GOOGLE dan Facebook masih boleh mengesan sekiranya anda melayari pornografi meskipun carian diletakkan dalam mod peribadi menurut kajian yang dilakukan ke atas piawaian privasi laman web lucah. Kajian bertajuk Tracking Sex: The Implications of Widespread Secual Data Leakage and Tracking on Porn Websites itu menganalisis 22,484 laman web pornografi dan mendapati 93 peratus daripadanya membocorkan data pengguna kepada pihak ketiga. Kajian itu mendapati Google dan anak syarikatnya mempunyai penggesan sebanyak 74 peratus, Facebook (10 peratus) dan Oracle (24 peratus). ARTIKEL BERKAITAN: FaceApp jadi kegilaan seluruh dunia! AS bangkit isu keselamatan, saran padam serta merta Jurucakap Google memberitahu The New York Times ia tidak menggunakan maklumat tersebut sebagai medan membina profil pengiklanan di laman web pornografi. "Kami tidak membenarkan iklan Google di mana-mana laman web lucah dan kami juga melarang sebarang profil pengiklanan berdasarkan minat seksual pengguna di dalam talian. Penyebaran maklumat boleh menjejaskan reputasi seseorang. "Malah tag untuk perkhidmatan iklan kami juga tidak membenarkan untuk menghantar maklumat yang dapat mengenal pasti individu sesuatu profil," kata jurucakap itu. Facebook juga tampil menafikan kajian itu dan senada dengan Google, namun Oracle tidak memberi respons. Walaupun tidak dapat dipastikan atas tujuan apa data itu digunakan, namun pengkaji memberi amaran pengumpulan data seperti itu lebih bahaya dan boleh digunakan untuk menentang seseorang. Sebagai contoh, ia boleh digunakan untuk merosakkan reputasi seseorang secara terbuka termasuk mendedahkan seksualiti seseorang. Selain itu, kebocoran maklumat itu juga boleh menyebabkan isu keselamatan memandangkan penggodam sebelum ini boleh menggodam alamat e-mel, kata laluan, nama pengguna serta maklumat kad kredit. Antara penulis kajian ini adalah Timothy Libert dari Universiti Carnegie Mellon dan Jennifer Henrichsen dari University Pennsylvania.