suria

Perjalanan si kecil perlu lancar, selesa... ini 5 tip perlu dipertimbang ibu bapa sebelum beli stroller

Pelbagai jenis stroller terdapat dipasaran yang pastinya memudahkan ibu bapa membawa anak-anak keluar.

WAKTU beriadah bersama anak kecil pasti lebih mudah sekiranya mempunyai stroller atau kereta sorong.

Disebabkan itu, tidak hairanlah apabila terdapat pelbagai jenis kereta sorong yang dijual di pasaran hari ini dengan setiap satunya mempunyai rekaan, ciri dan fungsi tertentu yang pasti memudahkan ibu bapa mengendalikannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Menyusu bayi bantu kurangkan berat badan, kalau mahu diet untuk cepat kurus ada syaratnya

Penggunaan kereta sorong merupakan antara perkara yang sering menjadi pertimbangan ibu bapa apabila keluarga mula berkembang.

Selain dapat mengawal pergerakan si comel, anda juga akan berasa mudah bergerak ke mana sahaja untuk jangka masa lama kerana tidak meletihkan anak.

Tapi, adakalanya kanak-kanak enggan duduk lama di dalam stroller sehingga ada yang meragam dan meronta-ronta saat diletakkan di dalamnya.

Apa kata anda semak jenis stroller yang sesuai untuk si kecil kerana mungkin dia berasa tidak selesa.

Memetik kenyataan wakil Joie Signature Parcel di Indonesia, Erwin L, seperti yang dilaporkan okezone, kereta sorong merupakan alatan yang sangat penting ketika melakukan perjalanan jauh bersama kanak-kanak.

Double stroller bukan sahaja sesuai untuk anak kembar tetapi memudahkan anda membawa si abang dan adiknya bersama-sama.

Double stroller bukan sahaja sesuai untuk anak kembar tetapi memudahkan anda membawa si abang dan adiknya bersama-sama.

"Ia juga membolehkan ibu bapa mahupun si comel menikmati perjalanan meskipun dalam jarak yang jauh. Oleh itu, ramai yang beranggapan stroller paling ringan dan mudah dilipat sebagai peralatan terbaik untuk dibawa," ujarnya.

Ekoran itu, Erwin berkongsikan beberapa tip lengkap untuk memilih stroller bagi membantu ibu bapa yang memerlukannya.

1. Dapatkan stroller yang sesuai untuk bayi baru lahir sehingga beratnya 22 kilogram.

Selain berbentuk compact, ia juga ringan dan sekitar 6.9 kilogram sahaja sekali gus memudahkan anda untuk membawanya ke mana-mana termasuk disimpan di dalam kapal terbang.

2. Pastikan stroller pilihan anda mudah dilipat dan dibawa dalam beg khusus yang disediakan semasa pembelian.

Ia membolehkan anda terus mencapainya jika dalam keadaan tergesa-gesa, bukan?

3. Penggunaan tutup atau pelindung dari pancaran matahari juga penting.

Anda perlu memastikan material yang digunakan itu diperbuat untuk melindungi si comel atau kalis sinar UV yang memberi kesan buruk.

Ia juga perlulah kalis air supaya buah hati anda tidak kebasahan apabila tiba-tiba hujan semasa bersiar-siar di taman.

4. Keselesaan tempat duduk di dalam stroller juga perlu dititikberatkan.

Anak anda akan duduk di dalamnya untuk jangka masa panjang terutama sekali apabila 'melawat' pusat beli-belah.

Jadi pastikan tempat duduk boleh dilaras sama ada untuk anda bersandar mahupun tidur. Kalau sudah lama sangat berada di dalam mall, si kecil pasti letih dan ingin tidur.

5. Aspek pergerakan roda perlu diberi perhatian khusus

Ini kerana, roda hadapan yang dapat berputar 360 darjah pasti akan memudahkan pergerakan tapi ia mesti disusuli dengan keselamatan penguncian bagi mengelakkan stroller anda bergerak saat direhatkan.

Jadi apa tunggu lagi? Ibu bapa yang baru memiliki cahaya mata bolehlah membuat pertimbangan sewajarnya ketika ingin membeli kereta sorong untuk buah hati, tapi pastikan ia dapat digunakan untuk tempoh yang lama atau sehingga usia anak anda kira-kira dua tahun ya!

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain