suria

Minat bersukan, wanita ini mampu 'buat duit' dengan hobinya... produk baharu laku keras dalam masa 4 hari

Hanya dalam tempoh tiga tahun, Shella Faeiz mampu membina empayar perniagaannya sendiri.

SIAPA sangka obsesi figura ini terhadap senaman dan kecergasan yang dijadikan rutin harian sejak 10 tahun lalu turut membuka laluan kepadanya untuk bergelar seorang usahawan kira-kira tiga tahun lalu.

Dedikasi dan disiplin yang diamalkan bukan sahaja untuk mengekalkan bentuk tubuh menarik tetapi demi menjamin kesihatan fizikal dan mental agar tetap optimum.

ARTIKEL BERKAITAN: Budak ‘straight A’ dedah kisah ‘struggle’ tiap kali nak makan ayam goreng... itu dulu, kini bergelar usahawan cheesekut premium sampaikan dapat rating ‘sebanyak bintang di langit’!

Shella Faeiz memberitahu dia tidak hanya menghabiskan masa di pusat kecergasan sebaliknya turut gemarkan aktiviti luar yang dilihat mampu memberi kelainan terhadap rutin hariannya.

"Senaman dan kecergasan adalah sebahagian daripada gaya hidup saya dan saya sangat suka melakukannya," katanya kepada mStar.

Hobi bertukar empayar perniagaan

Shella memberitahu sejak bergiat aktif dalam bidang kecergasan dia juga semakin cakna dengan pelbagai produk kesihatan terutamanya dari luar negara bagi membantunya menambah stamina ketika bersenam.



Sejak 10 tahun lalu, Shella cukup aktif dalam bidang senaman dan kecergasan bersama rakan-rakannya.

Dari situ kata wanita berusia 29 tahun ini, dia banyak mendapat inspirasi termasuklah terhadap satu produk buatan Amerika Syarikat yang mendapat ulasan positif pengguna dari seluruh dunia.

"Pada 2017, saya mendapat inspirasi untuk menghasilkan produk keluaran sendiri dan mula belajar cara-cara menghasilkan produk termasuk penggunaan bahan yang tepat agar produk dihasilkan dapat memberi manfaat kepada pengguna.

"Dari situ wujudlah syarikat The Baked Sdn. Bhd. yang mempertaruhkan produk pertama diberi nama Baked," ujarnya.

1,000 produk terjual dalam empat hari!

Bercerita lanjut mengenai bisnesnya, Shella berkata dia tidak terburu-buru mengeluarkan Baked sebaliknya mengambil masa selama setahun dengan membuat pelbagai kajian dan percubaan sebelum melancarkannya.



Kejayaan tersendiri... Baked berjaya terjual sebanyak 1,000 unit hanya dalam tempoh empat hari ia dilancarkan.

Pada September 2018, hanya sebanyak 1,000 unit produk dikeluarkan dan dalam masa sama hanya medium media sosial Instagram miliknya digunakan untuk mempromosikan Baked kepada pelanggan.

"Saya hanya mengeluarkan 1,000 unit kerana pada mulanya saya hanya mahu menguji dan melihat keadaan pasaran. Alhamdulillah dengan hanya promosi terhad di Instagram Story, Baked habis terjual dalam tempoh empat hari.

"Jujurnya, saya memang terkejut dan tidak menyangka ada orang nak beli tetapi ia petanda baik selain pengguna memberikan maklum balas positif," ujarnya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Shella menjelaskan Baked adalah produk pelangsingan krim tambahan mengandungi bahan semula jadi yang memberi sensasi hangat pada badan dalam mencapai bentuk tubuh idaman.



Shella mengakui turut berdepan pelbagai cabaran dan halangan bagi memastikan produk keluarannya diterima baik pelanggan.

Idea menghasilkan produk berasaskan air dalam bentuk gel itu kata Shella timbul selepas membuat kajian ramai yang tidak yakin untuk mengambil ubat pelangsing badan dalam bentuk tablet atau serbuk.

Ramai bimbang produk-produk berkenaan akan memberi kesan kepada organ dalaman dan memberi kesan negatif kepada kesihatan mereka.

"Berbeza dengan Baked, ia hanya perlu disapu pada bahagian tubuh yang berlemak dan sensasi panas akan membantu memecahkan lemak," jelasnya.

Bukan selebriti, promosi produk halangan terbesar

Meskipun mengecap kejayaan dalam tempoh singkat, Shella berkata, seperti perniagaan lain, The Baked Sdn. Bhd. juga tidak terkecuali berdepan dengan cabaran serta halangan.



Stokis dan pelanggan adalah tulang belakang kejayaan Shella membangunkan Baked.

Halangan terbesar kata Shella, adalah cabaran untuk memperkenal dan menjual produknya kepada pelanggan memandangkan tiada yang mengenali dirinya.

Disebabkan dirinya 'bukan siapa-siapa', pembeli, ejen serta stokis berasa ragu-ragu kerana dirinya tidak mempunyai pengaruh besar.

"Hendak mendapatkan keyakinan stokis dan pelanggan mempercayai produk yang dikeluarkan memang susah kerana saya bukan seorang selebriti media sosial atau artis.

"Tetapi Alhamdulillah, saya tidak pernah berputus asa untuk mengetengahkan produk saya sekali gus mampu memperoleh kepercayaan stokis dan pelanggan.



Shella merancang untuk mengeluarkan lebih banyak produk dibawah The Baked Sdn. Bhd.

"Berkat kesabaran selama tiga tahun, kini Baked sudah pun terjual sebanyak 50,000 unit selain mempunyai lebih daripada 100 ejen dan stokis di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei," katanya yang turut mengalu-alukan lebih banyak ejen menyertai keluarga besar The Baked Sdn. Bhd.

Berkat berkongsi rezeki, pasukan dan pelanggan kekuatan Shella

Berkongsi rahsia kejayaannya, Shella memberitahu dia tidak mempunyai sebarang resepi tertentu sebaliknya sentiasa berpegang kepada amalan berkongsi rezeki dengan orang lain.

Shella memberitahu, amalan itu bukan sahaja dapat menjadikan dirinya seorang yang lebih merendah diri tetapi percaya dengan memberi, seseorang akan menerima lebih banyak.

"Perasaan dapat berkongsi rezeki dengan orang lain memang luar biasa. Apabila melihat orang lain gembira, saya turut berasa seronok.



Shella sentiasa mencari peluang dan ruang untuk berkongsi rezeki dengan orang lain.

"Paling penting saya ada pasukan yang cukup berdedikasi selain pelanggan setia yang sentiasa menyokong Baked. Jujurnya, mereka inilah semangat saya dan saya mungkin bukan sesiapa tanpa mereka ini, Alhamdulillah," kongsinya.

Mengenai perancangan masa depan, Shella memberitahu dia merancang untuk mengeluarkan beberapa lagi produk kecantikan dan kesihatan.

Malah katanya, ketika ini dia sudah pun memulakan proses untuk mengeluarkan produk terbaharu namun tidak terburu-buru kerana ingin memastikan produk dihasilkan berkualiti dan selamat digunakan.

"Sekarang ada beberapa produk yang dalam peringkat percubaan, mungkin mengambil masa setahun sebelum ia dipasarkan bagi memastikan keberkesanan dan keselamatannya terjamin," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain