BAGI kebanyakan 'orang utara', setiap hidangan yang dimasak perlu dicampur dengan sos tiram walaupun sekadar ikan goreng. Bak kata mereka, tiada sos tiram bererti rasa makanan pasti kurang! Para suri rumah gemar memilih sos tiram sebagai bahan perasa utama mereka kerana ia rendah kalori, bebas lemak dan mempunyai dos kalsium yang sihat untuk kekuatan tulang. Kebiasaannya sos tiram dicampur sedikit sahaja dalam masakan dan hasilnya akan menyerlahkan rasa yang enak serta segar. Maka tidak hairanlah apabila pelbagai jenama sos tiram berada di pasaran masa kini sehingga menyukarkan para ibu membuat pilihan. Menerusi perkongsian cef terkemuka, Chef Amer, terdapat lima jenis sos tiram yang boleh disesuaikan dengan masakan anda. Tambahnya, setiap kandungan adalah berbeza dan harga yang ditawarkan juga pastinya tidak sama. Oleh itu, ikutlah citarasa anda dan bajet serta tujuan masakan masing-masing. Pasti akan lebih menyelerakan! 1. Sos Tiram Kandungan ekstrak tiram lebih dari 10 peratus dan boleh dipanggil sos tiram kerana dia memberikan rasa tiram yang sebenar. Jenama Panda Lee Kum Kee adalah pilihan tepat. 2. Sos Perisa Tiram Kandungan ekstrak tiram kurang 5 peratus dan disebabkan itu tak boleh dipanggil sos tiram. Rasa tiramnya juga hanyalah sederhana dan sekadar 'berperisa'. Jenama pilihan adalah Maggie, Nona, Adabi, Taste-me Antara sos tiram premium dipasaran. 3. Sos Tiram Premium Seperti lebel premium yang dipamerkan, kandungan ekstrak tiramnya juga pasti lebih iaitu sekitar 40 peratus. Anda semestinya tidak perlu ragu dengan rasa tiram kerana sangat padu! Bagi para ibu, anda boleh mencuba jenama Premium Lee Kum Kee (ibu dan anak dalam sampan) 4. Sos Tiram Tiruan Sayuran Sudah terang ditulis tiruan bukan? Jadi sememangnya tiada langsung ekstrak tiram di dalamnya. Ia sebenarnya digantikan dengan serbuk cendawan yang berkapasiti satu peratus sahaja. Jenis ini sesuai digunakan oleh mereka yang vegetarian dan mengamalkan diet. Antara jenama berkaitan adalah sos berperisa tiram sayuran Lee Kum Kee dan Taste-Me 5. Sos Berperisa Tiram Ekonomi Kandungan ekstrak tiram yang sangat sedikit atau tiada langsung, sekadar perasa dan kicap serta pemekat sahaja. Harganya juga sangat murah dan dijual dalam tong tiga atau lima kilogram. Kebanyakannya adalah jenama Puteri, Emos, HTH Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI