suria

Alkisahnya... Lat tak setuju nama 'Gila-Gila', terkejut majalah jadi fenomena di Malaysia

Datuk Lat menunjukkan aplikasi GG Komiks yang dilancarkan baru-baru ini.

JIKA dahulu, sebut sahaja majalah Gila-Gila, semua orang pasti tahu kerana ia pernah menjadi satu fenomena luar biasa di negara kita.

Mana tidaknya, bermula dengan jualan majalah sekitar 9,000 naskhah pada keluaran pertama, majalah legenda itu pernah laris sehingga mencecah jualan 400,000 sebulan sewaktu berada di puncak popularitinya.

Tempias kegemilangan majalah kesayangan rakyat Malaysia itu turut dirasai oleh barisan kartunis Gila-Gila.

Nama-nama seperti Jaafar Taib, Rejab Had, Mishar, Nan, Zainal Buang Hussein, Ujang dan Cabai meniti di bibir peminat komik tanah air.

Tokoh kartunis terkenal yang sinonim dengan komik Kampung Boy berkongsi pengalamannya didekati oleh kartunis Mishar yang menyuarakan hasrat untuk menghasilkan sebuah komik tersebut pada 1977.

Datuk Lat hadir melancarkan aplikasi GG Komiks di Rumah Kartun dan Komik Malaysia pada Rabu.

"Saya baru balik dari Amerika ketika itu dan apabila saya tengok nama (cadangan) komik itu Gila-Gila, terus terlintas di fikiran saya tentang majalah Mad.

"Polisi saya tak suka ambil benda yang dekat-dekat sama dengan orang lain. Kalau saya, memang tak akan guna nama itu... tapi saya tak beritahu dia (Mishar) kerana semangat dia tengah berkobar-kobar," kata Datuk Mohamad Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Datuk Lat.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pelancaran sebuah aplikasi majalah humor di Rumah Kartun dan Komik Malaysia di Taman Botani Perdana Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, figura anak jati Perak itu terkejut dengan penerimaan rakyat Malaysia terhadap nama tersebut dan menyedari bahawa 'gila-gila' tidak boleh disamakan dengan 'mad' (gila) kerana maksudnya berbeza.

Kalau saya, saya tak akan ambil nama itu... tapi saya tak beritahu dia (Mishar) kerana semangat dia tengah berkobar-kobar.

DATUK LAT

Bercerita lanjut, Lat dan pelopor majalah Gila-Gila, Jaafar Taib ke Amerika Syarikat (AS) pada musim sejuk 1985 untuk mengejar cita-cita menghasilkan animasi.

"Kami naik bas dari Chicago ke Wisconsin dan kemudian singgah di rumah seorang sahabat bernama Don.

"Kami duduk bersembang mengenai animasi di sebuah taman dan ketika itu sejuk betul kerana salji sangat tebal.

"Masa tu, Malaysia belum ada animasi lagi. Oleh kerana terlalu sejuk, perbincangan kami menjadi kucar-kacir dan tiba-tiba berakhir dengan tanda-tanda kiamat," ceritanya sambil mengimbau kembali kenangan bersama perintis komik Gila-Gila tersebut.

Datuk Lat (kiri) dan Jaafar Taib (kanan) bergambar bersama selebriti Aein dan Ekin (tengah) yang turut hadir pada majlis pelancaran GG Komiks.

Malahan, Lat sempat berseloroh dan tertanya-tanya sama ada mereka sempat menghasilkan animasi atau tidak memandangkan tanda-tanda kiamat sudah mula diperkatakan pada tahun tersebut.

Namun, majalah Gila-Gila yang mula diterbitkan pada April 1978 itu masih bertahan sehingga ke hari ini selepas empat dekad mewarnai industri komik negara.

Seiring dengan peredaran zaman, Gila-Gila juga tidak boleh berterusan menghasilkan karya secara konvensional.

Kegemilangan Gila-Gila harus ditebus semula dalam arus teknologi digital agar ia dapat terus dibaca oleh generasi akan datang.

Aplikasi GG Komiks boleh dimuat turun di App Store dan Google Play.

Pada Rabu lalu, Creative Enterprise Sdn Bhd mencipta sejarah apabila berjaya melancarkan aplikasi GG Komiks sebagai aplikasi majalah humor pertama di Malaysia.

Keistimewaan aplikasi itu tidak tertumpu kepada terbitan karya-karya terkini Gila-Gila, malahan lebih 800 isu majalah tersebut akan dimuat naik semula secara berperingkat untuk tatapan pembaca.

Isu pertama yang diterbitkan pada April 1978 juga sudah dapat dibaca menerusi aplikasi tersebut yang boleh dimuat turun di App Store dan Google Play.

Selain itu, semua kartunis dan pengguna juga terbuka untuk menghantar karya mereka sebelum ditapis dan diterbitkan secara digital pada aplikasi berkenaan.

Bukan itu sahaja, kartunis amatur juga berpeluang mempelajari teknik untuk menghasilkan papan cerita (story board), lukisan secara manual dan digital melalui pautan GG TV.

Setakat ini, aplikasi GG Komiks yang boleh dibaca secara percuma itu sudah dimuat turun lebih 10,000 kali oleh pengguna.

Datuk Lat, GG Komiks

Artikel Lain