MEREBUS merupakan antara kaedah terbaik dalam masakan kerana ia membantu menjaga kesihatan khususnya mereka yang sedang berdiet dan ingin menurunkan berat badan.
Air rebusan pula akan mengandungi pelbagai nutrisi dan mineral mudah larut daripada bahan mentah seterusnya membantu proses penyerapan lebih mudah kepada pengguna.
Menggunakan kaedah yang sama, air rebusan telur kebiasaannya dibuang begitu sahaja.
Bagi anda yang gemar bercucuk tanam, bolehlah memanfaatkan air rebusan telur pada tanah kebun kerana ia mengandungi pelbagai jenis mineral yang sesuai untuk tumbuhan anda.
Ini kerana, semasa mendidih, kulit telur melepaskan kalsium ke dalam air dan kemudiannya menghasilkan baja semula jadi yang berkesan untuk menyuburkan tumbuhan.
Kalsium daripada kulit telur membantu mengimbangi pH tanah, membolehkan tumbuhan menyerap nutrien dengan lebih cekap.
Ia amat berguna untuk tumbuhan yang memerlukan kalsium seperti tomato dan cili.
Hanya biarkan air rebusan menyejuk dan gunakan pada taman atau tumbuhan dalaman supaya dapat membesar dengan kuat dan sihat. - Tips and Tricks