suria

Kagum! Selepas lalui 6 bulan yang perit, gadis ini bangkit lakukan 4 kerja sekaligus... Pelbagaikan bisnes strategi usahawan Kedah kekal bertahan sepanjang pandemik Covid-19

Nurhasya dan Ahmad Irwan pernah diduga gara-gara pandemik Covid-19, namun bangkit kembali dengan memanfaatkan teknologi digital bagi mengembangkan perniagaan masing-masing.

PERANG melawan pandemik Covid-19 memaksa masyarakat di negara ini berubah demi kelangsungan hidup dan tentunya dengan usaha serta kreativiti seseorang itu mampu terus bertahan.

Dalam situasi masa kini, ternyata penerokaan platform ekonomi digital menduduki carta teratas kerana menerusinya sesiapa sahaja bagaikan mendapat semangat untuk tampil penuh berkeyakinan.

Ternyata, ekonomi digital berperanan memacu inovasi, daya saing dan pertumbuhan serta berpotensi untuk usahawan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Selain itu, ia juga membuka peluang pekerjaan dalam kalangan rakyat.

Menyedari besarnya manfaat transformasi digital, Nurhasya Jasmin Mohd Hakimi sama sekali tidak menjadikan keterbatasan dalam situasi wabak ini sebagai satu alasan untuk hanya berdiam diri.

Malahan, dugaan yang dilalui pemilik Diploma Seni dan Fesyen ini memberi kesan buat dirinya selepas gagal mendapat pekerjaan kerana majoriti butik tidak dapat beroperasi kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Mengakui tertekan selepas rentetan permohonan pekerjaan masih tidak membuahkan hasil, gadis berusia 23 tahun ini mengumpul semangat untuk bangkit melawan emosinya.

"Tempoh enam bulan ini dipenuhi tekanan perasaan, terutama selepas resume yang dihantar untuk memohon pekerjaan tidak menerima sebarang jawapan," katanya yang percaya setiap individu pasti ada rezeki masing-masing.

Tanpa berlengah, graduan Kolej Universiti Metropolitan Kuala Lumpur ini memberanikan diri menceburi perniagaan online dengan menjual pakaian knitwear terpakai yang dibeli di kedai bundle dan seterusnya dijual di IG shop @fromwilted.

Bisnes menggunakan platform digital itu ternyata menyuntik keyakinan dalam dirinya apabila Nurhasya seterusnya menghasilkan kandungan ilustrasi dan gaya fesyen kepada butik-butik yang memerlukan kandungan untuk dimuat naik di laman sosial media mereka.



Nurhasya menggunakan platform digital untuk mengembangkan perniagaan pakaiannya.

Tidak terhenti di situ, anak gadis ini juga mengambil upah menjahit baju bagi menajamkan skil dalam bidang yang diceburinya.

"Itu bukan the only pekerjaan yang saya lakukan. Saya juga menjadi model sambilan di media sosial, bermakna saya lakukan empat kerja pada masa sama!" ujar anak jati Alor Setar, Kedah dan membesar di ibu negara ini.

Kongsi Nurhasya, melengkapkan diri dengan ilmu penggunaan gajet dan pengetahuan mengenai trend fesyen terkini telah membantunya aktif di Instagram dan kini mula menghasilkan kandungan video untuk TikTok.

"Apa yang saya perlukan adalah keyakinan diri, tidak patah semangat dan ofcourse pengetahuan dalam urusan jual-beli online," tambahnya lagi.

Tentu sekali kisah yang dilalui Nurhasya menggambarkan bagaimana transformasi digital negara mampu mengukuhkan ekonomi saat dunia berdepan cabaran pandemik koronavirus.

Apa yang pasti, budaya digital yang berjaya memerlukan sikap, nilai dan tingkah laku untuk berubah sekaligus mencerminkan agenda transformasi digital.

Perlu diketahui peluang pekerjaan baharu seperti pakar rangkaian, pembangun aplikasi mudah alih, saintis data dan pakar komuniti dalam rangkaian sosial akan mewujudkan ruang kepada mereka yang ingin melonjak ke dalam bidang gig ekonomi.

Menerusi transformasi digital, kita dapat mewujudkan lingkungan hidup lebih baik merangkumi pekerjaan yang bermanfaat, tenaga kerja mahir, penjagaan kesihatan dan pendidikan lebih baik serta bandar-bandar pintar dan penuh kehijauan.

Begitulah yang dilakukan Ahmad Irwan Ariffin selaku Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas The Place By Deco, selain turut memilik perniagaan dalam bidang hiasan dalaman, Deco Houze.



Ahmad Irwan mempelbagaikan penjualan makanan daripada dining restaurant kepada penghantaran makanan dan terkini penghasilan makanan sejuk beku.

Perjalanannya dalam bisnes diduga apabila restoran The Place By Deco di Alor Setar yang diusahakan berdepan masalah akibat penularan wabak berbahaya itu, juga kerana PKP!

Untuk tidak terkesan dalam tempoh yang panjang, Ahmad Irwan memutuskan untuk mempelbagaikan penjualan makanan daripada dining restaurant kepada penghantaran makanan dan terkini penghasilan makanan sejuk beku.

Di bawah jenama Gastromeat, usahawan berusia 41 tahun ini mengambil peluang menawarkan plan bisnes yang dikenali sebagai 'Bina Bisnes Bersama'.

Melalui program ini, individu yang menyertainya akan dilatih dan dididik pelbagai selok-belok dunia perniagaan.

Bukan sekadar aktiviti jual-beli, ia turut menawarkan khidmat pemasaran yang bersesuaian di mana setiap sesi latihan dan coaching akan dijalankan melalui dalam talian menggunakan aplikasi Zoom.

Berkongsi pencapaiannya hasil penggunaan teknologi digital, Ahmad Irwan menyifatkan aspek pemasaran dalam talian menggunakan media sosial memiliki kelebihan kerana ia dapat membantu merealisasikan matlamat peniaga untuk menjana pendapatan terutama sepanjang PKP memandangkan pergerakan adalah terhad.

Bagaimanapun, tambahnya, dengan adanya platform digital ini, PKP bukan penghalang untuk mengembangkan perniagaan dan kekal relevan sepanjang tempoh mencabar ini.



Restoran The Place By Deco di Alor Setar yang diusahakan Ahmad Irwan.

Atas semangat ini, Irwan tekad untuk membantu golongan yang berminat untuk sama-sama mempelajari peluang perniagaan di saat seluruh dunia menghadapi kehidupan di norma baharu.

"Layari FB kami di Gastromeat By The Place HQ dan sama-sama kita bina bisnes bersama!" ujar Irwan.

"Sekiranya pelanggan tidak dapat datang, kami akan membawa makanan kepada mereka melalui Gastromeat. Hidangan yang anda menjamu selera di restoran kami rasanya 90 peratus sama dengan apa yang anda masak sendiri," katanya mengenai produk terbaharu keluaran syarikatnya, Frozen Kambing Perap.

Kisah Irwan dan Nurhasya membuktikan trend digital baharu seperti pengkomputeran awan, perkhidmatan web mudah alih, grid pintar dan media sosial, secara radikal mengubah landskap perniagaan, membentuk semula sifat pekerjaan, sempadan perusahaan dan tanggungjawab usahawan.

Inilah era baharu dunia ekonomi digital yang sewajarnya diterokai untuk terus kekal dan kukuh dalam bidang masing-masing, bukan hanya berdiam diri berserah kepada keadaan tanpa berusaha.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain