MESTI ramai di antara kita yang gemar menonton wayang tetapi kalau setiap minggu ke panggung mungkin boleh botak kepala sebab tiket pun bukannya murah. Perkongsian lelaki ini yang dikenali sebagai Naufal Antezem di Twitter memberi sinar harapan buat kita semua untuk memiliki panggung wayang sendiri di rumah. Lebih-lebih lagi menjelang Aidilfitri nanti, boleh cuba untuk menonton bersama keluarga kan! Paling penting kos untuk menghasilkan skrin projektor tak sampai RM20 pun! ARTIKEL BERKAITAN: Samsung lancar 'smart TV', sama harga sebuah apartment! Mounting board pilihan terbaik dan murah. Naufal memberitahu, bukan sahaja kosnya murah malah tiada sebarang pertukangan diperlukan selain hanya memerlukan tiga bahan. Katanya, skrin projektor sangat penting kerana ia memerlukan permukaan yang tidak tembus cahaya selain tidak mempunyai tekstur kasar dan tidak mudah bergoyang. Selain itu, bahan yang digunakan sebagai skrin projektor juga tidak boleh terlalu ringan atau berat. Menerusi semua kriteria ini, Naufal berkata, mounting board, manila cardboard yang tebal termasuk perforated board boleh digunakan sebagai skrin projektor, namun permukaannya harus berwarna putih. klip metal dan cangkuk langsir turut digunakan untuk membuat skrin projector. "Boleh juga menggunakan foam board atau polystyrene tapi ia agak mahal, selain ia mudah patah apabila digantung terlalu lama selain ia mudah bergoyang. "Terpulang hendak beli berapa tapi untuk bilik, saya gunakan tiga keping mounting board yang berharga RM5 setiap satu," katanya. Bagi menampung skrin itu apabila digantung, Naufal turut menggunakan klip metal bersaiz besar selain cangkuk langsir jenis french pleat untuk disangkut ke batang penyangkut langsir. Dengan modal RM20 anda boleh menikmati filem kegemaran dengan senang hati. Bercakap mengenai projektor pula, Naufal menasihatkan agar membuat perbandingan terlebih dahulu kerana ia mempunyai pelbagai jenis mengikut harga. Sebaiknya kata Naufal, cari projector yang boleh disambungkan dengan HDMI bagi memudahkan sambungan terus ke komputer riba. "Ada juga projector yang boleh masuk USB, kad SD, ada pembesar suara... pokoknya baca butiran dan buat perbandingan sebelum beli," ujarnya.