SETIAP individu pasti menyimpan angan-angan untuk memiliki kereta mewah, tapi realitinya tidak semua yang dapat menunaikan hasrat itu. Sekalipun tidak mampu memilikinya, setidak-tidaknya impian untuk memandu kenderaan mewah sekali seumur hidup pasti terlintas di fikiran. Selain menjadi simbol kemegahan dan kekayaan individu, kereta mewah juga merupakan lambang kecanggihan teknologi automatif dunia. ARTIKEL BERKAITAN: Jangan terkejut! Beg tangan termahal di dunia bukan Hermes Birkin, tapi Mouwad Berapakah sebenarnya nilai sebuah kereta mewah termahal di dunia? Mari kita intai harga lima model kenderaan paling mahal yang mampu membuatkan anda terbeliak mata. 1. Lamborghini Veneno Veneno dijual dalam dua jenis konfigurasi iaitu boleh tukar dan coupe. - Topspeed Lamborghini menghasilkan hanya 14 unit Veneno berasaskan Aventador antara 2014 dan 2015. Setiap satu dianggarkan bernilai RM19 juta, bergantung kepada spesifikasinya dan dijual dalam konfigurasi jenis boleh tukar dan coupe. Setakat ini, ia merupakan model Lamborghini yang termahal pernah dihasilkan. 2. Koenigsegg CCXR Trevita CCXR Trevita tidak lagi dikeluarkan. - Motor 1 Koenigsegg memperkenalkan model keretanya yang 'paling mampu dimiliki' iaitu Jesko pada tahun ini di Geneva. CCXR Trevita yang disadur dengan berlian dan memiliki enjin turbo berkembar 4.8 liter V8 dengan 1,004 kuasa kuda itu dijual pada harga RM20 juta. Syarikat tersebut hanya menghasilkan tiga unit kereta tersebut sebelum menghentikan pengeluaran CCX buat selama-lamanya. 3. Mercedes-Maybach Exelero Hanya ada satu Maybach Exelero di dunia. - Motor 1 Seperti model terhad Mercedes yang terdahulu, Maybach Exelero hanya ada satu di dunia ini. Dihasilkan oleh anak syarikat Goodyear, Fulda dari Jerman untuk menguji tayar baharu keretanya, Exlero mula diperkenalkan pada 2004. Sekiranya nilai kenderaan itu diselaraskan dengan kadar inflasi, ia dianggarkan berharga lebih RM42 juta pada hari ini. 4. Rolls-Royce Sweptail Sweptail mengambil masa lebih empat tahun untuk disiapkan. - Motor 1 Secara teknikalnya, Rolls-Royce Sweptail didakwa sebagai kereta termahal di dunia pada 2017. Namun apa yang menjadi masalahnya, Rolls-Royce sendiri tidak mengesahkan dakwaan tersebut. Dianggarkan bernilai RM53 juta, model ini mengambil masa lebih empat tahun untuk dibina sebelum membuat kemunculan sulung di pameran Concorso d'Eleganza Villa d'Este 2017. 5. Bugatti La Voiture Noire La Voiture Noire dianggarkan bernilai RM78 juta. - Motor 1 Bugatti terkini bernilai RM78 juta mencuri tumpuan peminat kenderaan mewah melalui rekaan La Voiture Noire yang dipamerkan pada Pertunjukan Motor Geneva 2019. Bahagian luar yang mengagumkan, bahagian depan yang dihiasi dengan warna fascia yang garang, empat tip ekzos dan lambang Bugatti besar di belakang menjadikan La Voiture Noire sebagai kereta baharu termahal di dunia. Khabar angin mengatakan pemilik kereta termahal dunia itu siapa lagi kalau bukan bintang bola sepak terkemuka dunia, Cristiano Ronaldo. Bagaimanapun, Bugatti belum mengesahkan dakwaan tersebut dan hanya memaklumkan bahawa pihaknya telah menemui pembeli La Voiture Noire. Syarikat itu setakat ini enggan mendedahkan identiti individu misteri berkenaan. Tetapi sebuah syarikat penerbitan Sepanyol, Marca melaporkan bahawa pemenang Ballon d'Or lima kali dan salah seorang pemain bola sepak ternama sepanjang masa telah melakukan pembelian bersejarah itu. - Motor 1