KETIKA ini hangat dibualkan kes sebuah kereta model Perodua Bezza yang rosak tidak sampai 8 jam selepas ia berada di tangan pembeli, disebabkan kehadiran bendasing seperti gula. Pemilik kenderaan berkenaan, Nagakanni Subramaniam, 31, mendakwa dia tidak pernah membawa sebarang makanan atau gula dalam tempoh lapan jam selepas menerima kereta itu apatah lagi mengusik bahagian enjinnya. Kerani sekolah itu meluahkan rasa kecewa apabila pihak Perodua tidak menawarkan penyelesaian yang memuaskan hatinya kerana masih melakukan penyiasatan dan belum boleh memberi persetujuan hitam putih untuk menukar baharu keretanya, biarpun sudah lebih dua bulan berlalu. Rata-rata warga maya meluahkan rasa simpati terhadap nasib yang menimpa wanita berkenaan apatah lagi dia terpaksa membayar pinjaman bulanan 'kereta baharunya' itu sebanyak RM537 sebulan, walaupun kenderaan itu kini tersadai di pusat servis. Susulan kejadian ni, pelbagai spekulasi dan andaian dilontarkan netizen mengenai 'kehadiran' bendasing tersebut. Seorang individu yang banyak berkongsi ilmu automotif di laman Facebook, Tekan Minyak, turut berkongsi pandangannya mengenai isu tersebut. "Aku tak rasa benda ni terjadi di dalam kilang, kerana aku rasa tak ada sesiapa pun dalam kilang yang berani letak gula dalam enjin. Kenapa tak berani?" tulisnya. ARTIKEL BERKAITAN: Tak panaskan kereta sebelum guna punca enjin rosak, betul ke? Individu itu seterusnya mengupas isu berkenaan dari segi pengeluaran sesebuah kereta dari kilang, yang diringkaskan seperti berikut: 1) Apabila kereta dipasang di dalam sesebuah kilang, ia akan mempunyai satu dokumen yang digelar 'Traveller'. Traveller ini merupakan satu dokumen yang mempunyai segala kerja atau 'job' yang telah dijalankan terhadap kereta tersebut. Seorang pekerja sedang melakukan 'inspection' pada sebuah kereta. -Gmbar hiasan/The Star 2) Setiap pekerja yang bekerja pada kereta tersebut mesti mengecop atau tanda tangan di dalam traveller tersebut, tak kiralah job kecil atau besar, semuanya bertanda. Andai ada yang cuba untuk mensabotaj, sudah tentu pekerja tidak berani kerana 'job owner' atau pemilik kerja tersebut akan memastikan tiada sesiapa pun yang akan sabotaj kerjanya. 3) Traveller tersebut perlu disimpan di dalam stor selama beberapa tahun. Di kilang kereta yang aku pernah kerja dahulu, traveller untuk setiap kereta mestilah disimpan selama 15 tahun. 4) Di dalam line production, ada banyak stesen di mana stesen-stesen tersebut dibuat untuk pemasangan komponen tertentu. Setiap stesen biasanya akan ada lebih daripada dua pekerja. Andai ada yang berniat untuk buat apa-apa sabotaj, memang tak 'lepas' kerana banyak mata yang memerhati. 5) Setiap line production akan ada QC (quality control) atau QA (quality assurance), pekerja dari logistik dan kejuruteraan yang sentiasa berlegar-legar untuk memastikan segalanya dalam keadaan yang baik, kerana cop mereka pun ada di dalam traveller sebagai pemeriksa stesen tertentu. 6) Apabila kereta sudah sampai ke pengedar, di dalam pusat pengedaran kereta atau dealer akan ada proses Pre Delivery Inspection (PDI). Masa PDI ini segala-galanya akan diperiksa lagi sekali termasuklah bahagian luaran dan dalaman kereta. Individu tersebut menyarankan pemilik Bezza dan Perodua membuat laporan polis. -Gambar hiasan Tambahnya, adalah mustahil sekiranya pemilik kenderaan akan 'mengusik' enjin kereta mereka tambahan pula ia adalah kereta baharu. "Pemilik kereta bergula pula, mestilah seronok dengan kereta baharu, dan sudah tentulah kereta tersebut akan dijaga dengan baik sekali. "Oleh itu, untuk kes enjin bergula yang sedang viral sekarang ini, bagi pendapat aku, seeloknya pemilik kereta dan pengilang tersebut buat repot kepada PDRM. Elok PDRM jalankan siasatan. "Mungkin pemilik disabotaj, mungkin juga pengilang pun disabotaj. Ada banyak kemungkinan," akhirinya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube