IMPIAN tidak akan menjadi kenyataan tanpa usaha dan pengorbanan.
Setiap halangan yang diharungi adalah pengalaman berharga dan akan membawa kita lebih dekat kepada kejayaan.
Begitulah perjalanan hidup Muhammad Ikram Mazlan, 29, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan sebelum berjaya menggapai impian untuk bekerja di awan biru.
Menurut kru kabin syarikat penerbangan AirAsia ini, jalan yang ditempuhinya tidaklah semudah disangka, namun dia bersyukur cita-citanya sejak zaman sekolah kini sudah tercapai.
Ikram bercita-cita untuk bekerja di awan biru sejak di bangku sekolah.
"Saya memang bercita-cita nak jadi kru kabin sejak sekolah menengah. Namun ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dalam setahun juga saya kerja sebagai pengawal keselamatan kondominium.
"Saya ternampak iklan kerja di Facebook dengan bayaran RM50 ke RM60 sehari. Saya fikir, daripada duduk di rumah, lebih baik keluar bekerja. Saya ambil saja peluang itu selagi ia halal," ujarnya kepada mStar.
Tiga kali percubaan
Selepas setahun bekerja sebagai pengawal keselamatan, Ikram menyambung pengajian di peringkat diploma sebelum mencuba nasib untuk menghadiri temuduga kru kabin.
Meskipun percubaan pertama menemui kegagalan, anak sulung daripada lima adik beradik itu tidak pernah berputus asa untuk memperbaiki kelemahan diri sehinggalah impiannya bertukar realiti.
Ikram menyambung pengajian selepas setahun bekerja sebagai pengawal keselamatan.
"Selepas kerja sebagai pengawal keselamatan, saya sambung pengajian diploma dalam bidang pentadbiran perniagaan di Cyberjaya. Kemudian saya pergi temuduga sebagai kru kabin.
"Saya perasan ada buat kesilapan ketika temuduga pertama melibatkan (penguasaan) bahasa Inggeris. Jadi saya cuba perbaiki bahasa Inggeris dan akhirnya kali ketiga baru saya berjaya.
"Ada yang tanya tentang kerja ini. Saya kata kalau tak lepas temuduga, kita kena cuba lagi. Kita tak tahu bila rezeki akan tiba," kata Ikram yang sudah setahun enam bulan berkhidmat dengan AirAsia.
Menurut Ikram lagi, dia gembira dapat menjejakkan kaki ke beberapa destinasi impian seperti India, China dan Indonesia selepas memulakan kerjayanya dalam bidang itu.
Tular di TikTok
Sebelum ini, kisah Ikram tular dan menerima pujian ramai selepas dia berkongsi video transformasi kerjayanya di aplikasi TikTok.
Ramai pelayar TikTok turut memuji penampilan Ikram yang dilihat semakin segak selepas dia mengubah kerjayanya.
Perkongsian video Ikram di TikTok turut menerima pujian ramai.
"Berseri bila jadi kru kabin.
"Kena jadi kru kabin dulu ke baru glow up?
"Plot twist betul ni, terus nampak handsome," tulis beberapa netizen.
Kata Ikram, dia sekadar membuat perkongsian secara suka-suka, namun tidak menyangka ia bakal meraih perhatian ramai.
"Saya memang tak sangka video itu akan tular. Saya muat naik video itu secara suka-suka. Tapi saya anggap ia sebagai satu bentuk inspirasi. Semua orang boleh capai impian mereka," ujarnya lagi.