NASI putih adalah makanan ruji rakyat Malaysia yang dimakan setiap hari. Ia sekadar satu makanan tawar tetapi mengenyangkan justeru perlu dimakan bersama lauk pauk sebagai penambah selera. Tetapi pernah tak anda terfikir kenapa nasi putih di kedai makan lebih sedap rasanya berbanding yang masak di rumah? Menurut seorang tukang masak, Ahmad Shukri yang berkecimpung dalam bidang masakan sejak 25 tahun lalu, ada petua ringkas boleh diamalkan untuk menjadikan nasi yang dimasak lebih sedap. "Malam ni orang rumah sibuk. Saya dengan rela paksa masak nasi putih. Masak nasi putih ni pun ada rahsia besar. Bukan masak begitu saja. Garam dan minyak digunakan untuk menjadikan nasi putih sedap. "Selama 25 tahun saya belajar, bekerja, bergelumang dan mencari rezeki melalui perniagaan makanan. Malam ini saya akan bagi ilmu yang paling penting sekali dalam bidang masakan. "Saya nak kongsikan ilmu 'pengasih' yang digunakan oleh kebanyakan kedai nasi campur dan juga nasi lauk kenduri kahwin. Kadang-kadang bila kita makan nasi kat kedai memang sedap. Lepas tu orang kata kedai tu pakai jin, pakai bomoh, pakai hantu dan macam-macam lagi," katanya. Shukri bukan sahaja mendedahkan kaedah digunakan, tetapi juga bacaan diamalkan supaya para isteri boleh menambat hati suami yang makan nasi dimasak. Bagaimanapun, sukatan bagi bahan-bahan tambahan yang digunakan adalah bergantung kepada kuantiti air dan beras. "Perkongsian ilmu pangasih untuk anda. Anda boleh gunakan ilmu ini supaya suami anda lebih sayang sebab masak lagi sedap. Setiap kali masak nasi putih, bacalah Bismillah dan selawat masa basuh beras. Ikutlah berapa kali nak dibaca. "Masa nak masak nasi. Masukkan sedikit garam dan minyak dalam nasi yang nak dimasak. Masukkan daun pandan. Kena pandai agak-agak supaya tak terlalu masin dan berminyak. Sukatan air nasi adalah seperti biasa," ujarnya lagi. Daun pandan boleh digunakan untuk memberikan aroma pada nasi. Jelas Shukri, minyak dimasukkan supaya nasi putih tersebut tidak melekat dan sentiasa berderai. Tambahnya, garam pula menjadi perasa kepada nasi yang dimakan dengan lauk berkuah manakala daun pandan boleh mencetuskan aroma wangi sekali gus menaikkan selera makan. Ketika berkongsi resepi, Shukri menegaskan bahawa dia bersedia menerima sebarang kecaman daripada peniaga lain kerana berani membuat pendedahan rahsia besar mereka. "Kalau masak nasi selain nasi putih seperti nasi tomato dan nasi minyak, ikutlah cara ini beserta masukkan tiga atau empat ketul gula batu bertujuan mengilatkan nasi supaya lebih cantik. "Inilah rahsia besar kedai-kedai makan dan para tukang masak. Saya reda kalau lepas ni ada yang mesej saya kenapa b***h sangat beritahu rahsia ni. "Tujuan saya... ilmu yang diamalkan, saya akan dapat pahala berterusan. Tak salah kan?" katanya lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube