suria

Mahu hias rumah secantik ini? Pemiliknya pesan jangan terburu-buru, hias rumah bukan kerja satu hari

Konsep scandinavian yang menitik beratkan konsep praktikal dan ringkas semakin mendapat perhatian. -foto ihsan NOR AFZAN AZNAM

BAGI pasangan Nor Afzan Aznam dan Ahmad Yunus Ali, tiada apa yang lebih memberi kepuasan apabila rumah impian mereka yang dibeli sekitar tiga tahun lalu tersergam indah dan memberi ketenangan kepada seisi keluarga.

Mengangkat konsep 'Scandinavian' yang menitikberatkan elemen praktikal dan ringkas, konsep itu dipilih atas perbincangan mereka suami-isteri agar kediaman dua tingkat itu selesa dihuni bersama dua anak kesayangan mereka.

Nor Afzan memberitahu ketika mula-mula membeli rumah berkeluasan 2,200 kaki persegi itu, dia tidak melakukan pengubahsuaian secara keseluruhan sebaliknya ia dilakukan secara berperingkat.

Gabungan perabot putih di ruang masuk dan sofa rona biru laut memberi karakter tersendiri pada hiasan dalaman rumah.

Sebagai suri rumah kata Nor Afzan, dia memulakan proses itu pada bahagian dapur kerana ia adalah ruang paling digemarinya.

Memilih kabinet berwarna putih yang dipadankan dengan table top dari kemasan kayu nyata memberi impak visual tersendiri kepada ruang itu.

Melengkapkan kabinet itu, Nor Afzan memasang rak terbuka dari rona sama pada bahagian atas dalam memberikan karakter dan keperibadian pemiliknya.

Menghias rumah tidak boleh terburu-buru, kena rajin buat kajian, bandingkan produk dan harga sebelum membeli.

Nor Afzan Aznam

"Ketika mula-mula pindah ke rumah ini, dapur yang menjadi perhatian saya terlebih dahulu dan barulah saya beralih kepada ruang tamu, ruang makan dan bilik tidur.

"Dapur adalah tempat istimewa buat saya, jadi saya mahu ia mempunyai karakter tersendiri supaya saya sendiri berasa seronok untuk memasak buat keluarga," ujarnya.

Bercerita lanjut mengenai dekorasi kediamannya, Nor Afzan berkata, idea menghias semuanya dibuat sendiri bersama suami dan masa selama setahun diambil untuk menata rias rumah mereka.

Campuran warna biru, kelabu dan kuning menjadi.

"Menghias rumah pada saya kita tidak boleh terburu-buru, kena rajin buat kajian, bandingkan produk dan harga sebelum membeli.

"Kena tahu konsep apa yang kita mahu, warna perabot, dinding rumah dan sebagainya. Seperti saya dan suami, kami banyak mengeluarkan idea, melihat perabot sebelum membeli.

"Selain itu, kami buat pengubahsuaian secara berperingkat mengikut bajet," jelasnya.

Konsep ruang makan dan meja senada dengan ruang tamu.

Menyusuri pula ruang tamu, Nor Afzan memastikan penggunaan perabot tidak dibuat secara berlebihan agar ia selesa dan tidak sesak.

Bagi memberi karakter kepada ruang itu, selain warna putih yang menjadi asas kepada perabot mereka, Nor Afzan turut memilih sofa warna biru laut dan kelabu untuk memberi kelainan.

Melengkapkan gaya itu, Nor Afzan turut memilih aksesori seperti kusyen warna kuning dalam memberi kontras kepada perabot biru pilihannya.

Ruangan dapur yang ringkas dan teratur. 

Nor Afzan turut berkongsi bebarapa tip bagi yang ingin menghias kediaman mereka.

1. Tentukan konsep

Pemilik kediaman perlu tahu konsep yang diinginkan untuk kediaman mereka agar dekorasi tidak tersasar sehingga menyebabkan ia menjadi carca-marba.

2. Tiada bajet bukan penghalang

Menghias rumah bukan sesuatu perkara yang mudah namun kata Nor Afzan, ia sebenarnya bukan satu masalah kerana paling penting perancangan dan tidak terburu-buru dalam mahukan sesuatu.

Bilik tidur utama yang masih mengekalkan konsep sama dengan keseluruhan rumah.

3. Buat perbandingan

Membuat perbandingan dan tinjauan ketika membeli perabot serta harga sangat penting kerana ia boleh memberi kesan kepada bajet - dan adakalanya kita tidak akan tahu aksesori atau perabot yang disukai dijual pada harga berpatutan!

4. Jangan terburu-buru

Menghias rumah bukannya kerja satu hari! Ia memakan masa mengikut kesesuaian bajet dan idea. Jadi jangan terburu-buru dan ambil masa untuk bertenang sebelum memulakan kerja-kerja pengubahsuaian.

dekorasi, Scandinavian

Artikel Lain