suria

Warga emas kini hidup dengan jantung babi walau pada awalnya bimbang mati di katil bedah

Eksperimen pembedahan itu menjadikan David manusia pertama penerima jantung babi di dunia.

JUMAAT lalu seorang lelaki warga emas dari Maryland, Amerika Syarikat menjadi manusia pertama yang hidup dengan jantung babi yang diubah suai secara genetik dan digunakan sebagai organ pengganti.

David Bennet, 57, berjaya mengharungi pembedahan berisiko itu selama sembilan jam yang dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Maryland.

ARTIKEL BERKAITAN: Kata orang rezeki tak salah alamat... Jom kenali 7 pengemis terkaya di dunia

Menerusi pembedahan itu, pakar bedah menggunakan jantung babi berusia setahun seberat 108 kilogram yang diternak khusus untuk tujuan ini.

Pada awalnya, David enggan menjalani pembedahan eksperimen ini memandangkan risiko dan peluang kejayaan yang tipis dan tidak mahu menemui ajal di atas katil bedah.



Jantung babi yang telah dikawal sedia untuk diberikan kepada penerima untuk pertama kali.

Namun selepas itu, David mula berubah fikiran dan menyedari bahawa pembedahan adalah pilihan terbaik untuknya dan berharap sekiranya pembedahan itu berjaya dapat membantu orang lain yang mengalami masalah sama sepertinya.

"Tidak kira apa yang berlaku, saya mahu menjalani eksperimen ini agar dapat membantu orang lain," katanya yang kini masih dalam pemantauan doktor meskipun sudah mampu bernafas tanpa bantuan alat pernafasan ataupun ventilator.

USA Today melaporkan lelaki itu masih perlu menggunakan mesin ECMO untuk membantunya mengepam darah ke seluruh badan.

Secara teorinya, pemindahan organ daripada spesies lain kepada manusia (xenotransplants) bukanlah sesuatu yang baharu, tetapi kebanyakan penyelidik mendakwa eksperimen yang dilakukan jarang sekali menemui kejayaan.



Gambar David Bennett (tengah) bersama keluarga yang memberikan dorongan kepada David untuk menjalani pembedahan.

Ini termasuk percubaan ke atas seorang bayi dikenali sebagai Baby Fae pada 1984 yang menerima jantung babi di dalam badannya. Malangnya organ baharu itu hanya mampu membuatkan bayi malang itu hidup selama 21 hari.

ia berlainan dengan pembedahan David yang melibatkan teknologi yang disebut sebagai pengubahsuaian gen agar sepadan dengan tubuh manusia.

Terdapat 10 gen yang diubah suai, setiap satu daripadanya bertanggungjawab untuk mengelak pertumbuhan berlebihan dalam tisu jantung babi yang telah dikeluarkan.

Tiga gen lain yang menyebabkan penolakan organ turut dikeluarkan manakala enam gen mengawal penerimaan organ dalam tubuh manusia pula ditambah masuk.



Sesi bedah pemindahan jantung babi ke dalam tubuh David buat pertama kali di dunia.

Proses itu telah dilakukan oleh syarikat bioteknologi yang berpangkalan di Virginia, Amerika Syarikat.

Semasa pembedahan, David menggunakan imunosupresan standard untuk memastikan sistem imunisasinya tidak menyerang organ baharu itu.

“Prosedur yang berjaya memberikan maklumat berharga untuk membantu komuniti perubatan menambah baik kaedah yang berpotensi menyelamatkan nyawa pesakit pada masa hadapan,” kata Dr Muhammad Mohiuddin.

Mohiuddin ialah salah seorang pengasas program xenotransplantasi Universiti Maryland, serta orang yang membangunkan ubat eksperimen yang dihasilkan.

Selaras dengan itu, Dr Bartley Griffith, doktor yang membedah Bennett berkata beliau optimis bahawa pembedahan pertama di dunia ini akan memberikan pilihan baharu yang penting untuk pesakit pada masa hadapan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain