SEBUAH gong yang diletakkan pada bahagian tepi pintu pagar utama sebuah kediaman agam di Seksyen 7, Shah Alam cukup menarik perhatian sesiapa sahaja yang melihatnya. Bagi yang tidak tahu, pasti akan berasa pelik dengan kehadiran gong berkenaan dan mungkin menyangka ia sekadar perhiasan.ARTIKEL BERKAITAN: Belum ada di pasaran, PlayStation 5 edisi khas bersalut emas bakal jadi rebutan Namun rupa-rupanya, gong itu mempunyai fungsi tersendiri iaitu sebagai loceng rumah. "Kebiasaannya jika ada tetamu datang, mereka akan mengetuk gong itu dan bunyinya akan kedengaran sampai ke dalam rumah," kata pemilik rumah Azmin Aziz ketika ditemui mStar baru-baru ini. Sebuah gong gergasi yang berfungsi sebagai loceng menghiasi pintu masuk kediaman Azmin. Gong itu sebenarnya hanyalah satu daripada ratusan barangan antik yang dikumpul pesara berusia 57 tahun itu di kediamannya.Kisah kereta klasik MGYA, 'signature' sangkar burung Menyusuri ke laman rumah Azmin, mata turut tertumpu kepada sebuah kereta klasik MGYA berwarna putih dan maroon yang dihasilkan pada tahun 1947 di England. Menurut bekas pegawai di sebuah pasar raya di Shah Alam, kenderaan itu adalah antara enam yang telah diimport ke Tanah Melayu ketika itu dan dia cukup bertuah dapat memiliki salah satu daripadanya. Kereta antik jenama MGYA antara koleksi kesayangan Azmin. "Saya adalah pemilik ketiga kereta antik ini dan saya difahamkan hanya ada tiga termasuk milik saya di Malaysia yang masih dalam keadaan baik dan boleh digunakan. "Ia antara barang antik kesayangan saya dan jika ada waktu lapang saya akan bersiar-siar di kawasan sekitar bagi memanaskan enjinnya," kata Azmin. Mendongak ke bahagian atas anjung rumah, beberapa sangkar burung klasik tergantung menghiasi ruang itu yang ada di antaranya sudah berusia puluhan tahun. "Sangkar atau perangkap burung memang menjadi 'signature' saya kerana ia sangat dekat dengan kebudayaan orang Melayu... Cuma saya tak sampai hati nak bela burung. Perkakas pertukangan antik menghiasi dinding rumahnya yang turut diperbuat menggunakan kayu landasan kereta api. "Tetapi ia bukan sekadar sangkar tetapi jika kita perhatikan, pembuatan sangkar lama ini sangat berseni dan ia sesuatu yang semakin pupus," ujarnya. Berjalan ke pintu utama rumah tersebut, pelbagai barangan antik yang kebanyakannya milik asal keluarganya seperti basikal, meja, almari, mesin memproses getah, pemerah tebu dan sebagainya melatari hiasan landskap rumah tersebut. Setiap daripada barangan tersebut tersusun cantik sama ada digantung pada dinding atau ditempatkan di satu sudut, mempamerkan citarasa dan kisah tersendiri koleksi itu. Kumpul barang antik sejak 30 tahun lalu Bercakap mengenai hobinya itu, Azmin berkata, usaha mengumpul barangan antik bermula sejak 30 tahun lalu selepas menamatkan pengajian di Louisiana State University, Amerika Syarikat pada 1987. Unik... Tempat pengukus pau yang digunakan penjual pada zaman dahulu. Bagaimanapun katanya, pengaruh terbesar terhadap minatnya itu datang daripada Allahyarham bapanya sendiri, Tan Sri Abdul Aziz Zakaria yang cukup gemar menyimpan dan membaiki barangan lama. "Zaman dahulu, keluarga arwah bapa bukannya orang senang dan menjalani kehidupan sederhana terutamanya ketika zaman pemerintahan Jepun. "Jadi jika ada barang yang rosak, semua arwah akan baiki sendiri... Itu membuatkan beliau sangat menghargai sesuatu barang dan sikap itu terbawa-bawa sehinggakan ia diturunkan kepada saya dan adik-beradik yang lain. "Dari situ juga timbul minat terhadap barangan antik kerana menghargai betapa susahnya orang zaman dulu hendak dapatkan sesuatu barang," ujarnya. Tempat memperah air tebu (kiri) dan cangkul daripada zaman dahulu antara koleksi berharga dalam simpanannya. Kata Azmin, sejak pulang belajar dari luar negara, minatnya semakin mendalam terhadap barangan antik terutamanya yang mempunyai sejarah dan berkaitan kebudayaan Melayu. Malah katanya, setiap kali mempunyai waktu lapang dia akan menjelajah ke seluruh Malaysia bagi mencari barangan 'rare' terutamanya di Perak yang juga kampung kelahiran bapanya. "Saya cukup suka mencari barangan antik di Perak kerana saya pasti akan jumpa dengan benda-benda luar biasa serta mengingatkan saya ketika zaman kanak-kanak. "Kalau menziarahi saudara mara atau menghadiri kenduri, stor belakang rumah mereka adalah tempat yang akan saya tuju kerana saya pasti akan jumpa sesuatu yang unik dan berharga," ujarnya. Apabila saya melihat semua barangan ini, ia mengingatkan saya ketika membesar di kampung suatu masa dahulu tetapi paling penting sekarang saya ingin anak muda menghargai sejarah dan mempelajari sesuatu daripadanya. AZMIN AZIZ PENGUMPUL BARANGAN ANTIK Mahu golongan muda hargai sejarah Jelas Azmin lagi, dia bukanlah semata-mata mencari 'harta karun' sebagai koleksinya tetapi ingin menjejak alatan lama yang mempunyai nostalgia dan sejarah di sebaliknya. "Sebenarnya orang Melayu zaman dahulu cukup kreatif dan terdapat pelbagai barang yang dicipta mempunyai fungsi luar biasa dan tahan lama... Itu membuatkan saya cukup kagum. "Malah ada beberapa barangan antik dalam koleksi saya, ia masih boleh digunakan dan dalam keadaan baik," katanya. Paling penting katanya, usahanya mengumpul barangan antik ini bukanlah semata-mata kerana minat tetapi ingin mengangkat kembali budaya orang Melayu yang semakin dilupakan. Pelbagai barangan yang meninggalkan nostalgia. Kata Azmin, besar hasratnya untuk melihat semua barangan berharga ini dapat dinikmati oleh anak cucunya dan sebagai peringatan kepada mereka tentang sejarah. "Apabila saya melihat semua barangan ini, ia mengingatkan saya ketika membesar di kampung suatu masa dahulu tetapi paling penting sekarang saya ingin anak muda menghargai sejarah dan mempelajari sesuatu daripadanya. "Berbeza dengan dunia hari ini, sesuatu benda itu cukup mudah didapati tetapi zaman dahulu ia cukup sukar dan sebab itu apa yang ada, mereka akan simpan walaupun ada di antaranya sudah tidak berguna. "Melalui barangan antik ini juga kita bukan sahaja dapat kenal sejarah tetapi diri kita sendiri," jelasnya. Azmin turut mempunyai bengkel sendiri yang terletak di belakang rumahnya. Ada bengkel sendiri Tidak hanya mengumpul barangan antik, Azmin memberitahu dia juga mempunyai bengkelnya sendiri bagi memudahkannya melakukan kerja-kerja pembaikkan barangan antik. Malah katanya, sejak bersara, boleh dikatakabn setiap hari dia akan berada di bengkel yang dibina di belakang rumahnya sebagai mengisi masa lapang. Tidak hanya membaiki barangan miliknya, kini Azmin juga mendapat banyak tempahan daripada kenalan dan penggemar barangan antik yang meminta dia membaiki barang antik milik mereka. "Sejak bersara kebanyakan waktu saya memang dihabiskan di bengkel atau menggembara bagi mencari barang antik. Pada sesetengah orang, barang lama mungkin sudah tiada nilai namun ia juga harta berharga penggemar barangan antik. "Sesekali anak-anak turut membantu saya dibengkel dan Alhamdulillah mereka juga tunjuk minat terhadap hobi saya, ' katanya. Tidak hanya tertumpu kepada menggumpul dan membaiki, Azmin juga turut menjual koleksi terpilih dalam simpanannya kepada yang berminat untuk membeli. Bagaimanapun, Azmin tidak menjual koleksinya secara melulu sebaliknya hanya berbuat demikian pada mereka yang benar-benar berminat dan tahu menghargai barangan antik dan seni. "Barang-barang ini mungkin tiada nilai pada sesetengah orang tetapi pada yang tahu merkea bijak menilai dan tahu akan sentimental yang ada padanya," katanya. Azmin dengan bantuan menantunya, turut membuka akaun Instagram yang memuatkan pelbagai gambar koleksinya untuk tatapan penggemar barangan antik. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!