suria

Benda boleh online buat apa beratur di kaunter... Ini cara perbaharui pasport atas talian!

Pasport Malaysia boleh diperbaharui secara atas talian.

SEJAK kerajaan mengumumkan rakyat Malaysia dibenarkan melakukan perjalanan atau melancong ke mana-mana negara, ramai mula mengambil kesempatan untuk memperbaharui pasport mereka di kaunter Jabatan Imigresen Malaysia.

Tetapi tahukah anda, selain memperbaharui pasport di kaunter, ia juga boleh diperbaharui menerusi laman web MyOnline Pasport?

ARTIKEL BERKAITAN: Boleh melancong ke semua negara, nak umrah pun boleh - PM

Ia adalah satu kaedah sebagai kemudahan kepada warganegara Malaysia membuat permohonan pembaharuan pasport Malaysia secara atas talian.

Pembayaran juga boleh menggunakan kad kredit atau debit terus (FPX).

Menariknya selepas membuat permohonan itu pemohon boleh memilih untuk mengambil pasport di pejabat pengeluar yang disenaraikan dalam sistem.

Pasport Malaysia 2

Pembaharuan pasport secara dalam talian sangat mudah dan cepat.

Manakala tarikh dan masa pengambilan pasport pula akan ditentukan oleh sistem berdasarkan hari dan masa permohonan dibuat.

Menerusi maklumat di portal My Government, permohonan yang dibuat sebelum pukul 3 petang hari bekerja akan diserahkan pada hari sama dan permohonan selepas waktu itu akan diserahkan pada 10 pagi hari bekerja berikutnya.

Apa syarat-syarat untuk membuat permohonan pasport secara atas talian?

1. Pemohon mesti berumur 13 tahun ke atas yang telah dikeluarkan dengan e-pasport (pasport bercip).

2. Pemohon perlu mengisi maklumat yang benar dan tepat di dalam ruangan yang disediakan dalam sistem. Jika terdapat maklumat/akuan palsu, permohonan akan ditolak dan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 12(1)(c) Akta Pasport 1966 (Akta 150).

3. Bagi pemohon di bawah umur 18 tahun: Hanya penjaga yang sah yang telah memberi kebenaran semasa permohonan yang terdahulu dibenarkan membuat permohonan secara atas talian.

Penjaga yang sah perlu hadir di pejabat imigresen semasa pengambilan pasport tersebut. Jika penjaga tidak hadir bersama, pasport tersebut tidak akan diserahkan.

4. Pemohon mesti memuatnaik foto bersaiz pasport yang terbaharu.

A. Latar belakang foto mesti berwarna putih tanpa bayang. Latar belakang menggunakan warna lain tidak akan diterima.

B. Pakaian berwarna gelap serta menutupi bahu dan dada

C. Bagi perempuan yang memakai tudung atau hijab mesti memakai tudung/hijab yang berwarna gelap dan tidak boleh menutup muka.

D. Gambar yang dimuatnaik mestilah dalam bentuk softcopy yang diambil oleh kedai gambar profesional. Gambar polaroid tidak dibenarkan.

5. Bayaran boleh dibuat menggunakan kad kredit/debit terus (FPX). Kadar bayaran adalah seperti berikut;

A. Permohonan Biasa 13 - 59 tahun: RM 200

B. Warga Emas (60 tahun keatas): RM100

6. Pemohon perlu hadir sendiri untuk mengambil pasport dengan mengemukakan kad pengenalan, pasport sedia ada dan resit bayaran. Tiada wakil dibenarkan.

7. Kegagalan mengemukakan dokumen atau hadir akan menyebabkan pasport tidak akan diserah.

8. Buku Pasport mestilah di dalam keadaan baik (tidak rosak,berconteng, terkena air).

9. Seseorang warganegara yang berada secara tidak sah mengikut undang-undang di luar negara adalah tidak layak untuk menggunakan kemudahan permohonan pasport atas talian (MyOnline).

10. Bagi pemohon di bawah umur 18 tahun perlu membawa sijil kelahiran dan penjaga yang sah yang telah memberi kebenaran perlu hadir bersama. (Pemohon atau penjaga tidak hadir semasa kutipan pasport, pasport tersebut tidak akan diserahkan).

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain