BUAH betik bukan sahaja terkenal dengan rasanya yang manis dan menyegarkan, malah kaya dengan pelbagai khasiat termasuk vitamin C yang baik untuk kesihatan tubuh.Namun, pernahkah anda terfikir mengapa buah betik yang sudah dipotong atau dijual di pasaran sering dibungkus menggunakan plastik berwarna merah? Berbeza dengan buah-buahan lain yang kebiasaannya dibungkus dalam plastik lutsinar, ia sebenarnya berkait rapat dengan kualiti dan sumber vitamin pada betik.Seorang pakar diet pemakanan, Farah Hanani berkongsi penjelasan berhubung perkara berkenaan menerusi laman Threads.Menurutnya, penggunaan plastik berwarna merah mempunyai kaitan dengan usaha melindungi kandungan vitamin C dalam buah betik daripada terdedah kepada cahaya."Sains dia, betik perlukan perlindungan daripada cahaya selepas dipotong, kalau guna yang 100 peratus telus cahaya, nanti vitamin C dia akan rosak."Vitamin C ni ini kalau kena direct matahari memang boleh berkurang, kita pun tidak ada sapu sunscreen dekat betik itu kan? Sebab itu kena guna plastik (merah)," ujarnya.Selain cara pembungkusan, suhu penyimpanan juga memainkan peranan penting bagi memastikan betik kekal segar dan tidak cepat rosak.Berdasarkan laporan Agensi, betik yang sudah masak boleh disimpan pada suhu sekitar lapan darjah celsius selama hampir dua minggu, bergantung pada tahap kematangan dan keadaan buah.Bagaimanapun, buah betik tidak digalakkan disimpan pada suhu di bawah tujuh darjah celsius kerana keadaan terlalu sejuk boleh menyebabkan kerosakan dan kandungan vitamin C padanya menyusut.Bagi yang ingin menyimpan betik untuk tempoh lebih lama, isi buah sebaiknya dibekukan dalam peti sejuk beku.