suria

Beri sumbangan mesin ABG berharga RM105,000 untuk kegunaan hospital dan pesakit Covid-19... terima kasih Neelofa beri idea, inspirasi!

Kisah Neelofa mendermakan katil hospital telah memberi inspirasi kepada Asri Ahmad Academy Sdn Bhd dan Murtadha Dakwah Centre (MADA) melakukan perkara sama.

KISAH selebriti dermawan popular, Neelofa menyumbang katil hospital yang dilaporkan bernilai RM100,000 bagi kegunaan pesakit Covid-19 menyentuh hati pelbagai pihak.

Meskipun perkara itu tidak didedahkan Neelofa secara terbuka namun kebaikan dan keprihatinan selebriti itu menjadi buah mulut ramai yang kagum dengan tindakannya kerana ia antara bantuan yang amat diperlukan ketika ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Wow! Pelajar bukan Islam dapat A subjek Tasawwur Islam... kongsi rahsia hos Jejak Rasul suntik inspirasi

Perkara itu juga mendorong Asri Ahmad Academy Sdn Bhd dengan kerjasama Murtadha Dakwah Centre (MADA) untuk melakukan perkara sama dalam usaha membantu golongan memerlukan terutamanya bagi meringankan beban pesakit dan pihak hospital.

Pengarah Urusan MADAD, Mohammad Yaakub Yusra Mohd Yusoff berkata, kisah Neelofa itu telah memberi ilham kepada pihaknya untuk membekalkan kemudahan peralatan perubatan kepada hospital kerana ia amat diperlukan ketika ini.



Yaakub menyampaikan sumbangan mesin ABG kepada Timbalan Pengarah Perubatan (4) Hospital Sultanah Bahiyah, Dr Siti Norhani, sambil disaksikan oleh

Pengerusi Malaysia Relief Agency Kedah, Dr Mohd Saifullah Alhany.

"Lazimnya ramai memberikan sumbangan dalam bentuk kewangan dan kelengkapan PPE namun apa lagi yang boleh disumbangkan dalam waktu sukar ini?

"Apabila terbaca kisah mengenai Neelofa pihak kami terfikir bahawa sebenarnya ada perkara lain juga yang boleh disumbangkan selain wang tunai, barangan keperluan atau kelengkapan PPE," katanya.

Atas dasar itu, Yaakub memberitahu pihaknya membuat sumbangan mesin perubatan dipanggil Arterial Blood Gases (ABG) untuk kegunaan Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Hospital Jitra dan Hospital Baling, Kedah baru-baru ini.

Yaakub berkata, pihaknya mendapat maklumat daripada Malaysia Relief Agency (MRA) tentang keperluan segera mesin tersebut di beberapa buah hospital di negeri itu.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"ABG ini adalah satu prosedur invasif di mana darah diambil daripada arteri untuk diuji tahap keseimbangan asid dalam menentukan konsentrasi karbon dioksida dan oksigen dalam darah pesakit. Ia juga dapat menentukan tahap pH darah.



Yaakob berharap lebih ramai pihak tampil membantu.

"Apabila mendapat maklumat bahawa beberapa mesin ini diperlukan segera jadi kami cuba bantu untuk menyediakannya apatah lagi ketika ini pesakit Covid-19 semakin ramai dan wad ICU juga penuh dengan pesakit," katanya.

Yaakob menjelaskan pihaknya membeli tiga buah mesin ABG yang berjumlah RM105,000 selepas merujuk kepada pihak MRA tentang spesifikasi dan pembekal berdaftar.

"Setakat ini kami dimaklumkan ketiga-tiga hospital tersebut memerlukan segera mesin tersebut dan berharap dapat membantu lebih banyak hospital dengan alatan ini pada masa hadapan," katanya.

Sementara itu, Yaakob berharap lebih banyak syarikat korporat atau persendirian yang tampil dalam usaha membantu menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan dan pihak hospital dalam menangani wabak ini.

"Kita ibarat sedang berperang dan wajarlah kita sama-sama mempertahankan kesejahteraan negara kita. Lagi cepat pandemik ini dapat ditangani, maka lagi cepat kita boleh menjalani kehidupan kita seperti biasa," ujarnya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain