SEMAKIN hari, semakin ramai insan mula berjinak-jinak menggunakan platform TikTok ke arah kebaikan. Turut tidak melepaskan peluang keemasan ini adalah seorang jurusolek, Emirzaelly atau senang disapa Elly yang menjana pendapatan menerusi platform itu sehingga membuahkan hasil lumayan. Menurut wanita berusia 28 tahun ini, dia pada mulanya membuat kandungan (content) berbentuk cerita hantu dan kisah kehidupan untuk meraih ramai pengikut. "Dari dulu sehinggalah sekarang saya masih jadi MUA (make-up artist). Dalam bidang saya ceburi ni bukanlah satu hal yang mudah. Elly merupakan ibu kepada tiga cahaya mata. "Saya kena 'expose' diri selalu supaya orang di luar sana tahu tentang kewujudan kita. Tambah lagi sekarang ni terlalu banyak persaingan. "Jadi saya tak boleh berdiam saja dan ambil inisiatif mendedahkan diri melalui idea-idea buat content di TikTok," ujar Elly ketika dihubungi mStar. TikTok medium jana pendapatan Menurut Elly yang berasal dari Kemaman, Terengganu, pada mulanya dia hanya ingin memperkenalkan 'brandingnya' sebagai jurusolek melalui platform iaitu sejak 2021. Namun, setelah lama menceburi bidang ini, dia mula menyedari bahawa TikTok membuka peluang untuk menambah pendapatan sedia ada. "Masa mula buat posting di TikTok, saya banyak bercerita kisah-kisah hantu sebab masa tu memang tengah 'in' topik dalam genre tu. Kebanyakan yang follow saya masa tu sebab nak dengar cerita seram saja. ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar tingkatan 6 tak hanyut dalam dunia glamor TikTok, pasang angan-angan nak jadi cikgu sukan... Media sosial hanya ‘side income’ ARTIKEL BERKAITAN: Berniaga tak kedekut ‘topping’, pisang goreng cheese air tangan bakal pilot laris di Kajang... Dulu introvert, kini terkenal di TikTok "Tapi perlahan-lahan saya tukar content kepada solekan yang merupakan bidang utama saya. Kelebihan saya pun asalnya buat reviu dengan promosikan barang-barang make-up dan supplement kecantikan. "Berbanding media sosial lain, bagi saya TikTok adalah platform paling senang nak cari duit. Sekarang pun kalau nak beli apa-apa pun orang buka TikTok sebab mudah menjual dan membeli," katanya lagi. Cabaran sebagai ibu dan isteri Elly berkata, walaupun masih ramai di media sosial yang sudah menempa nama sebagai jurusolek, tetapi dia memiliki cara tersendiri membuat kandungan di mana dia menggunakan loghat Terengganu. Sebagai ibu kepada tiga cahaya mata, menguruskan rumah tangga merupakan satu cabaran besar apatah lagi terpaksa berjaga sehingga lewat malam. Katanya yang sudah berumah tangga lebih lapan tahun, dia membahagikan masanya dengan baik agar segala urusan hariannya berjalan lancar. Elly menguruskan rumah tangga sambil menjana pendapatan di TikTok. "Seperti hari biasa bekerja, waktu pagi saya akan luangkan untuk uruskan suami dan anak sulung yang bersekolah dahulu. Lepas siapkan segala persiapan mereka, saya uruskan lagi dua orang anak. "Biasanya mereka akan tidur waktu tengah hari, jadi saya akan menyelit buat content sekejap. Tapi kalau ada reviu kena buat live, biasanya saya buat malam. Suami akan ambil alih masa live tu jaga anak. "Ada juga kadang tu tengah buat live, anak-anak buat perangai serentak. Memang agak mencabar waktu tu. Kalau tengah rakam content video bolehlah berhenti sekejap. Tapi kalau tengah live memang kena handle dalam tu. Tapi seronok juga bila followers cakap masuk live sebab nak tengok ragam saya dan anak-anak sebab meriah," ujar Elly lagi. Rezeki bertambah Dalam pada dirinya berhempas pulas mencari wang demi kelangsungan hidup, siapa sangka segala usahanya membuahkan hasil. Memperoleh sekitar RM20,000 sebulan, Elly berjaya membeli sebuah kereta Honda City pada Januari tahun ini. "Kalau dulu masa tak main TikTok, gelap-gelap hari lagi saya dah pergi solek pengantin. Dalam sebulan tu bolehlah (pendapatan) cukup-cukup makan. Tapi sekarang jana income melalui reviu di TikTok dan make-up pengantin. Saya boleh raih puluhan ribu ringgit dalam sebulan. Wanita ini membeli sebuah kereta berjenama Honda City pada Januari. "Rata-rata yang buat tempahan make-up mesti kenal saya melalui TikTok. Kalau datang rumah mereka pun, ibu mereka beritahu kenal Elly dekat TikTok. Selalu tengok live Elly. "Apa-apa pun saya bersyukur dengan apa saya miliki sekarang. Semua saya buat untuk keselesaan anak-anak. Saya merupakan seorang anak daripada keluarga susah jadi semua yang saya impikan, saya usahakan sendiri," ujarnya lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube