suria

Rakyat Malaysia tunjuk inspirasi luar biasa! Sanggup berjuang habis-habisan demi masyarakat... terima kasih Wira BERSAMA!

(gambar kiri) Foo (duduk) dan Dr Anand (gambar kanan) antara 30 individu yang terpilih sebagai wira menerusi kempen #BERSAMA 2.0 Spotlight on Heroes anjuran Sime Darby Property Berhad.

MEMASANG impian untuk memenuhi kepentingan orang lain mendahului keinginan diri sendiri merupakan sikap dan tindakan yang begitu mulia.

Begitulah impian Raaginee Shalesh yang mahu membangunkan penempatan bagi kanak-kanak berkeperluan khas supaya mereka mampu berdikari dan menjalani kehidupan lestari.

"Saya mahu memastikan anak-anak saya (kanak-kanak berkeperluan khas yang di bawah jagaannya) dapat menjalani kehidupan lestari dan berdikari dengan menjalankan perniagaan dan menjana pendapatan mereka sendiri, dengan kurang pengawasan. Ia akan menjadi projek terakhir yang mahu dicapai dalam hidup sebelum saya tiada nanti.

"Pusat ini meliputi kedai makanan dan minuman, tempat tinggal serta kemudahan seperti padang bola, gelanggang badminton dan gimnasium, yang dikendalikan oleh kanak-kanak berkeperluan khas dan juga boleh dikongsi bersama anak-anak yatim, ibu tunggal dan mereka yang memerlukan," kata wanita berusia 49 tahun itu.

Ibu kepada tiga anak itu yang pulih dari pembedahan memberitahu, dia kini mencari tapak yang bersesuaian untuk membangunkan pusat tersebut dan berharap terdapat penyumbang atau pemaju yang sedia menyumbangkan tempat untuk merealisasikan projek berkenaan.

Raaginee, yang lebih dikenali sebagai Puan Sunny, menemukan erti kehidupannya yang sebenar dengan mendidik dan membimbing anak-anak berkeperluan khas.

Namun siapa sangka, dengan penuh dedikasi sejak 30 tahun lalu, dia membesarkan kanak-kanak berkenaan dari segi pertumbuhan fizikal dan mental.

Wanita ini mewujudkan Pusat Jagaan dan Latihan Insan Istimewa IMC di Subang Jaya, Selangor, pada 2004 dan kini mempunyai satu lagi cawangan di Puchong, dengan lebih 70 kanak-kanak berkeperluan khas di bawah jagaannya.



Raaginee (dua, kanan) berjuang untuk kanak-kanak berkeperluan khas.

Selain itu, antara sumbangannya adalah menganjurkan majlis dan mewujudkan peluang pekerjaan untuk kanak-kanak berkeperluan khas, ibu bapa tunggal dan gelandangan.

Hasil usahanya membolehkan Raaginee terpilih sebagai salah seorang wira menerusi kempen #BERSAMA 2.0 Spotlight on Heroes anjuran pemaju hartanah terkemuka, Sime Darby Property Berhad.

Khidmat, barangan 10 sen

Sementara itu, Kuan Chee Heng, 58, yang dikenali sebagai Uncle Kentang, mengasaskan badan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Kepolisian Masyarakat (CP) untuk membantu golongan kurang bernasib baik.

Antara projek amal yang diusahakannya adalah Pasar 10 Sen di mana orang susah hanya perlu membayar 10 sen atau sehingga RM1 bagi mendapatkan barangan keperluan harian, perkhidmatan teksi 10 sen, asrama RM1, perkhidmatan van jenazah RM1 dan perkhidmatan ambulans.

"Kita bermula dengan bantuan bekalan makanan dan memperluaskan inisiatif lain apabila menyedari keperluan yang dihadapi oleh masyarakat yang kurang berkemampuan ini.

"Sebagai contoh, perkhidmatan teksi 10 sen adalah untuk orang sakit dan orang susah, yang tidak mampu membayar tambang bagi mendapatkan rawatan perubatan, manakala mereka yang memerlukan tempat tinggal ketika menjalani rawatan boleh membayar RM1 sehari menenerusi kemudahan asrama dengan bayaran RM1.

"Pasar 10 Sen menjual barang-barang terpakai daripada orang ramai atau preloved, dari pakaian hingga peralatan, malah pernah pada satu masa sebuah kereta berharga hanya 10 sen turut dijual," katanya.

"Sime Darby Property menjalankan inisiatif dalam memberi inspirasi dan mendorong orang ramai untuk melakukan kebaikan. Penghargaan ini ditujukan kepada semua yang banyak berkorban masa dan penat lelah mereka untuk membantu orang lain yang memerlukan," ujar Kuan, dalam wawancara bersama The Star.



Kuan memperkenalkan pelbagai inisiatif dan kemudahan pada harga hanya 10 sen sehingga RM1.

Kata-kata semangat

Bagi pakar anestesiologi dan rawatan rapi di Hospital Sungai Buloh, Dr Anand Kamalanathan, 36, beliau memulakan Project Stay Positive But Covid-19 Negative, untuk menghilangkan tekanan di tempat kerja dengan kata-kata semangat menerusi alat bantu visual yang berkesan.

"Saya membuat kajian dalam kalangan pekerja kesihatan mengenai burnout (keletihan melampau) dan mendapati hampir 55 peratus menghidap sindrom tersebut, dan ia diterbitkan dalam Journal of Anesthesia pada Oktober 2020.

"Saya merasakan bahawa saya harus melakukan sesuatu untuk mengurangkan wabak selari (paralel) yang disebut ramai orang. Oleh itu, saya mendekati rakyat Malaysia yang pemurah bersama rakan-rakan di media yang mengumpul hampir 250 poster berwarna-warni.

"Walaupun saya terharu diiktiraf sebagai salah seorang Wira BERSAMA, peranan saya ini masih terlalu jauh jika hendak dibandingkan dengan dedikasi, kekuatan dan kerja keras yang dilakukan oleh bos-bos dan rakan-rakan sekerja saya di Hospital Sungai Buloh saban hari, sejak setahun yang lalu.

"Jika hendak diikutkan, setiap orang layak mendapat pengiktirafan ini," tambah beliau.

Berjuang di lapangan

Selain Dr Anand, Penolong Profesor Pakar Perubatan Awam di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Mohammad Farhan Rusli bergiat secara aktif bekerjasama dengan pelbagai agensi dan kumpulan untuk memerangi wabak Covid-19.

Beliau banyak turun padang di lapangan, sama ada di Kuala Lumpur, Selangor atau Sabah.

"Saya amat bersyukur berada dalam senarai, apatah lagi terpilih sebagai Wira. Pengiktirafan ini bukan sahaja penghargaan buat saya, tetapi juga bagi semua pihak yang turut bersama-sama berjuang habis-habisan untuk negara ini.

"Kempen Bersama 2.0 merupakan satu inisiatif hebat yang menghargai dan menghormati usaha-usaha mereka yang tidak menjadi perhatian ramai.

"Namun bagi saya, itulah yang membuatkan semua wira ini luar biasa, yang menyumbang bakti tanpa mengharapkan pengiktirafan atau penghargaan," kata Dr Mohammad Farhan.



Dr Mohammad Farhan menyumbang bakti dalam memerangi wabak Covid-19.

Korban masa di jalanan

Bagi penghantar makanan GrabFood, Ikmal Fikri Ahmad Fazilee, dia memulakan tugas seawal pukul 8 pagi dan berakhir 10 malam, setiap hari kecuali Ahad.

Ikhmal yang berusia 21 tahun menjadi penghantar makanan GrabFood sepenuh masa, sejak tahun lalu selepas selesai menjalani latihan praktikal sementara menunggu keputusan pengajiannya peringkat diploma di Kolej Vokasional Gerik.

"Diiktiraf sebagai Wira BERSAMA amat bermakna buat saya. Ini menunjukkan usaha saya untuk menyampaikan makanan dengan selamat kepada pelanggan dihargai," katanya.



Ikmal komited dengan khidmatnya sebagai penghantar makanan.

Perkasa wanita Orang Asli

Sementara itu, seorang lagi wira yang terpilih, iaitu Jix Foo, 36, telah berkhidmat bersama wanita-wanita Orang Asli, bagi membantu mereka menjana pendapatan tanpa perlu keluar dari kampung masing-masing.

"Saya bekerjasama dengan The Asli Co, yang merupakan salah satu pusat komuniti mereka, yang mengajar mereka bagaimana menggunakan mesin jahit dan bagaimana untuk menjahit pelitup muka serta projek-projek lain yang boleh mendatangkan keuntungan.

"The Asli Co adalah perusahaan sosial yang memperkasakan kaum ibu Orang Asli di Malaysia untuk memperoleh pendapatan secara berterusan.

"Ini terutama ketika wabak Covid-19 dan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), kebanyakan masyarakat Orang Asli dipinggirkan dan sumber pendapatan turut terjejas berikutan ramai lelaki Orang Asli merupakan pekerja harian," kata Foo.

Kempen #BERSAMA 2.0 Spotlight on Heroes telah memilih seramai 30 individu bertuah sebagai wira untuk memenangi hadiah istimewa yang ditawarkan. Penganjur juga telah memperkenalkan kategori khas iaitu BERSAMA Golden Pass Heroes kepada wira yang terpilih.

Sejak dilancarkan pada Disember 2020, kempen Spotlight on Heroes #BERSAMA anjuran Sime Darby Property menarik ratusan kisah menyentuh hati mengenai harapan dan kebaikan.

Kisah-kisah itu memaparkan individu-individu dari pelbagai lapisan masyarakat, termasuk sukarelawan, pemimpin masyarakat, pendidik, ahli keluarga dan rakan-rakan yang berbuat baik dan tidak mementingkan diri ketika pandemik, yang wajar mendapat pengiktirafan.

Seramai 30 Wira BERSAMA sepatutnya diraikan dalam majlis gilang-gemilang pada hujung minggu di Kuala Lumpur Golf and Country Club Resort (KLGC).

Namun, berikutan pelaksanaan PKP ketika ini, Sime Darby Property melakukan penghantaran khas kepada mereka yang terpilih bagi menyampaikan hadiah istimewa, yang sebahagiannya ditaja oleh Auto Bavaria (BMW) dan MST Golf.

Untuk melihat semua pencalonan, layari https://bit.ly/BERSAMA2_Heroes

Artikel Lain