suria

Pink di sana sini, rumah pusaka usang kini umpama istana fantasi Hello Kitty!

Rumah pusaka yang usang ini telah diubah suai oleh pemiliknya seperti istana fantasi 'Hello Kitty'.

KEGILAAN wanita ini terhadap Hello Kitty memang cukup ekstrem apabila mengubah suai sebuah rumah pusaka yang usang seperti sebuah istana fantasi.

Mana tidaknya, keseluruhan rumah kayu yang terletak di Kampung Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar, Perak itu bukan sahaja di cat dengan warna merah jambu, malah hiasan dalamannya juga turut menggunakan tema sama.

ARTIKEL BERKAITAN: Hias rumah... tiada yang betul atau salah, semuanya berbalik kepada citarasa masing-masing

Malah setiap bahagian dalam rumah itu dipenuhi dengan barangan atau elemen Hello Kitty yang menjadi tarikan utama sebaik sahaja menjejakkan kaki ke rumah pink itu.

Hamidah turut mengecat bahagian luar rumah pusaka itu dengan warna merah jambu. 

Pemiliknya Hamidah Abdul Rahim, 48, memberitahu, dia memang menggilai semua perkara berkaitan dengan warna merah jambu serta Hello Kitty, malah obses dengannya sehingga ke hari ini.

Atas dasar itu juga, apabila rumah pusaka yang berusia lebih 100 tahun itu diamanahkan kepadanya dia mengambil keputusan untuk mengubah hiasan dalaman keseluruhan kediaman itu menggunakan warna pink.

Kata Hamidah, ketika mula-mula tinggal di rumah itu tiga tahun lalu, ia berada dalam keadaan usang dan proses mengubah suai dilakukan secara berperingkat.

Ruang tamu Hello Kitty.

"Rumah ini sangat usang jadi saya cuba perbaiki sedikit demi sedikit dan inilah hasilnya yang termampu saya buat tetapi masih ada lagi yang ingin saya tambah baik.

"Apabila sudah 'gila' pink, memang semua bahagian saya nak guna warna sama dan Hello Kitty," katanya.

Di sebalik itu kata Hamidah, dia bersungguh-sungguh mencantikkan kembali rumah pusaka itu selepas melihat banyak rumah di kampung yang terbiar tanpa berpenghuni.

Bermula pintu masuk sehingga ke meja makan dipenuhi dengan warna merah jambu dan Hello Kitty.

"Apabila tengok banyak rumah lama yang unik reka bentuknya tetapi terbiar kosong saya jadi sedih... sebab itu apabila dapat rumah ini saya ambil inisiatif untuk baik pulih dan menyuntik elemen segar dan moden kepadanya.

"Ini cara saya menghargai sesuatu pemberian yang sangat berharga dan dengan sedikit kreativiti Insya-Allah ia akan jadi menarik," jelasnya.

Bertugas sebagai deejay di sebuah pusat beli-belah di ibu negara, Hamidah berkata, dia membelanjakan sebanyak RM10,000 untuk membeli aksesori bagi menghias kediaman tersebut.

Hamidah bersama keluarga yang sedondon mengenakan persalinan merah jambu pada hari raya.

Walaupun tidak menetap di rumah itu namun Hamidah berkata, dia dan keluarga akan pulang ke Kuala Kangsar sebulan sekali bagi menjenguk rumah pusaka itu.

Dalam pada itu, wanita yang mesra disapa Mida itu berkata, kegilaannya terhadap Hello Kitty dan pink turut terpalit kepada keluarganya apabila sambutan Aidilfitri lalu kesemua mereka memakai pakaian berwarna merah jambu.

Tambah parah kata Mida, semua biskut raya yang dihidangkan kepada tetamu juga turut berwarna pink.

Bilik utama yang dipenuhi dengan warna pink.

"Bila dah obses, sampai kuih raya dan air pun warna pink. Pakaian jangan cakap! Nasib baik suami, anak-anak dan menantu termasuk cucu pun sporting habis mengikut karenah ibunya ini," katanya.

Tambah Hamidah, dia masih belum selesai menghias rumahnya itu namun tidak terburu-buru berbuat demikian malah keluarganya turut menyokong minatnya itu.

"Warna merah jambu memang melambangkan diri saya sejak dulu lagi, malah anak-anak pun sudah faham," ujarnya.

Hello Kitty, Rumah Pusaka

Artikel Lain