu amat bersesuaian untuk tontonan setiap peringkat usia dan bangsa. Garapan cerita yang disesuaikan dengan adiwira cilik, kenderaan berkuasa tinggi serta mecha robot juga adalah sesuatu yg boleh dikaitkan dengan penonton dewasa seperti kegilaan kita menonton karya-karya transformers," katanya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!