KEWUJUDAN hub hiburan seperti Spotify, iTunes, Tidal, Soundcloud, Joox dan banyak lagi membawa evolusi baharu dalam perkongsian muzik pada hari ini. Ia turut dilengkapkan dengan wujudnya teknologi seperti fon telinga yang memudahkan pendengar untuk berhibur. Seiring perkembangan masa, wujud pula fon telinga tanpa wayar yang mula menjadi kegilaan anak muda dan pencinta muzik di seluruh dunia. AirPods keluaran Apple dan Galaxy Buds oleh Samsung merupakan fon telinga tanpa wayar yang paling popular di dunia. Namun, tidak lupa juga Beats by Dr Dre yang menawarkan fon telinga tanpa wayar, Powerbeats 3. Empat pilihan warna Powerbeats Pro. Tidak lama lagi, ia bakal memperkenalkan Powerbeats Pro yang dijangka menjadi pesaing kepada AirPods. Biarpun Beats by Dr Dre sebenarnya dimiliki oleh Apple, kualiti yang ditawarkan Powerbeats Pro dikatakan jauh lebih baik berbanding AirPods. Antara fungsi menarik, fon telinga tanpa wayar itu akan mengesan secara automatik sejurus ia dipasang atau dicabut dari telinga anda. Untuk panggilan telefon pula, ia menawarkan teknologi pemisahan bunyi yang mana kualiti perbualan akan menjadi lebih jelas. Airpods, fon telinga tanpa wayar yang cukup popular. FOTO: USA Today. Jangka hayat bateri Powerbeats Pro mampu bertahan selama sembilan jam dan dilengkapi sarung pengecasan magnet sekaligus menambah jangka hayat bateri kepada 24 jam. Lebih menarik, ia dilengkapi teknologi pengecasan pantas dengan nisbah 5 minit untuk 1.5 jam penggunaan. Tidak memiliki butang penghidup, ia sebaliknya akan berfungsi secara automatik sejurus dikeluarkan daripada bekas simpanannya. Powerbeats Pro akan mula dijual di United Kingdom pada bulan hadapan dengan harga £219.95 (RM1,175). Ia hadir dengan empat pilihan warna iaitu hitam, putih susu, hijau lumut dan biru navy.- Mirror Tech.