suria

Promosi produk tempatan... KPDNHEP rancang Karnival Barangan Malaysia berskala besar tahun depan

Rosol melawat booth selepas melancarkan Karival Barangan Malaysia.

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bercadang untuk menganjurkan karnival berskala besar pada tahun hadapan sekali gus memperluaskan kempen beli barangan tempatan.

Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid juga mahu melihat Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) termasuk dalam karnival, di mana peruncit boleh mempamerkan fesyen, perabot, batik, automotif, gaya hidup, produk perubatan dan makanan.

“Bagi mengukuhkan lagi produk tempatan dan perkhidmatan, pelbagai pertunjukan, pameran dan juga pertandingan dirancang untuk karnival mega pada tahun hadapan.

“Saya berhasrat untuk melihat produk tempatan terus berkembang, maka saya mencadangkan supaya penganjuran karnival berskala besar untuk semua barangan,” katanya pada pelancaran Karnival Barangan Malaysia yang diadakan di Mydin Mall Meru Raya di Ipoh, Perak pada 1 Oktober lalu.

Karnival Barangan Malaysia yang julung kali diadakan di Ipoh dengan menampilkan 52 peniaga ini dilihat sebagai pelopor kepada acara mega tahun depan.

Sementara itu, Karnival Barangan Malaysia siri kedua diadakan di Plaza Angsana Johor Bahru, Johor.

Rosol mahu jenama tempatan bertaraf antarabangsa.

Rosol mahu jenama tempatan bertaraf antarabangsa.

Dalam pada itu, Rosol turut memaklumkan bahawa kebanyakan produk yang dihasilkan adalah bertaraf antarabangsa.

“Kita mesti beri peluang kepada usahawan warga tempatan kerana terdapat banyak produk yang berjaya menghasilkan nama di peringkat antarabangsa.

“Saya yakin dengan lebih banyak lagi sokongan, kita akan dapat lihat lebih banyak produk menjadi terkenal,” tambahnya.

Terdahulu, Rosol turut memaklumkan, Malaysia berjaya mengembangkan pasaran eksportnya ke luar negara.

“Sebagai contoh, pasar raya besar Aeon dan Lulu sudah memasarkan produk dalam rantaian mereka di luar negara,” katanya.

“Kementerian juga semakin giat mentransformasi serta melaksanakan program pembangunan produk untuk membantu usahawan tempatan daripada segi pembungkusan produk yang memenuhi piawaian antarabangsa,” jelasnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain