suria

Portal Majoriti dan Yoodo jalin kerjasama beri tawaran eksklusif!

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Alex Yeow (dua dari kanan) menyerahkan memorandum persefahaman kepada Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad, Datuk Idham Nawawi dan disaksikan oleh Ketua Yoodo, Chow Tuck Mun (kiri) dan Ketua Produk Majoriti, Chung Eng Lee.

PORTAL Majoriti menjalinkan kerjasama dengan Celcom Axiata Berhad (Celcom) yang memperlihatkan kedua-dua organisasi itu berusaha menyalurkan berita terkini dan menarik secara terus kepada pengguna dan pembaca.

Kerjasama itu menyaksikan portal berita berbahasa Malaysia dan perkhidmatan digital Celcom, Yoodo memberi ganjaran kepada pelanggan kedua-dua jenama itu dengan tawaran menarik.

ARTIKEL BERKAITAN: Kenapa Majoriti jalin kerjasama dengan Perkeso?

Bermula 15 Julai hingga 15 Oktober 2022, sebagai sebahagian daripada kempen Yoodo iaitu 'Refer-To-Win', pengguna baharu dan sedia ada Yoodo akan menerima ganjaran langganan Majoriti secara percuma selama setahun bernilai RM99 sebagai hadiah kerana memperkenalkan rakan mereka kepada Yoodo.

Tidak hanya itu, mereka juga akan menerima baucar staycation bernilai RM200.

Berkongsi fokus Yoodo untuk membina komuniti yang kuat, Majoriti turut menggalakkan perbincangan progresif melalui laporan naratif tidak berat sebelah dalam pelbagai isu hal ehwal semasa.

Berikutan itu, memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani di antara Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad, Datuk Idham Nawawi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Alex Yeow di @Celcom, Petaling Jaya pada Isnin.

Sementara itu, Ketua Produk Majoriti, Chung Eng Lee berkata, di portal itu pihaknya percaya kunci kepada jenama yang kukuh adalah melalui komuniti yang disertai.

Sebagai sebuah media berita kata Chung, pihaknya juga mempunyai tanggungjawab sosial yang perlu dipenuhi dan fokus utama Majoriti adalah untuk membawa berita dipercayai dan laporan yang penting kepada pembaca.

"Dengan orang ramai banyak menghabiskan sebahagian besar masa mereka dengan telefon pintar, adalah wajar mereka mencari berita secara terus.

"Yoodo memahami keperluan dan kehendak pengguna moden manakala Majoriti pula memahami kepentingan untuk memastikan pembaca sentiasa mendapat berita yang tepat.

"Kami berharap perkongsian ini akan memberi kebaikan kepada pembaca dengan Yoodo menyediakan platform tepat untuk mendapatkan berita melalui liputan rangkaian mereka yang luas manakala Majoriti membawa kandungan berita yang berkualiti," katanya.

Dalam perkembangan sama, sebagai satu-satunya syarikat telekomunikasi digital sepenuhnya di Malaysia, Yoodo berbangga berdiri sebagai perintis dalam membolehkan pengguna menyesuaikan pelan internet mereka mengikut keperluan masing-masing.

Tidak terikat dengan pelan konvensional, Yoodo memberikan pengguna kelonggaran untuk mencipta pengalaman mengikut kehendak dan citarasa sendiri.

Mengulas mengenai kolaborasi itu, Ketua Yoodo, Chow Tuck Mun berkata, sebagai jenama digital sepenuhnya, Yoodo sangat komited dalam menyediakan pengguna dengan kebolehcapaian dan kemudahan secara terus.

Kata Chow, pihaknya juga sentiasa mencari rakan kerjasama yang berfikiran sama daripada segi menyediakan tawaran sama kepada pengguna.

"Dengan kerjasama ini, kami dapat memberi jaminan bahawa pengguna akan mempunyai akses mudah kepada berita yang pantas dan boleh dipercayai di samping faedah tambahan dan tawaran eksklusif.

"Perkongsian antara jenama dan media digital adalah gandingan yang sempurna dan kami berharap dapat mencari cara lebih menarik untuk bekerjasama demi memberi lebih banyak ganjaran kepada rakyat Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, Chung turut berkongsi bahawa Majoriti bakal memperkenalkan penerbitan cetakan mingguan yang dikenali sebagai Majoriti 7 yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Penerbitan itu akan menyediakan kandungan lebih mendalam yang memfokuskan kepada berita dan perkembangan semasa dalam dan luar negara selain politik, sosial, sukan dan hiburan.

Menggunakan tagline, Refleksi Tanpa Prejudis, manifesto Majoriti adalah tentang menyediakan berita dan laporan tidak berat sebelah kepada pembaca.

Majoriti mula bekerjasama dengan pelbagai rakan kongsi dalam mengembangkan produk yang ditawarkan oleh kedua-dua belah pihak.

Rakan kongsi dan peniaga yang turut menjalinkan kerjasama adalah Grab Malaysia, Pertubuhan Keselamatan Sosial, Aeon Co (M) Berhad, Malaysia Airlines Berhad, Secret Recipe Cakes and Cafe Sdn Bhd, Petronas Dagangan Berhad, Samsonite (M) Sdn Bhd, hotel di bawah IOI Properties Group Berhad dan banyak lagi dalam perancangan.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Majoriti atau kaedah langganan, layari majoriti.com.my manakala informasi tentang Yoodo, lawati www.facebook.com/YoodoMY atau www.yoodo.com.my.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain